YOHANES 14:1-11

YOHANES 14:1-11 Alkitab Versi Borneo (AVB)

“Janganlah resah hatimu. Percayalah kepada Allah dan percayalah juga kepada-Ku. Di dalam rumah Bapa-Ku ada banyak tempat tinggal. Jika hal ini tidak benar, tidaklah Kukatakan kepadamu. Aku akan pergi menyediakan tempat untukmu. Jika Aku pergi dan menyediakan tempat untukmu, Aku akan pulang dan membawamu ke tempat-Ku, supaya di tempat Aku berada di situ juga kamu berada. Kamu tahu jalan ke tempat Aku pergi.” Tomas berkata kepada Yesus, “Tuhan, kami tidak tahu ke mana Engkau pergi, bagaimana kami mungkin tahu jalan ke sana?” Yesus menjawab, “Akulah jalan, kebenaran dan hidup. Tiada seorang pun datang kepada Bapa kecuali melalui-Ku. Dengan mengenal-Ku, kamu mengenal Bapa-Ku juga. Mulai sekarang kamu mengenal-Nya, malah sudah pun melihat-Nya.” Filipus berkata kepada Yesus, “Tuhan, tunjukkanlah Bapa kepada kami, supaya puaslah hati kami.” Yesus menjawab, “Sekian lama Aku bersama kamu semua, belum lagi kaukenal Aku, Filipus? Sesiapa yang telah melihat-Ku, telah melihat Bapa. Mengapa kamu berkata, ‘Tunjukkanlah Bapa kepada kami?’ Filipus, tidakkah kamu percaya bahawa Aku di dalam Bapa, dan Bapa di dalam-Ku? Segala yang Kukatakan kepadamu bukanlah daripada-Ku, tetapi daripada Bapa yang tinggal di dalam-Ku yang melakukan semua pekerjaan itu. Percayalah kepada-Ku, bahawa Aku di dalam Bapa, dan Bapa di dalam-Ku. Kalaupun kamu tidak percaya akan apa yang Kukatakan, percayalah kepada-Ku kerana apa yang telah Kulakukan.

YOHANES 14:1-11 Alkitab Berita Baik (BM)

Yesus berkata kepada mereka, “Janganlah kamu risau. Percayalah kepada Allah dan percayalah kepada-Ku juga. Di dalam rumah Bapa-Ku terdapat banyak tempat kediaman, dan Aku akan pergi menyediakan tempat untuk kamu. Aku tidak akan berkata demikian kepada kamu, sekiranya hal itu tidak begitu. Setelah Aku pergi menyediakan tempat untuk kamu, Aku akan kembali lalu membawa kamu ke tempat-Ku, supaya kamu tinggal di tempat Aku tinggal. Kamu mengetahui jalan ke tempat Aku pergi itu.” Tomas berkata kepada-Nya, “Tuhan, kami tidak tahu ke mana Tuhan pergi, bagaimanakah kami dapat mengetahui jalan itu?” Yesus menjawab, “Akulah jalan untuk mengenal Allah dan untuk mendapat hidup. Tidak seorang pun dapat datang kepada Bapa kecuali melalui Aku. Kerana kamu mengenal Aku, kamu akan mengenal Bapa-Ku juga. Mulai sekarang kamu mengenal Dia dan sudah melihat Dia.” Filipus berkata kepada Yesus, “Ya Tuhan, tunjukkanlah Bapa kepada kami, supaya kami puas.” Tetapi Yesus menjawab, “Sudah lama Aku bersama-sama kamu semua, dan kamu belum mengenal Aku juga, Filipus? Orang yang sudah melihat Aku, sudah melihat Bapa. Mengapa kamu berkata, ‘Tunjukkanlah Bapa kepada kami’? Filipus, tidakkah kamu percaya bahawa Aku bersatu dengan Bapa, dan Bapa bersatu dengan Aku? Apa yang Aku katakan kepada kamu semua, tidak datang daripada Aku sendiri. Bapa, yang tetap bersatu dengan Aku melakukan semua itu. Percayalah kepada-Ku, bahawa Aku bersatu dengan Bapa, dan Bapa bersatu dengan Aku. Jika kamu tidak percaya kepada apa yang Aku katakan, percayalah kepada-Ku kerana perkara-perkara yang sudah Aku lakukan.

YOHANES 14:1-11 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

BAHWA janganlah duka chita hatimu, kamu pŭrchayalah akan Allah, maka pŭrchayalah pula akan daku. Adapun dirumah Ayahku ada banyak tŭmpat diam, maka jikalau tiada kiranya dŭmkian, nŭschaya aku katakanlah padamu; maka aku pŭrgi ini, supaya aku sŭdiakan suatu tŭmpat bagiemu. Maka jikalau aku pŭrgi sŭrta kusŭdiakan tŭmpat bagiemu, maka aku akan datang kŭmbali mŭnyambut kamu bŭrsama sama, supaya barang dimana aku ada, maka kamu pun ada juga sŭrtaku. Dan kŭmana aku pŭrgi kamu tahu juga, dan jalan itu pun kamu tahu. Maka bŭrkatalah Thomas padanya, Tuhan, tiada kami kŭtahui kŭmanakah angkau handak pŭrgi, ŭntah bagimanakah bulih kita orang tahu jalannya itu. Maka bŭrkatalah Isa padanya, Bahwa aku inilah jalan, dan kŭbŭnaran, dan hayat itu; maka barang sa’orang pun tiada bulih mŭndapatkan kapada Ayah jikalau tiada dŭngan aku. Maka jikalau kamu mŭngŭnal aku, nŭschaya kamu mŭngŭnallah Ayahku pun; maka deri skarang inilah kamu mŭngŭnal akan dia, dan mŭlihat dia. Maka bŭrkatalah Filipus padanya, Tuhan, tunjokkanlah Ayah itu pada kami, maka chukoplah. Maka bŭrkatalah Isa padanya, Bŭgitu lama aku tŭlah bŭrsama sama dŭngan angkau, maka bŭlomkah angkau mŭngŭnal aku Filipus? Bahwa orang yang sudah mŭlihat aku, sŭrasa sudah mŭlihat Ayah; maka bagimanakah katamu, Tunjokkanlah Ayah itu pada kami? Tiadakah angkau pŭrchaya, bahwa aku ini ada dalam Ayah, dan Ayah itu pun ada didalamku? Adapun sagala pŭrkataan yang aku katakan padamu itu, bahwa bukannya itu deripada kahandak diriku, tŭtapi Ayah yang tinggal di dalamku, maka iyalah yang mŭngadakan sagala pŭrbuatan itu Pŭrchayalah ulih kamu skalian, bahwa aku ini ada didalam Ayah, dan Ayah didalam aku, atau pŭrchayalah akan daku ulih sŭbab sagala pŭrbuatan yang kuadakan itu.

YOHANES 14:1-11

YOHANES 14:1-11 BMYOHANES 14:1-11 BMYOHANES 14:1-11 BM

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami