AYUB 21:22-34
AYUB 21:22-34 Alkitab Berita Baik (BM)
Dapatkah manusia mengajar Allah? Bukankah Allah juga yang mengadili makhluk di syurga? Ada orang yang sihat dan masih penuh tenaga sehingga saat kematian mereka. Mereka meninggal dengan tenang dan bahagia, sedang tubuh mereka masih berdaya. Ada pula orang yang tidak mempunyai kebahagiaan; mereka hidup lalu mati dengan penuh kepahitan. Tetapi di dalam kubur mereka semua sama-sama terbaring; dikerumuni oleh ulat dan cacing. Aku tahu apa yang kamu fikirkan, dan kejahatan terhadap aku yang kamu rancangkan. Kamu bertanya, ‘Di manakah rumah orang kenamaan, orang yang melakukan kejahatan?’ Belum pernahkah kamu berbual dengan pengembara? Tidakkah kamu percaya akan laporan mereka? Mereka berkata bahawa orang jahatlah yang selalu terlepas pada hari Allah murka dan menjatuhkan hukuman. Tiada seorang pun yang menuduh mereka, ataupun membalas perbuatan mereka. Apabila mereka dibawa ke tanah perkuburan, batu nisan mereka dikawal, ribuan orang berjalan mengiringi jenazah mereka, dan dengan lembut tanah menimbus jenazah mereka. Tetapi kamu cuba menghiburkan aku dengan cakap kosong, dan segala jawapan kamu itu bohong!”
AYUB 21:22-34 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Dapatkah orang mengajarkan pengetahuan kepada Allah, memandangkan Dia juga mengadili orang yang berkedudukan tinggi? Seorang mati dengan sepenuh kekuatannya, dan dalam segala keadaan terjamin dan selesa. Perutnya penuh dengan air susu, sumsum tulangnya masih segar. Seorang yang lain lagi mati dengan hati getir, tanpa pernah menikmati apa yang baik. Namun demikian, mereka sama-sama berbaring dalam debu; belatung menyelubungi mereka. Sesungguhnya, aku tahu apa yang kamu fikirkan dan muslihatmu untuk menzalimi aku. Kamu berkata, ‘Di mana rumah pemuka itu? Di manakah khemah kediaman orang fasiq itu?’ Adakah kamu pernah bertanya kepada orang yang lalu-lalang di jalan? Tidakkah kamu memperhatikan petunjuk-petunjuk mereka, bahawa orang jahat terlindung daripada hari bencana dan mereka dibawa menyingkir pada hari kemurkaan Allah? Siapakah yang menggugat kelakuannya di depan mukanya? Sesiapa yang membalas dia selaras dengan perbuatannya? Dia dihantar orang ke kuburan, makamnya dijaga. Gumpalan-gumpalan tanah di lembah terasa sedap baginya. Semua orang mengikuti di belakangnya, sebagaimana orang yang tidak terhitung banyaknya sudah mendahuluinya. Jadi bagaimanakah kamu dapat menghiburkan aku dengan kesia-siaan? Semua jawapanmu hanya menyisakan kemungkaran belaka.”