YOHANES 16:25-33
YOHANES 16:25-33 Alkitab Berita Baik (BM)
“Aku sudah mengatakan segala perkara ini kepada kamu dengan perumpamaan. Tetapi akan tiba masanya Aku tidak lagi berkata-kata kepada kamu dengan perumpamaan, melainkan Aku akan berkata-kata dengan terus terang kepada kamu tentang Bapa. Pada masa itu, kamu akan meminta kepada Bapa demi nama-Ku. Aku tidak berkata bahawa Aku akan meminta kepada-Nya bagi pihak kamu, kerana Bapa sendiri mengasihi kamu. Dia mengasihi kamu kerana kamu mengasihi Aku dan percaya bahawa Aku datang daripada Allah. Aku memang berasal daripada Bapa, dan Aku sudah datang ke dunia. Tetapi sekarang Aku meninggalkan dunia ini lalu kembali kepada Bapa.” Lalu pengikut-pengikut-Nya berkata kepada Dia, “Sekarang barulah Guru berkata dengan terus terang, tanpa menggunakan perumpamaan. Sekarang kami tahu bahawa Guru mengetahui semuanya. Tidak perlu sesiapa pun bertanya apa-apa kepada Guru. Oleh itu kami percaya bahawa Guru berasal daripada Allah.” Yesus berkata kepada mereka, “Adakah kamu percaya sekarang? Saatnya akan datang, malah sudah tiba, apabila kamu akan dicerai-beraikan. Kamu akan pulang ke rumah masing-masing dan meninggalkan Aku seorang diri. Meskipun demikian, Aku tidak sendirian, kerana Bapa bersama-sama Aku. Aku mengatakan semua ini supaya kamu beroleh kesejahteraan kerana bersatu dengan Aku. Di dunia kamu akan menderita, tetapi tabahkanlah hati kamu, kerana Aku sudah mengalahkan dunia!”
YOHANES 16:25-33 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Adapun aku katakan sagala pŭrkara ini kapadamu dŭngan ibarat, tŭtapi pada masa akan datang kŭlak, tŭtkala itu aku tiada lagi bŭrkata kata kapadamu dŭngan pŭrkataan ibarat, mŭlainkan dŭngan trang juga aku akan mŭnyatakan Ayah kapada kamu. Maka pada masa itulah kŭlak kamu akan mŭminta dŭngan namaku, dan tiada aku bŭrkata kata padamu, bahwa aku pohonkanlah akan kamu pada Ayah. Kŭrna Ayah sŭndiri tŭlah mŭngasihi akan kamu, sŭbab kamu tŭlah mŭngasihi aku, dan kamu tŭlah pŭrchaya aku datang deripada Allah. Maka aku tŭlah kluar deripada Ayah, dan datang kadunia, maka kŭmbali aku mŭninggalkan dunia pula, lalu pulang kapada Ayah. Maka kata sagala murid muridnya padanya, Bahwa skarang angkau bŭrtutor dŭngan nyata, dan tiada bŭrtutor dŭngan pŭrkataan ibarat. Maka skarang kami kŭtahui, bahwa angkau tahu sagala pŭrkara, dan ta’usah sa’orang pun tanya kapadamu, maka sŭbab itulah kami pŭrchaya, bahwa angkau kluar deripada Allah. Maka disahut Isa pada marika itu, Pŭrchayakah kamu skarang? Sŭsungguhnya pada masa akan datang, bahwasanya skarang pun tŭlah sampielah, maka kamu akan dichŭrie bŭriekan masing masing kapada tŭmpatnya, dan kamu mŭninggalkan aku sa’orang sa’orang, akan tŭtapi bukannya aku sa’orang sa’orang, kŭrna ada Ayah sŭrtaku. Adapun aku katakan sagala pŭrkara ini pada kamu, supaya kamu bŭrulih slamat deripadaku, dalam dunia kamu akan bŭrulih kadukaan, tŭtapi tŭtapkanlah hatimu, kŭrna aku tŭlah mŭngalahkan dunia.
YOHANES 16:25-33 Alkitab Versi Borneo (AVB)
“Aku telah mengatakan semua ini kepadamu secara kiasan. Tetapi akan sampai ketikanya Aku tidak lagi menggunakan kiasan; Aku akan berterus terang kepadamu tentang Bapa. Pada hari itu, kamu akan meminta dalam nama-Ku. Aku tidak berkata Aku akan meminta kepada Bapa bagi pihakmu. Bapa sendiri mengasihimu, kerana kamu mengasihi-Ku dan percaya Aku datang daripada Bapa. Aku memang berasal daripada Bapa dan datang ke dunia. Tetapi sekarang Aku meninggalkan dunia ini dan pulang semula kepada Bapa.” Para murid-Nya berkata, “Sekarang barulah Tuhan bercakap terus terang, tanpa menggunakan kiasan. Sekarang kami faham bahawa Engkau mengetahui segala-galanya dan sesiapa pun tidak perlu lagi bertanya apa-apa kepada-Mu. Oleh itu, kami percaya bahawa Engkau datang daripada Allah.” Yesus berkata kepada mereka, “Percayakah kamu sekarang? Saatnya akan datang, malah sudah pun sampai, ketika kamu akan bertempiaran. Kamu akan menjaga diri masing-masing, dan meninggalkan Aku keseorangan. Tetapi sebenarnya Aku tidaklah keseorangan, kerana Bapa bersama-Ku. Segala ini Kukatakan kepadamu supaya kamu beroleh sejahtera di dalam Aku. Di dalam dunia kamu akan menghadapi penderitaan; tetapi tegapkanlah hatimu, kerana Aku telah menewaskan dunia.”