YOHANES 9:1-25
YOHANES 9:1-25 Alkitab Berita Baik (BM)
Semasa Yesus berjalan, Dia melihat seorang yang buta sejak lahir. Pengikut-pengikut Yesus bertanya kepada-Nya, “Guru, siapakah yang berdosa sehingga orang ini dilahirkan buta? Diakah atau ibu bapanya?” Yesus menjawab, “Orang ini buta bukan kerana dosanya sendiri ataupun dosa ibu bapanya, tetapi supaya kuasa Allah boleh dinyatakan dalam hidupnya. Selama hari masih terang, kita harus melakukan tugas yang diberikan oleh Dia yang mengutus Aku. Malam akan tiba dan tidak seorang pun dapat melakukan apa-apa. Selama Aku di dunia ini, Akulah cahaya bagi dunia.” Setelah Yesus berkata demikian, Dia meludah ke tanah dan meliat tanah dengan ludah-Nya. Kemudian Dia menyapukan tanah itu pada mata orang itu. Lalu Yesus berkata kepadanya, “Pergilah basuh mukamu di Kolam Siloam.” (Dalam bahasa Ibrani kata “Siloam” bererti “Diutus”.) Oleh itu, orang itu pergi membasuh muka dan ketika dia kembali, dia dapat melihat. Jiran-jirannya dan semua orang yang selalu melihat dia meminta sedekah, bertanya, “Bukankah orang ini yang selalu duduk meminta sedekah?” Beberapa orang berkata, “Memang dia,” tetapi yang lain berkata, “Bukan, orang ini hanya mirip dengan dia.” Tetapi orang itu sendiri berkata, “Sayalah dia.” Mereka bertanya kepadanya, “Bagaimanakah kamu dapat melihat sekarang?” Dia menjawab, “Orang yang bernama Yesus meliat sedikit tanah, lalu menyapukannya pada mata saya dan berkata, ‘Pergilah basuh mukamu di Kolam Siloam.’ Saya pun pergi, lalu sebaik sahaja saya membasuh muka, saya dapat melihat.” Mereka bertanya, “Di manakah orang itu?” Dia menjawab, “Saya tidak tahu.” Yesus meliat tanah dan mencelikkan mata seorang buta pada hari Sabat. Oleh itu, orang yang tadinya buta dibawa kepada beberapa orang Farisi. Kemudian mereka bertanya kepadanya bagaimana dia dapat melihat. Dia berkata, “Orang itu menyapukan tanah liat pada mata saya, lalu saya membasuh muka dan saya dapat melihat.” Beberapa orang Farisi itu berkata, “Orang yang melakukan hal ini tidak mungkin berasal daripada Allah, kerana Dia tidak mentaati peraturan hari Sabat.” Yang lain berkata, “Bagaimanakah seorang berdosa dapat melakukan mukjizat-mukjizat seperti ini?” Lalu timbullah pertentangan pendapat di kalangan mereka. Oleh itu orang Farisi di situ bertanya lagi kepadanya, “Kamu berkata dia mencelikkan matamu. Baiklah, apakah pendapatmu tentang dia?” “Dia nabi,” jawabnya. Para penguasa Yahudi tidak mahu percaya bahawa dahulu dia buta tetapi sekarang dapat melihat. Oleh itu mereka memanggil ibu bapanya, lalu bertanya kepada mereka, “Benarkah dia ini anak kamu yang menurut kata kamu dilahirkan buta? Bagaimanakah sekarang dia dapat melihat?” Ibu bapanya menjawab, “Memang dia anak kami dan dia memang buta sejak lahir. Tetapi kami tidak tahu bagaimana sekarang dia dapat melihat, dan siapa yang mencelikkan matanya. Dia sudah dewasa. Tanyalah dia, dia dapat menjawab sendiri.” Ibu bapanya berkata demikian kerana mereka takut akan para penguasa Yahudi. Para penguasa itu sudah bersepakat bahawa sesiapa mengakui Yesus sebagai Penyelamat yang diutus oleh Allah, akan tidak dibenarkan masuk ke rumah ibadat. Itulah sebabnya ibu bapanya berkata, “Dia sudah dewasa; tanyalah dia.” Sekali lagi mereka memanggil orang yang dahulunya buta dan berkata kepadanya, “Mengakulah di hadapan Allah! Kami tahu bahawa orang yang menyembuhkan kamu itu orang berdosa.” Orang itu menjawab, “Sama ada dia berdosa atau tidak, saya tidak tahu. Tetapi satu perkara saya tahu; dahulu saya buta, sekarang saya dapat melihat.”
YOHANES 9:1-25 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
BŬRMULA tŭtkala Isa itu lalu, maka dilihatnya sa’orang orang buta deripada mula jadinya. Maka bŭrtanyalah murid muridnya katanya, Guru, siapakah bŭrdosa, orang inikah, atau ibu bapanyakah, sŭbab iya ini dipranakkan buta? Maka sahut Isa, Bukannya orang ini bŭrdosa, dan bukannya ibu bapanya pun, mŭlainkan supaya kŭlak pŭrbuatan Allah itu dinyatakan sŭbabnya. Maka dapat tiada aku mŭngŭrjakan pŭkŭrjaan Allah yang mŭnyurohkan aku, sŭlagi hari siang, maka apabila datang malam kŭlak, pada waktu itu tiadalah bulih sa’orang pun bŭkŭrja. Maka sŭlagi aku ada dalam dunia, bahwa aku mŭnjadi trang dunia. Adapun sŭtlah sudahlah iya bŭrkata dŭmkian, maka bŭrludahlah iya ditanah, lalu dibuatnya lŭmbek dŭngan ludahnya, sŭrta disapukannya mata orang buta itu dŭngan tanah lŭmbek itu: Sŭrta bŭrkata padanya, Pŭrgilah angkau basoh dirimu dalam kolam Siloam, (yang tŭrsalin artinya disuroh) maka sŭbab itu pŭrgilah iya mŭmbasoh dirinya, lalu kŭmbalilah iya dŭngan chŭlek. Sŭbab itu maka kata orang yang sŭkampong dŭngan dia itu, dan orang lain pun yang dahulu tŭlah mŭlihat tŭtkala butanya; maka kata marika itu, Bahwa bukankah iya ini dia orang yang dudok mŭminta sŭdŭkah itu? Maka kata sŭtŭngah orang, Bahwa inilah dia; dan ada orang lain lain pula bŭrkata, Iya itu srupa dŭngan dia; tŭtapi iya sŭndiri bŭrkata, Akulah dia. Maka sŭbab itu bŭrkatalah marika itu padanya, Bagimanakah matamu sudah chŭlek? Maka sahutnya katanya, Ada sa’orang orang yang bŭrnama Isa, maka dibuatnya tanah lŭmbek, disapukannya pada mataku, sŭrta katanya, pŭrgilah angkau kapada kolam Siloam basoh, maka pŭrgilah aku lalu kubasoh, maka aku dapatlah mŭlihat. Kumdian maka kata marika itu padanya, Manakah dia? Maka katanya, Aku tiada tahu itu. ¶ Hata maka dibawa oranglah akan orang yang dahulu buta itu kapada orang orang Farisia. Adapun tŭtkala Isa mŭmbuat tanah lŭmbek dan mŭnchŭlekkan matanya itu, iya itu hari Sabtu. Maka ditanya pula ulih orang orang Farisia skali lagi kapadanya, Bagimana iya bulih mŭlihat; maka katanya pada marika itu, Dibubohnya tanah lŭmbek pada mataku, maka aku basohkan lalu chŭlek. Sŭbab itu bŭrkata sŭtŭngah deripada orang Farisia, Adapun orang itu bukannya deripada Allah, kŭrna iya tiada indahkan hari sabtu. Maka kata pula orang orang lain, Bagimanakah bulih orang bŭrdosa itu mŭmbuat mujizat dŭmkian? Maka jadilah pŭrslisihan diantara marika itu. Hata maka kŭmbalilah pula marika itŭ bŭrkata kapada orang yang tŭlah buta itu, Apakah katamu akan hal orang yang mŭnchŭlekkan matamu itu? Maka jawabnya, Iya itu Nabi. Tŭtapi tiada pŭrchaya orang orang Yahudi deri halnya itu tŭlah buta, skarang tŭlah chŭlek, sahingga dipanggil ulih marika itu ibu bapa orang yang sudah chŭlek itu. Maka ditanya marika itu kapada ibu bapanya, katanya, Iyakah ini anakmu yang kamu kata iya tŭlah dipranakkan dŭngan butanya, skarang bagimanakah iya bulih chŭlek pula? Maka jawab ibu bapa orang itu kapada marika itu, Kami kŭtahui iya itu anak kami, dan iya dipranakkan dŭngan butanya: Tŭtapi bagimanakah halnya iya tŭlah chŭlek ini, tiadalah kami kŭtahui, atau siapakah yang tŭlah mŭnchŭlekkan matanya, tiadalah kami kŭtahui; adapun iya itu sudah sampie umornya, tanyalah akan dia, iya bulih mŭmbri jawab akan hal dirinya. Adapun ibu bapanya mŭngatakan dŭmkian, sŭbab takotnya akan orang orang Yahudi; kŭrna marika itu sudah bŭrfakat, jikalau barang siapa mŭngaku dia Almasih, bahwa orang itu akan dibuangkan deri dalam kŭnisa. Maka itulah sŭbabnya ibu bapanya bŭrkata, Iya sudah sampie umornya, tanyalah akan dia. Maka pada skali lagi dipanggil ulih marika itu akan orang yang tŭlah buta itu, lalu bŭrkata padanya, Pujilah angkau akan Allah, kŭrna kami kŭtahui, bahwa orang itulah orang bŭrdosa. Maka sahutnya, Ŭntah iya bŭrdosakah, atau tidak, sahya tiadalah tahu itu, mŭlainkan yang sahya tahu, dahulu sahya buta, skarang sahya chŭlek.
YOHANES 9:1-25 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Ketika Yesus sedang lalu di suatu tempat, Dia terpandang seorang lelaki yang buta sejak lahir. Para murid-Nya bertanya, “Rabbi, siapakah yang berdosa, orang itu atau ibu bapanya, maka dia dilahirkan buta?” Yesus menjawab, “Bukan dosa dia dan bukan juga dosa ibu bapanya. Dia begitu supaya kuasa Allah dapat dinyatakan melaluinya. Selagi siang, kita mesti melakukan tugas Dia yang telah mengutus-Ku. Malam akan tiba apabila seorang pun tidak dapat melakukan apa-apa lagi. Selama Aku di dunia, Akulah cahaya dunia.” Selepas itu, Yesus berludah ke tanah untuk membuat tanah liat lalu menyapukannya pada mata orang itu. Yesus berkata kepadanya, “Pergilah basuh mukamu di Kolam Siloam” (Siloam bererti “diutus” dalam bahasa Ibrani). Orang itu pun pergi membasuh muka. Apabila dia kembali, dia sudah dapat melihat. Jiran tetangga dan semua orang yang tahu dia buta bertanya, “Bukankah orang ini yang selalu duduk meminta sedekah?” Ada yang berkata, “Ya, dialah.” Ada pula yang berkata, “Bukan, hanya serupa dengannya.” Tetapi orang itu sendiri mengaku, “Akulah orang itu.” Mereka bertanya kepadanya, “Bagaimanakah sekarang kamu dapat melihat?” Dia menjawab, “Orang yang bernama Yesus telah membuat secebis tanah liat, disapukan-Nya ke mataku lalu berkata, ‘Pergilah basuh mukamu di Kolam Siloam.’ Sebaik-baik sahaja aku membasuh muka di kolam itu, aku pun dapat melihat.” Mereka bertanya, “Di manakah orang itu?” Dia menjawab, “Aku tidak tahu.” Orang yang dahulunya buta itu dibawa mereka kepada orang Farisi. Yesus telah membuat tanah liat dan menyembuhkan mata orang itu pada hari Sabat. Orang Farisi menanya orang itu bagaimana dia dapat melihat. Jawabnya, “Dia menyapukan tanah liat pada mataku, lalu aku membasuh muka, dan kemudian aku dapat melihat.” Sebilangan orang Farisi itu berkata, “Dia bukan daripada Allah, kerana Dia melanggar peraturan hari Sabat.” Tetapi ada pula yang berkata, “Kalau Dia orang berdosa, bagaimana Dia dapat melakukan mukjizat begini?” Dengan demikian timbullah perselisihan pendapat dalam kalangan mereka. Orang Farisi bertanya lagi kepada orang yang dahulunya buta itu, “Kamu berkata Dia menyembuhkan matamu. Bagaimana pendapatmu tentang Dia?” Orang itu menjawab, “Dia seorang nabi.” Orang Yahudi enggan percaya bahawa orang itu dahulu buta matanya. Oleh itu, mereka memanggil ibu bapanya. Mereka bertanya, “Benarkah dia anak kamu yang buta sejak lahir? Bagaimana pula dia boleh celik?” Ibu bapa orang itu menjawab, “Ya, benar dia anak kami yang buta sejak lahir. Tetapi kami tidak tahu bagaimana dia dapat melihat sekarang dan siapa yang menyembuhkan matanya. Dia sudah dewasa, tanyalah dia. Dia dapat menjawab sendiri.” Ibu bapa orang itu berkata demikian kerana takut akan orang Yahudi itu yang telah bersetuju bahawa sesiapa yang mengakui Yesus itu Kristus akan disingkirkan daripada saumaah. Maka oleh itulah ibu bapanya berkata, “Dia sudah dewasa, tanyalah dia.” Mereka pun memanggil orang itu lagi dan berkata, “Akuilah kemuliaan Allah! Kamu tahu Dia itu orang berdosa.” Dia menjawab, “Sama ada Dia orang berdosa atau tidak, aku tidak tahu. Yang kutahu, dahulu aku buta, sekarang aku dapat melihat.”