YEREMIA 38:17-23

YEREMIA 38:17-23 Alkitab Berita Baik (BM)

Lalu aku memberitahu Raja Zedekia bahawa TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, berfirman demikian, “Jika engkau menyerah kepada pegawai-pegawai raja Babilonia, nyawamu akan selamat, dan kota ini tidak akan dibakar. Engkau dan keluargamu akan selamat. Tetapi jika engkau tidak menyerah, kota ini akan diserahkan kepada orang Babilonia. Mereka akan membakarnya, dan engkau tidak akan lepas daripada mereka.” Tetapi raja menjawab, “Beta takut kepada rakyat beta yang telah memihak kepada orang Babilonia. Mungkin beta akan diserahkan kepada mereka lalu diseksa.” Aku berkata kepada raja, “Tuanku tidak akan diserahkan kepada musuh. Hamba mohon, taatlah kepada firman TUHAN supaya semuanya akan selamat dan nyawa tuanku pun akan terpelihara. Tetapi TUHAN telah memperlihatkan kepada hamba apa yang akan berlaku terhadap tuanku jika tuanku tidak mahu menyerah. Dalam penglihatan itu hamba nampak semua kaum wanita yang masih tinggal di istana Yehuda dibawa menghadap pegawai-pegawai raja Babilonia. Sambil berjalan kaum wanita itu berkata, ‘Raja telah diperdaya oleh sahabat-sahabat karibnya, mereka telah menguasai baginda. Kini apabila kaki raja sudah masuk ke dalam lumpur, sahabat-sahabatnya meninggalkan baginda.’ ” Aku berkata lagi, “Semua isteri serta anak tuanku akan dibawa kepada orang Babilonia, dan tuanku sendiri pun tidak akan lepas daripada mereka. Tuanku akan ditawan oleh raja Babilonia, dan kota ini akan dibakar sampai musnah.”

YEREMIA 38:17-23 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Kata Yeremia kepada Zedekia, “Beginilah firman TUHAN, Allah alam semesta, Allah Israel, ‘Jika engkau mahu keluar menyerah kalah kepada para perwira raja Babel, maka nyawamu akan terpelihara dan kota ini tidak akan dibakar habis. Engkau dan keluargamu akan tetap hidup. Tetapi jika engkau tidak mahu keluar menyerah kalah kepada perwira raja Babel, maka kota ini akan diserahkan ke dalam tangan orang Kasdim dan mereka akan membakarnya habis. Engkau tidak akan terselamat daripada tangan mereka.’ ” Kata Raja Zedekia kepada Yeremia, “Aku khuatir kepada orang Yehuda yang telah membelot kepada orang Kasdim. Jangan-jangan aku diserahkan ke dalam tangan mereka lalu mereka mempermainkan aku.” Jawab Yeremia, “Mereka tidak akan menyerahkan engkau. Patuhilah TUHAN dalam hal yang kusampaikan kepadamu, maka keadaanmu akan baik dan nyawamu akan terpelihara. Tetapi jika engkau menolak untuk keluar, inilah firman yang dinyatakan TUHAN kepadaku: Sungguh, semua perempuan yang masih tinggal di istana raja Yehuda akan digiring keluar menghadap para perwira raja Babel. Perempuan-perempuan itu akan berkata: ‘Engkau dipujuk dan dikalahkan oleh sahabat-sahabatmu. Ketika kakimu terperosok ke dalam lumpur, mereka mundur.’ Semua isterimu dan anakmu akan digiring keluar ke hadapan orang Kasdim. Engkau sendiri tidak akan terselamat daripada tangan mereka, melainkan akan ditangkap oleh tangan raja Babel. Dengan demikian engkau akan menyebabkan kota ini dibakar habis.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami