YOHANES 8:31-51
YOHANES 8:31-51 Alkitab Berita Baik (BM)
Kemudian Yesus berkata kepada orang Yahudi yang percaya kepada-Nya, “Jika kamu taat kepada ajaran-Ku, kamu benar-benar pengikut-Ku. Kamu akan mengenal Allah. Oleh itu kamu akan dibebaskan.” Mereka berkata, “Kami keturunan Abraham. Kami belum pernah menjadi hamba sesiapa pun. Apakah maksud guru berkata, ‘Kamu akan bebas?’ ” Yesus berkata kepada mereka, “Apa yang Aku katakan ini benar: Setiap orang yang berbuat dosa adalah hamba dosa. Seorang hamba tidak selalunya menjadi anggota tetap sebuah keluarga, tetapi seorang anak selama-lamanya menjadi anggota sebuah keluarga. Oleh itu, jika Anak membebaskan kamu, kamu benar-benar bebas. Aku tahu kamu keturunan Abraham. Namun kamu berusaha untuk membunuh Aku, kerana kamu tidak mahu menerima ajaran-Ku. Aku mengatakan apa yang ditunjukkan oleh Bapa-Ku kepada-Ku, sedangkan kamu melakukan apa yang diajarkan oleh bapa kamu.” Mereka menjawab, “Bapa kami Abraham.” Tetapi Yesus berkata, “Jika kamu benar-benar anak-anak Abraham, tentu kamu akan melakukan apa yang dilakukan oleh Abraham. Yang Aku lakukan hanyalah memberitahu kamu kata-kata benar yang diberitahukan oleh Allah kepada-Ku. Namun kamu mahu membunuh Aku. Abraham tidak pernah berbuat demikian! Kamu melakukan apa yang dilakukan oleh bapa kamu.” Mereka menjawab, “Kami bukan anak haram. Bapa kami hanya satu, iaitu Allah sendiri.” Yesus berkata kepada mereka, “Seandainya Allah benar-benar Bapa kamu, tentu kamu akan mengasihi Aku, kerana Aku datang daripada Allah. Aku tidak datang dengan kehendak-Ku sendiri, tetapi Dialah yang mengutus Aku. Mengapa kamu tidak memahami apa yang Aku katakan? Hal itu demikian kerana kamu tidak tahan mendengar ajaran-Ku. Bapa kamu Iblis dan kamu anak-anaknya. Kamu lebih suka menurut kehendak bapa kamu. Sejak permulaan, Iblis itu pembunuh. Dia tidak pernah memihak kebenaran, kerana tidak ada kebenaran padanya. Apabila Iblis berdusta, hal itu memang sudah sewajarnya, kerana dia pendusta dan asal segala dusta. Tetapi Aku mengatakan apa yang benar. Itulah sebabnya kamu tidak percaya kepada-Ku. Siapakah antara kamu dapat membuktikan bahawa Aku berdosa? Jika Aku mengatakan apa yang benar, mengapa kamu tidak percaya kepada-Ku? Orang yang berasal daripada Allah mendengar firman Allah. Tetapi kamu bukan daripada Allah, itulah sebabnya kamu tidak mahu mendengar firman-Nya.” Orang Yahudi di situ berkata, “Memang betul apa yang kami katakan; kamu orang Samaria yang dirasuk syaitan.” Yesus berkata, “Aku tidak dirasuk syaitan. Aku menghormati Bapa-Ku, tetapi kamu menghina Aku. Aku tidak mencari kehormatan bagi diri-Ku sendiri. Tetapi ada satu yang menghendaki supaya Aku dihormati dan Dia akan menghakimi dengan adil. Apa yang Aku katakan ini benar: Orang yang taat kepada ajaran-Ku tidak akan mati.”
YOHANES 8:31-51 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Sŭtlah itu maka bŭrkatalah Isa pada orang orang Yahudi yang sudah pŭrchaya akan dia itu, Jikalau kamu tŭtap dalam pŭrkataanku, nŭschaya kamu jadi muridku sungguh sungguh. Maka bahwasanya kamu akan mŭngŭtahui kŭbŭnaran, maka kŭbŭnaran itulah akan mŭmŭrdehkakan kamu. Maka disahut marika itu katanya, Adapun kami ini turon tŭmuron deri pada Ibrahim, maka bŭlomlah pŭrnah kami mŭnjadi hamba pada barang sa’orang pun, maka bagimanakah angkau bŭrkata, bahwa kamu akan dimŭrdehkakan? Maka sahut Isa pada marika itu, Sungguh sungguhnya aku bŭrkata padamu, maka barang siapa yang bŭrbuat dosa, iyalah hamba dosa. Adapun hamba itu tiada tinggal dalam rumah slama lamanya, tŭtapi anak itu tinggal sampie slama lamanya. Maka sŭbab itu jikalau kamu dimŭrdehkakan ulih anak, maka kamu mŭrdehkalah sungguh sungguh. Maka kukŭtahuilah bahwa kamu ini turon tŭmuron deripada Ibrahim, tŭtapi kamu mŭnchari jalan handak mŭmbunoh aku, kŭrna pŭrkataanku itu tiada masok kŭdalam hatimu. Adapun aku ini mŭngatakan sagala pŭrkara yang tŭlah kulihat deripada Ayahku, dan kamu bŭrbuat barang yang kamu tŭlah mŭlihat deripada bapamu. Maka sahut marika itu katanya, Bahwa Ibrahim itu ayah kami. Maka kata Isa bagie marika itu, Jikalau kamu anak anak Ibrahim, nŭschaya kamu bŭrbuat sagala pŭrbuatan Ibrahim. Tŭtapi kamu mŭnchari jalan handak mŭmbunoh aku, sa’orang yang tŭlah bŭrkata kapadamu dŭngan bŭnar, yang tŭlah kudŭngar deripada Allah, adapun Ibrahim itu tiada bŭrbuat dŭmkian. Adapun kamu bŭrbuat pŭrbuatan bapamu. Maka kata marika itu, Bahwa kami tiada dipranakan deripada zinah; maka adalah pada kami suatu ayah sahja, iya itu Allah. Maka kata Isa pada marika itu, Jikalau Allah itu ayahmu, nŭschaya kamu kasihlah akan daku, kŭrna aku tŭlah kluar dan datang deripada Allah; maka bukannya aku datang dŭngan kahandak diriku, mŭlainkan Allah tŭlah mŭnyurohkan aku. Mŭngapa kamu tiada mŭngarti pŭrkataanku? Sŭbab kamu tiada mahu trima pŭrkataanku. Bahwa kamu deripada bapamu, iya itulah Iblis; adapun kainginan bapamu itulah yang kamu suka bŭrbuat; maka adalah iya itu sa’orang pŭmbunoh deripada mulanya; maka tiadalah iya tŭtap dalam kŭbŭnaran, kŭrna tiada kŭbŭnaran padanya. Apabila iya bŭrkata dusta, maka iya mŭnurot spŭrti kahandak hatinya, kŭrna iyalah pŭmbohong; dan lagi pula bapa bohong itu. Maka aku ini bŭrkata yang bŭnar, sŭbab itu kamu tiada pŭrchaya padaku. Maka siapakah deripadamu dapat mŭnŭmplak aku kŭrna dosa? Maka jikalau aku bŭrkata yang bŭnar, mŭngapa tiada kamu pŭrchaya akan daku? Maka orang yang deri pada Allah, iya mŭnŭngarlah akan pŭrkataan Allah; maka kamu tiada mŭnŭngar, sŭbab kamu bukannya deripada Allah. Arkian maka mŭnyahutlah orang orang Yahudi katanya, Bukankah kami bŭrkata bŭtul, angkau ini sa’orang Samaritan yang tŭrkŭna jin? Maka jawab Isa, Bukannya aku kŭna jin, mŭlainkan aku mŭmbri hormat akan Ayahku, maka kamu kŭji akan daku. Maka aku tiada mŭnchari kŭmuliaan bagie diriku, ada sa’orang yang mŭncharikan dia, dan mŭnghukumkan. Bahwa sungguh sungguhnya aku bŭrkata padamu, adapun orang yang mŭmliharakan pŭrkataanku, maka tiadalah iya skali kali mŭrasai mati.
YOHANES 8:31-51 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Yesus berkata kepada orang Yahudi yang percaya kepada-Nya, “Kalau kamu mengikut ajaran-Ku, kamu murid-Ku yang sejati. Maka kamu akan mengenal kebenaran dan kebenaran akan membebaskanmu.” Mereka berkata, “Kami keturunan Abraham. Kami belum pernah diperhamba. Apakah maksud kata-kata-Mu, ‘Kamu akan dibebaskan’?” Yesus berkata kepada mereka, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang melakukan dosa menjadi hamba kepada dosa. Seorang hamba tidak mempunyai kedudukan kekal dalam sebuah keluarga, tidak seperti seorang anak yang selama-lamanya anggota keluarga itu. Dengan demikian, jika Anak membebaskanmu, kamu akan bebas sepenuhnya. Aku tahu kamu keturunan Abraham, tetapi kamu ingin membunuh-Ku kerana kata-kata-Ku tidak mendapat tempat dalam dirimu. Aku menyampaikan apa yang dinyatakan oleh Bapa-Ku. Demikian juga kamu melakukan apa yang disampaikan oleh bapamu.” Mereka menjawab, “Bapa kami Abraham.” Tetapi Yesus berkata, “Sekiranya kamu benar-benar anak Abraham, tentu kamu lakukan apa yang telah dilakukan oleh Abraham. Aku hanya memberitahumu kebenaran yang Kudengar daripada Allah, tetapi kamu hendak membunuh-Ku. Ini bukanlah perlakuan Abraham! Kamu melakukan apa yang dilakukan oleh bapamu.” Mereka menjawab, “Kami bukan anak luar nikah. Bapa kami satu, iaitu Allah.” Yesus berkata kepada mereka, “Kalaulah benar Allah Bapamu, tentu kamu mengasihi-Ku, kerana Aku datang daripada-Nya, bukan dengan kehendak-Ku sendiri, tetapi diutus-Nya. Mengapa kamu tidak mengerti kata-kata-Ku? Kerana kamu enggan mendengar kata-kata-Ku. Bapamu Iblis dan kamu anak-anaknya. Kamu lebih cenderung menurut kehendak bapamu. Dari mulanya lagi, Iblis pembunuh. Dia tidak menyokong kebenaran, kerana dalam dirinya tidak ada kebenaran. Apabila dia berdusta, dia bercakap dari sifat tabiinya sendiri, kerana dia pendusta dan bapa segala dusta. Sebaliknya Aku menyampaikan kebenaran, maka itulah kamu tidak mahu percaya kepada-Ku. Siapakah antaramu yang dapat membuktikan Aku berdosa? Jika Aku berkata benar, mengapa kamu tidak mempercayai-Ku? Orang yang daripada Allah mendengar firman Allah. Kamu tidak mendengarnya, kerana kamu bukan daripada Allah.” Orang Yahudi berkata, “Tidakkah benar kami katakan, Kamu ini orang Samaria dan dirasuk roh iblis?” Yesus menjawab, “Aku tidak dirasuk roh iblis. Aku memuliakan Bapa-Ku, tetapi kamu menghina-Ku. Aku tidak mencari kemuliaan untuk diri-Ku, tetapi Dia yang mencarinya untuk-Ku, dan Dialah yang menghakimi. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang menurut kata-Ku tidak akan mati.”