YEREMIA 9:10-24

YEREMIA 9:10-24 Alkitab Berita Baik (BM)

Aku, Yeremia, berkata, “Aku akan meratapi gunung-gunung dan menangisi padang rumput, kerana semuanya sudah kering dan tidak dilalui orang. Bunyi ternakan tidak kedengaran lagi; burung serta binatang liar sudah lari dan pergi.” TUHAN berfirman, “Aku akan menjadikan Yerusalem timbunan runtuhan, tempat persembunyian anjing hutan. Kota-kota Yehuda akan menjadi sunyi, tempat yang tidak lagi dihuni.” Aku bertanya, “Ya TUHAN, mengapa negeri ini menjadi tandus dan kering seperti gurun, sehingga tiada orang melaluinya? Siapakah yang cukup bijak untuk mengerti akan semuanya? Kepada siapakah Engkau memberikan penerangan tentang hal ini supaya dia dapat memberitahu orang lain?” TUHAN menjawab, “Hal itu berlaku kerana umat-Ku tidak lagi memperhatikan ajaran yang Kuberikan kepada mereka. Mereka tidak mentaati Aku dan tidak mematuhi perintah-Ku. Mereka keras kepala dan menyembah berhala-berhala Baal seperti yang diajarkan oleh nenek moyang mereka. Oleh itu dengarlah apa yang akan Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, lakukan: Aku akan memberi umat-Ku tanaman pahit untuk dimakan dan racun untuk diminum. Aku akan mencerai-beraikan mereka antara bangsa-bangsa yang tidak dikenal oleh mereka atau nenek moyang mereka. Aku akan mengirim tentera untuk menyerang mereka sampai Aku membinasakan mereka sama sekali.” TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman kepada umat-Nya, “Perhatikanlah apa yang sedang berlaku! Panggillah peratap upahan. Suruhlah perempuan-perempuan datang dan menyanyikan lagu perkabungan.” Penduduk Yehuda berkata, “Suruhlah mereka segera menyanyikan lagu perkabungan untuk kami, sehingga mata kami dipenuhi air mata, dan kelopak mata kami basah kerana menangis.” Dengarlah suara tangisan di Sion, “Kami sudah hancur! Kami sangat dipermalukan. Kami harus meninggalkan negeri kami; rumah kami sudah dirobohkan.” Aku berkata, “Dengarlah firman TUHAN, hai kaum wanita, perhatikanlah firman-Nya. Ajarlah anak-anak perempuan kamu cara meratap, ajarlah kawan-kawan kamu cara menyanyikan lagu perkabungan. Maut telah masuk melalui jendela, dan masuk ke dalam istana kita; maut telah menerkam anak-anak di jalan raya dan kaum belia di lapangan terbuka. Mayat bertaburan di mana-mana, seperti timbunan baja di tanah, seperti gandum yang dipotong dan ditinggalkan oleh para penuai, dan tidak dikumpulkan oleh sesiapa. TUHAN menyuruh aku memberitakan perkhabaran itu.” TUHAN berfirman, “Orang bijak tidak boleh berbangga kerana kebijaksanaan mereka, orang kuat tidak boleh berbangga kerana kekuatan mereka, dan orang kaya tidak boleh berbangga kerana kekayaan mereka. Jika sesiapa hendak berbangga, dia harus berbangga kerana dia mengenal dan memahami Aku, dan bahawa Akulah TUHAN yang mengasihi orang selama-lamanya, dan Aku melakukan yang adil dan benar. Semua itu menyenangkan hati-Ku. Aku, TUHAN, telah berfirman.”

YEREMIA 9:10-24 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Aku akan menyaringkan tangisan dan lagu perkabungan untuk gunung-gunung, begitu pula ratapan untuk padang-padang rumput di gurun, kerana semuanya sudah tandus sehingga tidak ada orang yang melintasinya, dan suara ternak tidak terdengar lagi. Baik burung di udara mahupun binatang, semuanya telah pergi lari. Aku akan menjadikan Yerusalem timbunan puing, sarang kawanan serigala. Aku akan menjadikan kota-kota Yehuda sunyi sepi, tanpa penduduk.” Siapakah orang yang cukup bijak untuk mengerti hal ini? Kepada siapakah firman TUHAN disampaikan supaya dia dapat menguar-uarkannya? Mengapakah negeri ini binasa dan gersang seperti gurun sehingga tidak ada yang melintasinya? Firman TUHAN, “Sebabnya mereka mengabaikan hukum-Ku yang telah Kuberikan kepada mereka. Mereka tidak mematuhi Aku dan tidak hidup mengikutinya. Malah mereka mengikuti kedegilan hati masing-masing dan mengikuti para Baal, seperti yang diajarkan nenek moyang mereka kepada mereka.” Oleh sebab itu beginilah firman TUHAN alam semesta, Allah Israel, “Sesungguhnya, Aku akan memberi bangsa ini makan tanaman pahit dan minum air beracun. Aku akan mencerai-beraikan mereka di antara bangsa yang tidak dikenal oleh mereka atau oleh nenek moyang mereka. Aku akan menyuruh pedang mengejar mereka sehingga Aku menghapuskan mereka.” Beginilah firman TUHAN alam semesta, “Perhatikanlah! Panggillah tukang ratap perempuan supaya mereka datang. Suruhlah orang menjemput perempuan bijaksana supaya mereka datang. Biarlah mereka bersegera dan menyaringkan lagu perkabungan kerana kita, supaya mata kita menitiskan air mata, dan kelopak mata kita mencucurkan air. Bunyi ratapan perkabungan terdengar dari Sion: ‘Betapa rosaknya kami! Kami sangat malu! Kami harus meninggalkan negeri kami, kerana tempat kediaman kami dirobohkan orang.’ ” Tetapi dengarlah firman TUHAN, wahai kaum perempuan, dan biarlah telingamu menerima firman yang disampaikan-Nya sendiri. Ajarkanlah lagu perkabungan kepada anak-anak perempuanmu, ajarkanlah ratapan seorang kepada yang lain. Maut telah memanjat ke jendela-jendela kita, masuk ke dalam puri-puri kita, untuk melenyapkan kanak-kanak daripada jalan, dan orang muda daripada tempat umum. Katakanlah, “Beginilah firman TUHAN, ‘Mayat manusia akan bergelimpangan seperti baja kandang di permukaan ladang, seperti berkas gandum di belakang orang yang menuai, dan tiada sesiapa yang mengumpulkannya.’ ” Beginilah firman TUHAN, “Janganlah orang bijak bermegah kerana kebijaksanaannya, janganlah orang kuat bermegah kerana kekuatannya, janganlah orang kaya bermegah kerana kekayaannya, tetapi sesiapa yang hendak bermegah, biarlah dia bermegah kerana hal ini: bahawa dia memahami dan mengenal Aku, bahawa Akulah TUHAN, yang menunjukkan kasih abadi, keadilan, dan perbenaran di bumi. Sesungguhnya, hal-hal itulah yang Kusukai,” demikianlah firman TUHAN.