YOHANES 6:60-69 - Compare All Versions
YOHANES 6:60-69 BM (Alkitab Berita Baik)
Banyak pengikut-Nya mendengar kata-kata-Nya lalu berkata, “Ajaran ini terlalu sukar. Siapakah dapat menerimanya?” Tanpa diberitahu, Yesus tahu bahawa pengikut-pengikut-Nya bersungut-sungut tentang hal itu. Oleh itu Dia berkata kepada mereka, “Adakah hal itu menyebabkan kamu tidak mahu percaya lagi? Bagaimanakah jika kamu melihat Anak Manusia naik semula ke tempat asal-Nya? Yang menyebabkan manusia hidup ialah Roh Allah. Dengan kekuatan sendiri, manusia tidak dapat melakukannya. Kata-kata yang Aku katakan kepada kamu datangnya daripada Roh Allah yang memberikan hidup. Namun ada beberapa orang antara kamu yang tidak percaya.” (Yesus tahu dari mulanya siapa-siapa yang tidak mahu percaya, dan orang yang akan mengkhianati Dia.) Dia berkata lagi, “Itulah sebabnya Aku berkata kepada kamu bahawa tidak seorang pun boleh datang kepada-Ku, kecuali Bapa memperkenankannya.” Sejak itu banyak pengikut Yesus meninggalkan Dia dan tidak mahu mengikut Dia lagi. Oleh itu Yesus bertanya kepada dua belas orang pengikut-Nya, “Adakah kamu pun akan meninggalkan Aku?” Simon Petrus berkata kepada-Nya, “Ya Tuhan, kepada siapakah kami akan pergi? Kata-kata Tuhan memberikan hidup sejati dan kekal. Sekarang kami percaya dan yakin bahawa Tuhan utusan suci daripada Allah.”
YOHANES 6:60-69 KEAS (Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry))
Sŭbab itu apabila banyaklah murid muridnya mŭnŭngar itu, maka kata marika itu, Bahwa pŭngajaran ini tŭrlalu kŭras, siapa bulih trima. Adapun apabila dikŭtahui Isa dalam hatinya, bahwa murid muridnya itu bŭrsungut sŭbab hal itu, maka bŭrkatalah iya pada marika itu, Adakah pŭrkataan ini mŭndatangkan shak kapada kamu? Maka apa lagi jikalau kiranya kamu mŭlihat Anak manusia itu naik katŭmpat asalnya itu? Bahwa Roh juga yang mŭnghidopkan, maka daging itu tiada bŭrguna; adapun sagala pŭrkataan yang aku katakan padamu itulah Roh, dan itulah hidop adanya. Tŭtapi ada juga orang diantaramu itu yang tiada pŭrchaya. Kŭrna deri mula mulanya tŭlah dikŭtahui Isa mana orang yang tiada pŭrchaya, dan mana orang yang akan mŭnyŭrahka dia. Maka katanya, Sŭbab itu aku bŭrkata padamu, bahwa sa’orang pun tiada bulih datang kapadaku, jikalau tiada dikurniakan ulih Ayahku akan dia. ¶ Maka deripada kutika itu bŭrpalinglah banyak murid muridnya, tiadalah lagi marika itu bŭrsama sama dŭngan dia. Maka sŭbab itu bŭrkatalah Isa kapada duablas orang murid muridnya itu, Kamu orang pun handak pŭrgikah? Kutika itu maka disahut ulih Simon Petros, Tuhan, kapada siapakah kami akan pŭrgi, Tuhanlah juga yang ada pŭrkataan hidop kŭkal itu. Maka kami pŭrchayalah sŭrta dŭngan yakin, bahwasanya angkau inilah Almasih, dan Anak Allah yang hidop itu.
YOHANES 6:60-69 AVB (Alkitab Versi Borneo)
Antara murid yang mendengar kata-kata-Nya itu, ramai yang berkata, “Ajaran ini terlalu susah difahami. Siapakah yang dapat menerimanya?” Yesus tahu tanpa diberitahu akan rungutan murid-murid-Nya. Lalu Dia berkata kepada mereka, “Adakah perkara ini menyebabkan kamu enggan percaya? Bagaimana nanti kalau kamu melihat Anak Manusia naik semula ke tempat asal-Nya? Hanya Roh Kudus memberi hidup. Tubuh tidak ada faedahnya. Apa yang Kukatakan kepadamu ini datang daripada Roh Kudus dan memberi hidup. Sungguhpun begitu, sebilangan daripadamu tidak percaya.” (Yesus mengetahui dari mulanya siapa yang enggan percaya dan siapa yang akan mengkhianati-Nya.) Yesus berkata lagi, “Maka itulah sebabnya Aku berkata kepadamu, tiada seorang pun dapat datang kepada-Ku kecuali dengan keredaan Allah.” Selepas itu, ramai murid Yesus menjauhkan diri dan tidak lagi mengikut-Nya. Oleh yang demikian, Yesus bertanya kepada murid-Nya yang dua belas itu, “Adakah kamu juga akan meninggalkan-Ku?” Simon Petrus berkata kepada Yesus, “Tuhan, kepada siapa lagi akan kami pergi? Engkaulah yang memiliki kata-kata hidup yang kekal. Kami percaya sepenuh hati bahawa Engkaulah Yang Suci daripada Allah.”