AYUB 23:1-12
AYUB 23:1-12 Alkitab Berita Baik (BM)
Tetapi Ayub menjawab, “Aku tetap memberontak dan membantah Allah; aku tidak dapat menahan keluh kesah. Alangkah baiknya jika aku tahu di mana Allah berada, dan dapat pergi ke tempat-Nya. Maka aku akan mengajukan perkaraku kepada-Nya, dan membela diri dengan sedaya upaya. Aku hendak tahu apa yang akan dikatakan-Nya, dan bagaimana Dia memberikan jawapan-Nya. Adakah Allah dengan segala kekuatan-Nya menentang diriku? Tidak, Dia akan mendengarkan kata-kataku. Aku jujur dan dapat berhujah dengan Allah, dan aku akan dinyatakan tidak bersalah untuk selama-lamanya. Aku telah mencari Allah di timur, tetapi Dia tiada di sana; apabila aku mencari Dia di barat, Dia juga tiada di sana. Allah telah bertindak di selatan dan utara, tetapi aku masih belum menemui Dia. Namun Allah tahu setiap langkahku; jika aku diuji, terbukti kemurnian hatiku. Aku mengikut jalan-Nya dengan setia, aku tidak menyimpang dari jalan yang ditentukan-Nya. Perintah-perintah Allah selalu kutaati, aku menurut kehendak-Nya, bukan kehendakku sendiri.
AYUB 23:1-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kemudian Ayub menjawab, “Bahkan hari ini pun keluhanku getir, tekananku berat, begitu juga keluh-kesahku. Sekiranya aku tahu di mana aku boleh menemui Dia, sehingga aku boleh datang ke tempat Dia bersemayam! Aku akan menyusun perkaraku di hadapan-Nya dan memenuhi mulutku dengan pembelaan. Aku mahu mengetahui jawapan-jawapan yang diberikan-Nya kepadaku, dan memahami apa yang difirmankan-Nya kepadaku. Sudikah Dia berperkara dengan aku dalam kuasa-Nya yang besar? Tidak, tetapi Dia akan memberikan perhatian kepadaku. Di sana orang yang lurus hati dapat membela diri di hadapan-Nya, dan aku akan bebas daripada Hakimku untuk selama-lamanya. Ketika aku berjalan ke depan, Dia tidak ada di situ. Ketika aku berjalan ke belakang, tidak kudapati Dia. Ketika Dia berkarya di sebelah kiri, aku tidak dapat memandang Dia. Ketika Dia berpaling ke sebelah kanan, aku tidak dapat melihat Dia. Namun begitu, Dia tahu tentang jalan yang kuambil. Setelah Dia menguji aku, aku akan keluar seperti emas. Kakiku tetap mengikuti langkah-Nya. Aku tetap menuruti jalan-Nya dan tidak menyimpang. Aku tidak menjauh daripada perintah-Nya. Aku menyimpan khazanah firman-Nya lebih daripada makananku sehari-harian.