YOHANES 3:1-8,13-16
YOHANES 3:1-8 Alkitab Berita Baik (BM)
Ada seorang pemimpin Yahudi bernama Nikodemus; dia daripada golongan Farisi. Pada suatu malam dia datang kepada Yesus lalu berkata kepada-Nya, “Guru, kami tahu bahawa guru diutus oleh Allah untuk mengajar kami. Tidak seorang pun dapat melakukan mukjizat seperti yang guru lakukan, kecuali Allah menyertai dia.” Yesus menjawab, “Percayalah, tidak seorang pun dapat menikmati Pemerintahan Allah kecuali dia dilahirkan semula.” Nikodemus bertanya, “Bagaimanakah seorang dewasa dapat dilahirkan semula? Tidak mungkin dia masuk semula ke rahim ibunya lalu dilahirkan untuk kali kedua!” Yesus menjawab, “Apa yang Aku katakan ini benar: Tidak mungkin seorang pun menikmati Pemerintahan Allah, kecuali dia dilahirkan daripada air dan daripada Roh Allah. Secara jasmani manusia dilahirkan oleh manusia, tetapi secara rohani manusia dilahirkan oleh Roh Allah. Janganlah hairan kerana Aku berkata kepadamu bahawa kamu semua mesti dilahirkan semula! Angin bertiup ke mana sahaja angin mahu; kita mendengar bunyinya, tetapi tidak tahu dari mana datangnya dan ke mana perginya angin itu. Begitu juga halnya dengan setiap orang yang dilahirkan oleh Roh Allah.”
YOHANES 3:13-16 Alkitab Berita Baik (BM)
Tidak seorang pun pernah naik ke syurga, kecuali Anak Manusia yang turun dari syurga. Sebagaimana ular gangsa ditinggikan oleh Musa pada sebatang kayu di padang gurun, begitu jugalah Anak Manusia harus ditinggikan, supaya semua orang yang percaya kepada Anak Manusia beroleh hidup sejati dan kekal. Allah sangat mengasihi orang di dunia ini sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada Anak itu tidak binasa tetapi beroleh hidup sejati dan kekal.
YOHANES 3:1-8 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
BŬRMULA maka adalah sa’orang orang Farisia yang bŭrnama Nikudimas, iya itu pŭnghulu orang Yahudi adanya. Maka datanglah iya kapada Isa pada malam hari, lalu katanya, Hie Rabbi, bahwa kami kŭtahui, maka angkaulah sa’orang guru yang tŭlah datang deripada Allah, kŭrna sa’orang pun tiada bulih mŭmbuat sagala mujizat yang spŭrti angkau pŭrbuat ini, jikalau tiada Allah bŭsŭrta dŭngan dia. Maka sahut Isa katanya, Sŭsungguh sungguhnya aku bŭrkata kapadamu, kŭchualinya jikalau barang sa’orang tiada dipranakkan pula, maka tiadalah iya dapat mŭlihat krajaan Allah Maka jawab Nikudimas, Bagimanakah bulih manusia ini dipranakkan tŭtkala tuanya, maka dapatkah iya masok kadua kalinya kŭdalam pŭrot ibunya dipranakkan pula? Maka sahut Isa, Sŭsungguh sungguhnya aku bŭrkata kapadamu, kŭchualinya barang sa’orang yang tiada dipranakkan deri ayer dan Roh Alkudus, maka tiadalah iya bulih masok kŭdalam krajaan Allah. Maka barang yang dipranakkan deripada hawa nafsu, maka iya itu hawa nafsu adanya; maka barang yang dipranakkan deripada Roh Alkudus, maka iya itu Roh Alkudus juga adanya. Maka janganlah angkau mŭnjadi hieran, aku bŭrkata kapadamu, kamu patut dipranakkan pula. Adapun angin itu bŭrtiup barang kŭmana dikahandakinya, maka angkau dŭngar juga bunyinya, tŭtapi tiada angkau kŭtahui deri manakah datangnya, dan kŭmanakah pŭrginya; maka dŭmkianlah juga halnya masing masing orang yang dipranakkan deripada Roh Alkudus itu.
Injil Yahya 3:13-16 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka sa’orang pun tiada naik kŭshorga, mŭlainkan orang yang tŭlah turon deri shorga, maka iya itu Anak manusialah dia yang ada dishorga. ¶ Shahadan spŭrti ular itu ditinggikan ulih Musa dalam padang blantara; maka dŭmkianlah harus Anak manusia pun ditinggikan. Supaya barang siapa yang pŭrchaya akan dia, iya itu tiada binasa mŭlainkan mŭndapat hidop yang kŭkal juga. ¶ Kŭrna Allah tŭrsangatlah mŭngasihi orang isi dunia ini; sahingga dikurniakannya Anaknya yang tunggal itu, supaya barang siapa yang pŭrchaya akan dia, tiada iya akan binasa, mŭlainkan mŭndapat hidop yang kŭkal.
YOHANES 3:1-8 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Pada masa itu ada seorang pemimpin Yahudi daripada golongan Farisi yang bernama Nikodemus. Dia mengunjungi Yesus pada suatu malam lalu berkata, “Rabbi, kami tahu bahawa Engkau guru yang datang daripada Allah. Tidak mungkin seseorang melakukan mukjizat seperti yang Kaulakukan kecuali Allah menyertai-Nya.” Yesus menjawab, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, kecuali seseorang dilahirkan semula, dia tidak dapat melihat kerajaan Allah.” Nikodemus bertanya, “Bagaimana seorang dewasa mungkin dilahirkan semula? Tidak mungkin dia masuk semula ke rahim ibunya lalu dilahirkan sekali lagi!” Yesus menjawab, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, kecuali seseorang dilahirkan daripada air dan Roh Kudus, dia tidak akan masuk ke dalam kerajaan Allah. Yang dilahirkan manusia ialah manusia, dan yang dilahirkan Roh ialah roh. Janganlah hairan akan kata-kata-Ku bahawa kamu semua perlu dilahirkan semula. Angin bertiup semahunya. Kita mendengar bunyinya, tetapi tidak tahu dari mana datangnya dan ke mana perginya. Demikianlah juga dengan orang yang dilahirkan oleh Roh Kudus.”
Yohanes 3:13-16 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Tiada seorang pun pernah naik ke syurga, kecuali Anak Manusia yang turun dari syurga. Sebagaimana ular diangkat oleh Musa di gurun, begitulah Anak Manusia akan diangkat supaya semua yang percaya kepada-Nya mendapat hidup yang kekal. Allah begitu mengasihi dunia sehingga menganugerahkan Anak-Nya yang tunggal supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa melainkan mendapat hidup kekal.