YOHANES 8:27-32
YOHANES 8:27-32 Alkitab Berita Baik (BM)
Mereka tidak mengerti bahawa Yesus sedang berkata-kata kepada mereka tentang Bapa. Oleh itu Yesus berkata kepada mereka, “Apabila kamu meninggikan Anak Manusia pada kayu salib, barulah kamu tahu bahawa ‘Akulah Dia yang menyebut diri-Nya AKU’. Kemudian kamu akan tahu bahawa tiada sesuatu pun yang Aku lakukan menurut kehendak-Ku sendiri. Aku hanya mengatakan apa yang diarahkan oleh Bapa kepada-Ku. Dia yang mengutus Aku ada bersama-sama Aku. Dia tidak pernah membiarkan Aku sendirian, kerana Aku sentiasa melakukan apa yang menyenangkan hati-Nya.” Pada masa Yesus berkata-kata demikian, banyak orang percaya kepada-Nya. Kemudian Yesus berkata kepada orang Yahudi yang percaya kepada-Nya, “Jika kamu taat kepada ajaran-Ku, kamu benar-benar pengikut-Ku. Kamu akan mengenal Allah. Oleh itu kamu akan dibebaskan.”
YOHANES 8:27-32 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka tiadalah marika itu mŭngarti, adapun yang dikatakan ulih Isa padanya itu, deri hal Ayah. Arkian maka bŭrkatalah Isa pada marika itu, Maka apabila kamu sudah angkatkan naik akan Anak manusia itu kŭlak, maka pada masa itulah kamu akan mŭngŭtahui, bahwa aku inilah dia itu, dan tiada aku mŭngadakan barang apa sŭndiriku, mŭlainkan aku mŭngatakan sagala pŭrkara ini spŭrti yang diajar ulih Ayahku akan daku. Maka bahwasanya iya yang tŭlah mŭnyurohkan aku itu ada sŭrtaku; adapun Ayah itu tiada mŭninggalkan aku sa’orang diri, kŭrna sŭntiasa aku bŭrbuat barang yang dipŭrkŭnankannya. Maka tŭtkala iya mŭngatakan sagala pŭrkataan ini, banyaklah orang pŭrchaya akan dia. Sŭtlah itu maka bŭrkatalah Isa pada orang orang Yahudi yang sudah pŭrchaya akan dia itu, Jikalau kamu tŭtap dalam pŭrkataanku, nŭschaya kamu jadi muridku sungguh sungguh. Maka bahwasanya kamu akan mŭngŭtahui kŭbŭnaran, maka kŭbŭnaran itulah akan mŭmŭrdehkakan kamu.
YOHANES 8:27-32 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Mereka tidak faham bahawa selama ini Yesus bercakap tentang Bapa. Lalu Yesus berkata kepada mereka, “Apabila kamu meninggikan Anak Manusia, barulah kamu tahu bahawa Akulah Dia yang Kukatakan, dan Aku tidak pernah melakukan sesuatu menurut kehendak-Ku. Aku hanya mengatakan apa yang diajarkan oleh Bapa. Dia yang mengutus-Ku ada di sisi-Ku. Dia tidak pernah membiarkan Aku keseorangan, kerana Aku sentiasa melakukan apa yang diredai-Nya.” Setelah mendengar kata-kata Yesus, ramai orang percaya kepada-Nya. Yesus berkata kepada orang Yahudi yang percaya kepada-Nya, “Kalau kamu mengikut ajaran-Ku, kamu murid-Ku yang sejati. Maka kamu akan mengenal kebenaran dan kebenaran akan membebaskanmu.”