AYUB 14:1-17
AYUB 14:1-17 Alkitab Berita Baik (BM)
Manusia dilahirkan lemah dan tidak berdaya, hidup mereka singkat dan susah. Manusia tumbuh lalu layu seperti bunga-bungaan dan menghilang seperti bayangan. Ya Allah, mahukah Engkau memandang aku, ataupun membawa aku ke pengadilan-Mu? Tiada suatu pun yang suci boleh datang daripada manusia yang tidak suci. Umur manusia sudah Engkau tentukan; jumlah bulannya sudah Engkau pastikan. Engkau telah menentukan batas hidup mereka; tidak mungkin mereka melangkahinya. Biarkanlah mereka berehat dan jangan ganggu mereka, supaya mereka dapat menikmati hidup sampai selesai tugas mereka. Masih ada harapan bagi pokok yang ditebang; pokok itu dapat hidup semula dan bercabang. Walaupun akarnya menjadi tua, dan tunggulnya mati di dalam tanah, tetapi apabila mendapat air, pokok itu tumbuh lagi; seperti pokok muda, tunas-tunasnya muncul kembali. Tetapi apabila manusia mati, itulah kesudahan mereka. Ke manakah mereka pergi setelah meninggal dunia? Seperti sungai yang telah berhenti mengalir, dan tasik yang sudah habis air, demikianlah manusia yang sudah meninggal dunia, mereka tidak dapat bangkit semula. Mereka tidak akan bangun selama langit ada, dan tidak akan terjaga daripada tidur mereka. Aku ingin agar Engkau menyembunyikan aku di dunia orang mati. Biarlah aku disembunyikan sehingga Engkau tidak murka lagi. Kemudian tentukanlah waktu untuk mengingat aku kembali. Jika manusia mati, dapatkah mereka hidup lagi? Tetapi aku akan terus menunggu, sehingga masa kesusahanku berlalu. Lalu Engkau akan memanggil aku, dan aku akan memberikan jawapan, dan Engkau akan mengasihi aku, makhluk yang Engkau jadikan. Kemudian Engkau akan mengawasi setiap langkahku, tetapi Engkau tidak akan mencatat dosaku. Engkau akan mengampunkan dan menjauhkan dosaku; Engkau akan menghapuskan segala kesalahanku dahulu.
AYUB 14:1-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)
“Manusia, yang dilahirkan oleh perempuan, singkat umurnya dan penuh keresahan. Dia tumbuh seperti bunga, lalu layu. Dia menghilang seperti bayang-bayang dan tidak selamanya ada. Patutkah Engkau tujukan pandangan-Mu ke arah orang yang sedemikian itu? Akankah Engkau turut membawaku ke pengadilan-Mu? Siapakah yang dapat menjadikan yang najis kepada yang suci? Tiada seorang pun! Hari-hari manusia sudah ditentukan. Jumlah bulannya sudah Kautetapkan, dan batas-batasnya pun sudah Kautentukan sehingga tidak dapat dilaluinya. Jadi, alihkanlah pandangan-Mu daripadanya, supaya dia tidak diganggu dan dapat menikmati hari-harinya seperti seorang pekerja upahan. Jika ditebang, pokok itu masih ada harapan: pokok itu akan bertunas lagi dan pucuknya tidak akan berhenti tumbuh. Sekalipun akarnya menjadi tua di dalam tanah dan tunggulnya mati dalam debu, pokok itu akan bertunas ketika mencium bau air, dan mengeluarkan ranting seperti tanaman muda. Tetapi apabila manusia mati dan terbujur kaku; ketika putus nyawanya, di manakah dia? Seperti air menguap dari laut dan sungai menjadi tohor dan kering, demikianlah manusia berbaring dan tidak bangkit semula. Selama langit masih ada, manusia tidak akan terjaga dan tidak akan bangun daripada tidurnya. Hanya sekiranya Engkau menyembunyikan aku di alam kubur, melindungi aku sehingga murka-Mu surut! Hanya sekiranya Engkau menentukan batas waktu bagiku lalu mengingat aku! Jika manusia mati, dapatkah dia hidup lagi? Sepanjang hari pergelutanku aku hendak menanti sehingga tiba saat pemulihanku. Engkau akan memanggil dan aku akan menjawab Engkau, Engkau akan rindu kepada buatan tangan-Mu ini. Meskipun pada waktu itu Engkau menghitung langkah-langkahku, dosaku tidak akan Kauperhatikan. Pelanggaranku akan dimateraikan dalam pundi-pundi, kesalahanku akan Kaututup.