YOHANES 11:38-43
YOHANES 11:38-43 Alkitab Berita Baik (BM)
Yesus sangat terharu lagi, lalu Dia pergi ke kubur. Kubur itu sebuah gua yang ditutup dengan sebuah batu besar. Lalu Yesus berkata, “Tepikan batu ini.” Tetapi Marta, saudara orang yang meninggal itu menjawab, “Tuhan, sudah empat hari dia dikuburkan. Tentu busuk baunya!” Yesus berkata kepada Marta, “Tidakkah Aku berkata kepadamu: Jika kamu percaya, kamu boleh melihat betapa besarnya kuasa Allah?” Mereka mengetepikan batu itu, lalu Yesus menengadah ke langit dan berkata, “Aku bersyukur kepada-Mu, ya Bapa, kerana Engkau mendengar permintaan-Ku. Aku tahu bahawa Engkau sentiasa mendengar permintaan-Ku. Aku berkata demikian untuk kebaikan semua orang di sini, supaya mereka percaya bahawa Engkaulah yang mengutus Aku.” Setelah Yesus berkata demikian, Dia berseru dengan suara kuat, “Lazarus, keluar!”
YOHANES 11:38-43 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka sŭbab itu bŭrkŭlohlah Isa pula akan dia, lalu pŭrgilah kakubor itu. Maka adalah tŭmpat itu suatu goa, ada dihadapannya sa’buah batu tŭrhantar. Maka kata Isa, Undorkanlah batu itu. Maka kata Martha, saudara orang yang mati itu, Tuhan, skarang sudah busoklah bahunya, kŭrna tŭlah ampat hari lamanya. Maka kata Isa pada pŭrampuan itu, Bahwa bukankah aku tŭlah bŭrkata kapadamu, asal angkau pŭrchaya sahja, maka angkau akan mŭlihat kŭmuliaan Allah? Maka diundorkan oranglah batu itu deri tŭmpat orang mati itu, sŭtlah itu maka tŭngadahlah Isa, sŭrta bŭrkata, Ya Ayah, bahwa mŭnguchap shukorlah aku kapadamu, sŭbab angkau tŭlah mŭnŭrima doaku. Maka kukŭtahuilah bahwa angkau mŭnŭrima doaku pada sŭdiakala; tŭtapi sŭbab orang orang yang bŭrdiri disini, aku katakan itu, supaya marika itu pŭrchaya, bahwa angkaulah yang tŭlah mŭnyurohkan aku. Maka sŭtlah sudah iya bŭrkata kata dŭmkian, maka bŭrsrulah iya dŭngan swaranya yang nyaring katanya, Hie Lazaras, kluarlah angkau.
YOHANES 11:38-43 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Yesus yang masih terharu pergi ke makam Lazarus, iaitu sebuah gua yang ditutup dengan batu besar. Yesus berkata, “Alihkan batu itu.” Tetapi Marta, saudara perempuan kepada orang yang meninggal itu, berkata, “Tuhan, sudah empat hari dia dimakamkan, tentu berbau.” Yesus berkata kepada Marta, “Bukankah sudah Kukatakan kepadamu, kalau kamu percaya, kamu dapat melihat kemuliaan Allah?” Mereka mengalihkan batu itu. Yesus menengadah ke langit lalu berkata, “Ya Bapa, Aku bersyukur kepada-Mu kerana Engkau mendengar permintaan-Ku. Aku tahu Engkau memang sentiasa mendengar permintaan-Ku. Aku menyebutnya untuk kebaikan semua orang di sini, supaya mereka percaya Engkau mengutus-Ku.” Selepas itu, Yesus berseru lantang, “Lazarus, keluar!”