YOHANES 19:16-27

YOHANES 19:16-27 Alkitab Berita Baik (BM)

Kemudian Pilatus menyerahkan Yesus kepada mereka untuk disalibkan. Mereka mengambil Yesus dan membawa Dia pergi. Sambil memikul salib-Nya, Yesus pergi ke luar bandar ke tempat yang bernama “Tempat Tengkorak.” (Dalam bahasa Ibrani tempat itu disebut “Golgota”.) Di situ Dia disalibkan. Dua orang lain juga disalibkan bersama-sama Yesus, seorang di sebelah kiri, seorang di sebelah kanan dan Yesus di tengah. Pilatus menyuruh orang memasang papan kenyataan pada kayu salib Yesus. Papan kenyataan itu bertulis: “Yesus dari Nasaret, Raja Orang Yahudi”. Banyak orang Yahudi membacanya kerana tempat Yesus disalibkan itu tidak jauh dari bandar. Tulisan itu dalam bahasa Ibrani, Latin, dan Yunani. Ketua-ketua imam berkata kepada Pilatus, “Janganlah tulis, ‘Raja Orang Yahudi’, melainkan tulislah: ‘Orang ini berkata, Aku Raja Orang Yahudi.’ ” Tetapi Pilatus menjawab, “Apa yang sudah aku tulis tidak boleh diubah!” Setelah askar-askar itu menyalibkan Yesus, mereka mengambil pakaian-Nya lalu membahaginya menjadi empat bahagian; dan masing-masing mendapat sebahagian. Mereka juga mengambil jubah-Nya yang dibuat daripada sehelai kain yang ditenun dari atas sampai ke bawah tanpa jahitan. Askar-askar bercakap sesama sendiri, “Janganlah koyak jubah ini. Marilah kita buang undi untuk menentukan orang yang boleh mendapatnya.” Hal ini berlaku supaya apa yang tertulis di dalam Alkitab terjadi, “Mereka membahagi-bahagi pakaian-Ku, dan membuang undi bagi jubah-Ku.” Demikianlah yang dilakukan oleh askar-askar itu. Ibu Yesus, saudara perempuan ibunya, Maria isteri Klopas, dan Maria Magdalena berdiri dekat salib itu. Yesus nampak ibu-Nya dan pengikut yang dikasihi-Nya berdiri di situ. Oleh itu Yesus berkata kepada ibu-Nya, “Puan, dia anak puan.” Kemudian Yesus berkata kepada pengikut itu, “Dia ibumu.” Sejak itu, ibu Yesus tinggal di rumah pengikut itu.

YOHANES 19:16-27 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Sŭtlah itu maka Pilatus pun mŭnyŭrahkan Isa kapada marika itu, supaya disalibkannya akan dia. Bŭrmula maka kluarlah Isa dŭngan mŭmikol kayu salibnya itu, lalu sampie kapada suatu tŭmpat yang bŭrnama tŭmpat tŭngkorak, yang tŭrsŭbut dŭngan bahsa Ibrani, Golgotha. Maka ditŭmpat itulah disalibkan orang akan Isa bŭsŭrta dua orang lain pun disalibkan disŭblah mŭnyŭblahnya, maka Isa ditŭngah ditŭngahnya. ¶ Maka Pilatus mŭnyurat suatu surat gŭlaran, dilŭtakkannya pada kayu salib itu; adapun surat itu dŭmkian bunyinya, ISA ORANG NAZARETH, RAJA ORANG YAHUDI. Maka banyaklah deripada orang Yahudi ada mŭmbacha surat gŭlaran itu, kŭrna tŭmpat Isa disalibkan itu dŭkat nŭgri; maka surat itu dituliskan dŭngan bahsa Ibrani, dan Gŭrika, dan Rom. Maka bŭrkatalah imam imam bŭsar orang Yahudi kapada Pilatus, Janganlah dituliskan dia Raja orang Yahudi, mŭlainkan bahwa iya sŭndiri bŭrkata, Aku ini Raja orang Yahudi. Maka disahut Pilatus, Adapun barang yang sudah kutuliskan itulah dia. ¶ Bŭrmula sŭtlah sudah sagala lashkar itu mŭnsalibkan Isa, maka diambilnyalah sagala pakieannya, lalu dibahgikannya itu ampat bahgian, iya itu pada sa’orang satu bahgian, maka bajunya pun dŭmkian juga; adapun bajunya itu tiada bŭrkŭlim, mŭlainkan ditŭnun sahja deri atas sampie kŭbawah. Maka bŭrkatalah lashkar itu sa’orang kapada sa’orang, Janganlah kita charekkan, mŭlainkan baiklah kita buang undi, kita lihat siapa mŭndapat dia; maka tŭlah gŭnaplah pŭrkataan yang tŭrsŭbut dalam kitab katanya, Marika itu mŭmbahgi pakieanku pada sama sŭndirinya, dan atas bajuku marika itu mŭmbuang undi. Adapun sagala pŭrkara itu dipŭrbuat ulih lashkar itu. ¶ Maka adapun dŭkat salib itu adalah bŭrdiri ibu Isa, dan saudara pŭrampuan ibunya, iya itu Mŭriam istri Kleofas, dan Mŭriam Magdalani. Adapun sŭtlah Isa mŭlihat akan ibunya, dan sa’orang murid yang dikasihinya pun bŭrdiri dŭkat, maka bŭrkata Isa kapada ibunya, Hie pŭrampuan, lihatlah anakmu. Kumdian maka bŭrkata Isa kapada sa’orang murid itu, Lihatlah ibumu; maka deripada kutika itulah diambil ulih murid itu akan pŭrampuan itu dipliharakannya akan dia dirumahnya.

YOHANES 19:16-27 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Oleh itu, Pilatus pun menyerahkan Yesus kepada mereka untuk disalib. Lalu mereka mengambil-Nya dan membawa-Nya pergi. Yesus pun mengangkat salib-Nya dan pergi ke suatu tempat yang dipanggil Tempat Tengkorak, yang dalam bahasa Ibrani disebut Golgota. Di situ mereka menyalib Yesus, bersama-sama dua orang lain di kiri dan kanan-Nya dan Yesus di tengah. Pilatus memerintahkan supaya satu catatan ditulis dan diletakkannya di atas salib itu. Tulisan itu berbunyi: “Yesus, orang Nazaret, Raja orang Yahudi.” Ramai orang Yahudi membaca tulisan itu, kerana tempat Yesus disalib itu dekat dengan kota, dan tulisan itu dalam bahasa Ibrani, Yunani dan Latin. Ketua-ketua imam Yahudi pula berkata kepada Pilatus, “Janganlah tulis: ‘Raja orang Yahudi.’ Tetapi, tulislah: ‘Dia berkata Dia Raja orang Yahudi.’ ” Pilatus menjawab, “Apa yang sudah kutulis itu sudah kutulis.” Setelah menyalib Yesus, askar-askar mengambil pakaian-Nya, dibahagi empat, sebahagian untuk setiap askar. Mereka mengambil jubah-Nya juga. Jubah itu tidak berkelim, seluruhnya dianyam dari atas. Oleh itu, mereka berkata-kata sesama sendiri, “Janganlah kita koyakkan. Kita buang undi untuk menentukan siapa yang dapat.” Dengan demikian terlaksanalah apa yang tersurat dalam Kitab Suci: “Mereka membahagikan pakaian-Ku antara mereka, dan untuk mendapat jubah-Ku mereka membuang undi.” Begitulah yang dilakukan oleh askar-askar itu. Di tepi salib Yesus berdiri ibu-Nya, dan saudara perempuan ibu-Nya, Maria isteri Klopas, dan Maria Magdalena. Apabila Yesus melihat ibu-Nya dan murid-Nya yang dikasihi berdiri di situ, Dia pun berkata kepada ibu-Nya, “Lihat, itulah anakmu.” Kepada murid-Nya Dia berkata, “Lihatlah ibumu.” Sejak itu murid tersebut mengambil ibu Yesus sebagai ibunya dan membawanya tinggal di rumahnya.