YOHANES 8:39-47

YOHANES 8:39-47 Alkitab Berita Baik (BM)

Mereka menjawab, “Bapa kami Abraham.” Tetapi Yesus berkata, “Jika kamu benar-benar anak-anak Abraham, tentu kamu akan melakukan apa yang dilakukan oleh Abraham. Yang Aku lakukan hanyalah memberitahu kamu kata-kata benar yang diberitahukan oleh Allah kepada-Ku. Namun kamu mahu membunuh Aku. Abraham tidak pernah berbuat demikian! Kamu melakukan apa yang dilakukan oleh bapa kamu.” Mereka menjawab, “Kami bukan anak haram. Bapa kami hanya satu, iaitu Allah sendiri.” Yesus berkata kepada mereka, “Seandainya Allah benar-benar Bapa kamu, tentu kamu akan mengasihi Aku, kerana Aku datang daripada Allah. Aku tidak datang dengan kehendak-Ku sendiri, tetapi Dialah yang mengutus Aku. Mengapa kamu tidak memahami apa yang Aku katakan? Hal itu demikian kerana kamu tidak tahan mendengar ajaran-Ku. Bapa kamu Iblis dan kamu anak-anaknya. Kamu lebih suka menurut kehendak bapa kamu. Sejak permulaan, Iblis itu pembunuh. Dia tidak pernah memihak kebenaran, kerana tidak ada kebenaran padanya. Apabila Iblis berdusta, hal itu memang sudah sewajarnya, kerana dia pendusta dan asal segala dusta. Tetapi Aku mengatakan apa yang benar. Itulah sebabnya kamu tidak percaya kepada-Ku. Siapakah antara kamu dapat membuktikan bahawa Aku berdosa? Jika Aku mengatakan apa yang benar, mengapa kamu tidak percaya kepada-Ku? Orang yang berasal daripada Allah mendengar firman Allah. Tetapi kamu bukan daripada Allah, itulah sebabnya kamu tidak mahu mendengar firman-Nya.”

YOHANES 8:39-47 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Maka sahut marika itu katanya, Bahwa Ibrahim itu ayah kami. Maka kata Isa bagie marika itu, Jikalau kamu anak anak Ibrahim, nŭschaya kamu bŭrbuat sagala pŭrbuatan Ibrahim. Tŭtapi kamu mŭnchari jalan handak mŭmbunoh aku, sa’orang yang tŭlah bŭrkata kapadamu dŭngan bŭnar, yang tŭlah kudŭngar deripada Allah, adapun Ibrahim itu tiada bŭrbuat dŭmkian. Adapun kamu bŭrbuat pŭrbuatan bapamu. Maka kata marika itu, Bahwa kami tiada dipranakan deripada zinah; maka adalah pada kami suatu ayah sahja, iya itu Allah. Maka kata Isa pada marika itu, Jikalau Allah itu ayahmu, nŭschaya kamu kasihlah akan daku, kŭrna aku tŭlah kluar dan datang deripada Allah; maka bukannya aku datang dŭngan kahandak diriku, mŭlainkan Allah tŭlah mŭnyurohkan aku. Mŭngapa kamu tiada mŭngarti pŭrkataanku? Sŭbab kamu tiada mahu trima pŭrkataanku. Bahwa kamu deripada bapamu, iya itulah Iblis; adapun kainginan bapamu itulah yang kamu suka bŭrbuat; maka adalah iya itu sa’orang pŭmbunoh deripada mulanya; maka tiadalah iya tŭtap dalam kŭbŭnaran, kŭrna tiada kŭbŭnaran padanya. Apabila iya bŭrkata dusta, maka iya mŭnurot spŭrti kahandak hatinya, kŭrna iyalah pŭmbohong; dan lagi pula bapa bohong itu. Maka aku ini bŭrkata yang bŭnar, sŭbab itu kamu tiada pŭrchaya padaku. Maka siapakah deripadamu dapat mŭnŭmplak aku kŭrna dosa? Maka jikalau aku bŭrkata yang bŭnar, mŭngapa tiada kamu pŭrchaya akan daku? Maka orang yang deri pada Allah, iya mŭnŭngarlah akan pŭrkataan Allah; maka kamu tiada mŭnŭngar, sŭbab kamu bukannya deripada Allah.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami