AYUB 24:1-25

AYUB 24:1-25 Alkitab Berita Baik (BM)

Mengapakah Allah tidak menetapkan hari penghakiman, supaya orang yang mengenal Dia mendapat keadilan? Ada orang memindahkan batu sempadan untuk meluaskan tanah; mereka mencuri domba lalu mengandangkannya dengan ternakan mereka. Mereka merampas keldai kepunyaan anak yatim piatu, dan sebagai jaminan, mereka mengambil lembu jantan daripada balu. Mereka menghalang orang miskin mendapat hak mereka sendiri, maka orang papa terpaksa bersembunyi. Oleh itu seperti keldai liar, orang miskin mencari makanan di padang belukar; di tempat itu sahaja terdapat makanan untuk anak-anak mereka. Mereka terpaksa memungut gandum di ladang orang lain dan memetik buah anggur di ladang orang durjana. Mereka tidur tanpa selimut pada waktu malam, tanpa sesuatu untuk menghangatkan badan. Mereka basah kuyup kerana hujan yang turun di atas gunung, mereka berhimpit-himpit pada bukit batu untuk berlindung. Orang jahat memperhamba anak-anak yang kehilangan bapa, dan mengambil bayi orang miskin sebagai jaminan. Orang miskin terpaksa keluar tanpa pakaian; ketika menuai gandum mereka kelaparan. Daripada buah zaitun mereka membuat minyak, dan daripada buah anggur, mereka membuat minuman, tetapi mereka sendiri kehausan. Di bandar terdengar tangisan orang yang cedera, dan orang yang hampir putus nyawa, tetapi Allah tidak mendengarkan doa mereka. Ada orang yang menolak cahaya, mereka tidak mengenalnya dan tidak mengikut jalannya. Pada waktu subuh, pembunuh keluar membunuh orang miskin; dan pada waktu malam, mereka keluar mencuri. Orang yang berzina menantikan senja, supaya tidak dikenali, mereka menutup muka. Pada waktu malam pencuri memecah rumah orang, tetapi pada waktu siang mereka bersembunyi dan mengelakkan cahaya. Bagi mereka, pagi hari menakutkan, tetapi kegelapan yang dahsyat, menyenangkan.” “Orang jahat dihanyut oleh air bah, dan tanah yang dimiliki mereka disumpah oleh Allah; mereka tidak lagi bekerja di ladang anggur mereka. Seperti salji hilang kena kemarau dan matahari, orang berdosa pun hilang, ditelan dunia orang mati. Ibu mereka sendiri melupakan mereka, dan cacing memakan tubuh mereka. Nama mereka tidak lagi dikenang; mereka dimusnahkan seperti pokok yang tumbang. Hal itu berlaku kerana mereka menganiaya balu, dan tidak mengasihani wanita mandul. Allah dengan kuasa-Nya, membinasakan orang perkasa; Allah bertindak, maka matilah orang durjana. Allah mungkin membiarkan mereka hidup sentosa, tetapi Dia mengawasi mereka sepanjang masa. Hanya sebentar orang jahat berjaya, lalu hilang selama-lamanya. Mereka layu seperti rumpai, seperti gandum yang dipotong daripada tangkai. Dapatkah sesiapa menyangkal perkara itu? Dapatkah sesiapa menentang kebenaran kata-kataku?”

AYUB 24:1-25 Alkitab Versi Borneo (AVB)

“Mengapakah Yang Maha Kuasa tidak menentukan masa penghakiman? Mengapakah kalangan yang mengenal Dia tidak melihat hari pengadilan-Nya? Ada orang yang memindahkan batas tanah, mereka merampas kawanan ternak lalu menggembalanya. Mereka menghalau keldai anak yatim, mengambil lembu seorang balu sebagai gadaian. Mereka mendorong fakir miskin dari jalan, fakir miskin di negeri terpaksa bersembunyi bersama-sama. Sesungguhnya, seperti keldai liar di gurun fakir miskin itu pergi bekerja, mencari makanan dengan rajin. Padang gurun mengeluarkan makanan bagi anak-anak mereka. Mereka menuai makanan ternak di padang, dan memetik buah yang tertinggal di kebun anggur orang fasiq. Dengan telanjang mereka bermalam, kerana tidak ada pakaian; selimut pada waktu dingin pun tidak dipunyai mereka. Mereka basah oleh hujan pergunungan, mereka mendakap batu kerana tidak ada perlindungan. Ada orang yang merampas anak yatim daripada susu ibunya, dan mengambil gadaian daripada orang miskin yang terpaksa berkeliaran dengan telanjang tanpa pakaian, dan memikul berkas-berkas gandum tetapi tetap kelaparan. Mereka membuat minyak di antara tembok kalangan itu, mereka menginjak-injak tempat pemerasan anggur tetapi tetap kehausan. Orang mengerang dari dalam kota, hati orang yang terluka berteriak minta tolong, tetapi Allah tidak menuduh seorang pun berbuat salah. Ada orang yang menderhaka kepada cahaya; mereka tidak mengenal jalan-jalannya dan tidak tetap tinggal di lorong-lorongnya. Si pembunuh bangun pada waktu fajar, dibunuhnya orang miskin dan orang melarat. Pada malam hari dia berlaku seperti pencuri. Mata si penzina menantikan senja, katanya, ‘Tak ada mata yang melihat aku,’ dan dia memasang selubung muka. Pada waktu gelap mereka membongkar rumah, pada siang hari mereka menyembunyikan diri. Mereka tidak mengenal cahaya. Bagi mereka pagi hari sama seperti bayang-bayang maut, kerana mereka sudah terbiasa dengan kedahsyatan bayang-bayang maut. Mereka hanyut dengan cepat di permukaan air, bahagian mereka terkutuk di bumi. Tidak ada lagi yang pergi ke kebun anggur mereka. Kemarau dan panas menghabiskan air salji, demikian juga alam kubur menghabiskan kalangan berdosa. Rahim si ibu melupakannya, belatung melahapnya. Dia tidak diingat lagi, dan runtuhlah kezaliman seperti pokok. Dia memangsakan perempuan mandul, yang tidak beranak, dan tidak berbuat baik kepada seorang balu. Tetapi Allah menyeret kalangan perkasa dengan kekuatan-Nya. Sekalipun mereka bangkit, hidup mereka tidak terjamin. Allah memberi mereka keamanan yang menjadi sandaran mereka, mata-Nya memandangi jalan-jalan mereka. Mereka ditinggikan sebentar lalu tidak ada lagi, mereka direndahkan dan dikumpulkan seperti semua orang lain, mereka dipotong seperti bulir gandum. Jika tidak demikian adanya, siapa dapat membuktikan aku berdusta dan meniadakan kata-kataku?”