YOHANES 10:7-18

YOHANES 10:7-18 Alkitab Berita Baik (BM)

Oleh itu, Yesus berkata lagi, “Apa yang Aku katakan ini benar: Akulah pintu bagi kawanan domba. Semua yang datang sebelum Aku adalah pencuri dan perompak, tetapi kawanan domba tidak mendengarkan suara mereka. Akulah pintu. Sesiapa yang masuk melalui Aku akan diselamatkan. Dia boleh keluar masuk dan menjumpai padang rumput. Pencuri datang hanya untuk mencuri, membunuh, dan merosak. Tetapi Aku datang supaya manusia mendapat hidup, iaitu hidup yang kelimpahan. Akulah gembala yang baik. Gembala yang baik mengorbankan nyawa untuk kawanan dombanya. Seorang upahan yang bukan gembala dan bukan pemilik domba, akan lari meninggalkan kawanan domba manakala dia melihat serigala datang. Oleh itu kawanan domba akan diterkam dan dicerai-beraikan oleh serigala. Orang upahan itu lari kerana dia bekerja untuk mendapat upah. Dia tidak mempedulikan domba-domba itu. Akulah gembala yang baik. Sebagaimana Bapa mengenal Aku dan Aku mengenal Bapa, begitu juga Aku mengenal domba-domba-Ku dan mereka pun mengenal Aku. Aku mengorbankan nyawa untuk mereka. Masih ada domba-domba lain yang juga milik-Ku, tetapi tidak termasuk dalam kawanan ini. Aku juga harus memimpin mereka dan mereka akan mendengarkan suara-Ku. Mereka semuanya akan menjadi satu kawanan dengan satu gembala. Bapa mengasihi Aku kerana Aku bersedia menyerahkan nyawa-Ku, supaya Aku boleh menerimanya kembali. Tidak seorang pun dapat mengambil nyawa-Ku daripada-Ku. Aku menyerahkannya dengan rela. Aku berhak menyerahkannya dan Aku berhak mendapatnya kembali. Inilah tugas yang Aku terima daripada Bapa-Ku.”

YOHANES 10:7-18 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Sŭtlah itu maka bŭrkatalah Isa pula pada marika itu, Bahwa sŭsungguh sungguhnya aku bŭrkata padamu, akulah pintu pada domba itu. Adapun sagala orang yang datang dahulu deripadaku itu, iya itu pŭnchuri dan pŭnyamun, akan tŭtapi tiada diturot ulih domba domba itu akan tutor marika itu. Maka aku inilah pintu, jikalau barang sa’orang masok deripadaku, maka iya itu akan bŭrulih slamat, dan iya akan masok dan kluar, dan mŭndapat makanan. Maka tiada pŭnchuri itu datang, mŭlainkan iya handak mŭnchuri, dan mŭmbunoh, dan mŭmbinasakan; tŭtapi aku tŭlah datang, supaya marika itu bulih hidop, maka supaya iya mŭndapat itu dŭngan kŭlempahannya. Bahwa akulah gombala yang baik itu; adapun gombala yang baik itu mŭmbri jiwanya ganti domba itu. Tŭtapi orang upahan sahja yang bukan gombala bŭtul, dan bukannya pula iya ampunya domba, maka apabila iya mŭlihat sŭrigala datang, lalu ditinggalkannyalah domba itu sŭrta iya lari, maka ditangkaplah ulih sŭrigala, dan dichŭrie bŭriekannyalah domba itu. Adapun orang upahan itu larilah iya, sŭbab iya upahan sahja, tiadalah iya pŭduli akan domba itu. Akulah gombala yang baik, maka aku kŭnal akan domba dombaku, dan aku pun dikŭnal pula ulih domba dombaku. Maka spŭrti Ayah mŭngŭnal akan daku, dŭmkian juga aku mŭngŭnal akan Ayah, dan aku sŭrahkan jiwaku ganti sagala domba itu. Maka adalah pula lagi domba yang lain padaku yang bukan deripada kandang ini, maka ta’dapat tiada aku bawa juga akan dia bŭrsama sama; maka iya kŭlak akan mŭnurot tutorku, maka akan jadi kŭlak suatu kawan, dan suatu gombala juga adanya. Maka sŭbab itulah Ayah mŭngasihi akan daku, kŭrna aku sŭrahkan jiwaku, supaya aku mŭngambil pula akan dia. Maka sa’orang pun tiada mŭngambil itu deripadaku, maka aku sŭrahkan dia dŭngan kahandak hatiku sŭndiri, akulah bŭrkwasa sŭrahkan dia, dan aku pun bŭrkwasa mŭngambil dia pula; maka inilah hukum yang tŭlah aku trima deripada Ayahku.

YOHANES 10:7-18 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Oleh yang demikian, Yesus berkata, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, Akulah pintu bagi kawanan domba itu. Orang yang datang sebelum Aku ialah pencuri dan perompak, tetapi kawanan domba tidak mengikut suara mereka. Akulah pintu. Sesiapa yang masuk melalui-Ku akan diselamatkan. Dia boleh keluar masuk, dan dia akan dapat mencari padang rumput. Pencuri datang untuk mencuri, membunuh dan membinasakan. Tetapi Aku datang supaya manusia mempunyai hidup bahkan mempunyai hidup yang berlimpah-limpah. Akulah gembala yang baik. Gembala yang baik mengorbankan nyawanya untuk kawanan dombanya. Orang upahan yang bukan gembala atau pemilik kawanan domba itu akan lari apabila melihat serigala datang. Maka serigala menerkam domba itu dan menyebabkannya lari bertempiaran. Orang upahan itu lari kerana dia bekerja semata-mata untuk mendapat upah. Dia tidak peduli akan kawanan domba itu. Akulah gembala yang baik. Aku mengenal domba-domba-Ku dan domba-domba-Ku mengenal-Ku, sebagaimana Bapa mengenal-Ku, dan Aku mengenal-Nya. Aku mengorbankan nyawa-Ku untuk domba-domba-Ku. Aku miliki domba-domba lain yang bukan daripada kawanan ini. Mereka juga mesti Kupimpin, dan mereka akan mengikut suara-Ku. Kesemuanya akan menjadi satu kawanan dengan satu gembala. Bapa mengasihi-Ku kerana Aku sanggup menyerahkan nyawa-Ku agar dapat mengambilnya semula nanti. Sesiapa pun tidak dapat meragut nyawa-Ku. Aku menyerahkannya dengan rela. Aku berkuasa menyerahkan nyawa-Ku dan berkuasa mengambilnya semula. Inilah perintah yang Kuterima daripada Bapa-Ku.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami