YOHANES 17:3-12

YOHANES 17:3-12 Alkitab Berita Baik (BM)

Jika orang mengenal Engkau, satu-satunya Allah yang benar, dan mengenal Yesus Kristus yang sudah Engkau utus, maka mereka mendapat hidup sejati dan kekal. Aku sudah memuliakan Engkau di atas bumi dengan menyelesaikan tugas yang Engkau berikan kepada-Ku. Ya Bapa, muliakanlah Aku sekarang dengan kemuliaan yang Aku miliki bersama-sama-Mu sebelum dunia ini dijadikan. Aku sudah menunjukkan Engkau kepada semua orang dari dunia ini yang Engkau serahkan kepada-Ku. Mereka milik-Mu, dan Engkau menyerahkan mereka kepada-Ku. Mereka mentaati firman-Mu, dan sekarang mereka tahu bahawa semua yang Engkau berikan kepada-Ku datangnya daripada-Mu. Perkhabaran yang Engkau berikan kepada-Ku sudah Aku sampaikan kepada mereka, dan mereka menerimanya. Mereka tahu bahawa Aku betul-betul datang daripada Engkau dan mereka percaya bahawa Engkau mengutus Aku. Aku berdoa untuk mereka. Aku tidak berdoa untuk dunia, melainkan untuk semua orang yang sudah Engkau serahkan kepada-Ku, kerana mereka milik-Mu. Semua milik-Ku, milik-Mu juga; dan semua milik-Mu, milik-Ku juga. Kemuliaan-Ku dinyatakan melalui mereka. Sekarang Aku datang kepada-Mu. Aku tidak tinggal lagi di dunia, tetapi mereka masih di dunia. Ya Bapa yang suci, jagalah mereka dengan kekuasaan nama-Mu, nama yang sudah Engkau berikan kepada-Ku, supaya mereka menjadi satu, seperti Engkau dan Aku juga satu. Semasa Aku bersama-sama mereka, Aku menjaga mereka dengan kekuasaan nama-Mu; nama yang Engkau berikan kepada-Ku. Aku melindungi mereka dan tidak seorang pun daripada mereka sesat, kecuali orang yang memang seharusnya sesat, supaya apa yang tertulis di dalam Alkitab berlaku.

YOHANES 17:3-12 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Adapun inilah hidop yang kŭkal, iya itu dikŭnal orang, hanya angkaulah Allah yang asa, dan bŭnar, dan lagi Isa Almasih yang tŭlah angkau surohkan. Maka aku tŭlah pŭrmuliakan dikau diatas bumi, dan tŭlah aku jŭlaskan pŭkŭrjaan yang angkau sŭrahkan kapadaku. Maka skarang ya Ayah, muliakanlah kiranya ulihmu akan daku ini dihalratmu dŭngan kŭmuliaan yang aku tŭlah mŭnaroh sŭrta dŭngan angkau dahulu deripada dunia ini jadi. Bahwa aku sudah mŭnyatakan namamu kapada sagala orang yang tŭlah angkau kurniakan padaku deripada orang isi dunia, maka orang itu angkau ampunyai dia, maka sagala marika itu angkau kurniakan padaku, maka iya pun tŭlah mŭmliharakan pŭrkataanku. Maka skarang tŭlah dikŭtahui marika itu, adapun sagala pŭrkara yang angkau tŭlah mŭmbri padaku itu, iya itu deripadamu juga. Kŭrna sagala pŭrkataan yang angkau bri kapadaku itu sudahlah aku brikan kapada marika itu, maka marika itu tŭlah mŭnŭrima sagala pŭrkataan itu, dan tahulah marika itu dŭngan sŭbŭnarnya, bahwa kŭdatanganku ini deripadamu, dan pŭrchayalah marika itu, bahwa angkaulah yang mŭnyurohkan aku. Maka aku doakanlah akan marika itu, iya itu bukannya aku doakan orang isi dunia, mŭlainkan akan sagala orang yang angkau bri akan daku, kŭrna marika itu orangmu juga. Maka barang suatu yang aku punya itu angkau punya, dan barang suatu yang angkau punya itu aku punya, maka aku juga dimuliakan ulih marika itu. Maka skarang aku ini tiada lagi dalam dunia, tŭtapi marika itu ada lagi dalam dunia; maka aku ini datang kapadamu ya Ayah yang kudus, pliharakanlah kiranya dŭngan sŭbab namamu akan sagala orang yang tŭlah angkau kurniakan akan daku, supaya marika itu jadi suatu spŭrti kami ini ada suatu. Adapun slama aku ada bŭrsama sama dŭngan marika itu didunia, maka aku tŭlah pliharakan marika itu dŭngan namamu, maka aku sudah pliharakan akan sagala orang yang pŭmbrianmu kapadaku, dan sa’orang pun tiada binasa deripada marika ita, hanya anak tumpas juga; supaya gŭnaplah pŭrkataan kitab.

YOHANES 17:3-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Inilah hidup kekal, iaitu mereka mengenal-Mu sebagai satu-satunya Allah yang benar, dan mengenal Yesus Kristus yang Kauutus. Aku telah memuliakan-Mu di bumi ini dengan menyempurnakan kerja yang Kauamanahkan kepada-Ku. Bapa, muliakanlah Aku sekarang dengan kemuliaan yang Kumiliki bersama-Mu sebelum dunia ini diwujudkan. Aku telah menyatakan nama-Mu kepada semua orang di dunia ini yang telah Kauserahkan kepada-Ku. Mereka semua milik-Mu. Engkau telah mengamanahkan mereka kepada-Ku. Kini mereka taat akan firman-Mu. Sekarang mereka tahu bahawa segala yang Kauberikan kepada-Ku itu sebenarnya berasal daripada-Mu. Firman yang Kauberikan kepada-Ku telah Kusampaikan kepada mereka dan mereka menerimanya. Mereka benar-benar tahu bahawa Aku sesungguhnya berasal daripada-Mu, dan percaya bahawa Engkau telah mengutus-Ku. Aku berdoa untuk mereka. Aku tidak berdoa untuk dunia. Aku berdoa untuk orang yang telah Kauserahkan kepada-Ku, kerana mereka milik-Mu. Semua milik-Ku, milik-Mu juga. Semua milik-Mu, milik-Ku juga. Aku dimuliakan melalui mereka. Aku tidak lagi tinggal di dunia, sedangkan mereka masih di dunia. Aku datang kepada-Mu. Bapa Yang Maha Suci, peliharalah mereka dengan nama-Mu, nama yang telah Kauberikan kepada-Ku, supaya mereka menjadi satu sebagaimana Engkau dan Aku adalah satu. Sepanjang waktu Aku bersama mereka, Aku memelihara mereka dengan nama-Mu, nama yang Kauberikan kepada-Ku. Aku melindungi mereka dan tiada seorang pun binasa kecuali anak kebinasaan itu supaya terlaksanalah apa yang tersurat dalam Kitab Suci.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami