AYUB 1:1-5
AYUB 1:1-5 Alkitab Berita Baik (BM)
Di tanah Us, tinggal seorang lelaki yang bernama Ayub. Dia menyembah Allah dan setia kepada-Nya. Dia seorang yang baik budi, yang selalu berhati-hati agar tidak melakukan perbuatan jahat. Dia mempunyai tujuh orang anak lelaki dan tiga orang anak perempuan, serta memiliki sebanyak 7,000 ekor domba, 3,000 ekor unta, 1,000 ekor lembu, dan 500 ekor keldai. Dia juga mempunyai banyak hamba, dan dialah orang yang paling kaya antara penduduk di daerah Timur. Anak-anak lelaki Ayub biasanya mengadakan jamuan di rumah masing-masing secara bergilir. Mereka juga sentiasa mengundang ketiga-tiga orang saudara perempuan mereka ke jamuan itu. Selepas setiap jamuan, pada esok paginya, Ayub akan bangun pagi-pagi dan mempersembahkan korban bagi setiap anaknya untuk menyucikan mereka. Dia sentiasa berbuat demikian kerana pada fikirannya, mungkin salah seorang anaknya telah berdosa dan menghina Allah dengan tidak sengaja.
AYUB 1:1-5 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Ada seorang lelaki yang bernama Ayub di Tanah Us. Dia tidak bercela, juga tulus dan takut kepada Allah serta menjauhi kejahatan. Dia dikurniai tujuh orang anak lelaki dan tiga orang anak perempuan. Miliknya termasuk 7,000 ekor domba, 3,000 ekor unta, 500 pasang lembu, 500 ekor keldai betina, dan ramai hamba. Oleh itu, dia menjadi orang terkaya antara semua orang di timur. Anaknya selalu bergilir-gilir mengadakan jamuan di rumah masing-masing, dan mereka akan menyuruh orang untuk menjemput ketiga-tiga saudara perempuan mereka untuk makan dan minum bersama-sama. Setelah berlalunya hari-hari jamuan itu, Ayub akan memanggil dan menyucikan mereka. Dia akan bangun pagi-pagi dan mempersembahkan korban bakaran menurut jumlah mereka semua, kerana fikir Ayub, “Jangan-jangan anak-anakku telah berdosa dan mengutuk Allah dalam hati mereka.” Demikianlah yang sentiasa dilakukan oleh Ayub.