YEREMIA 38:1-28
YEREMIA 38:1-28 Alkitab Berita Baik (BM)
Sefaca anak Matan, Gedalya anak Pasyhur, Yukhal anak Selemya, dan Pasyhur anak Malkia mendengar bahawa aku memberitahu rakyat tentang firman TUHAN, “Sesiapa tinggal di dalam kota ini akan mati dalam peperangan, atau kerana kelaparan, atau kerana wabak. Tetapi sesiapa keluar dan menyerah kepada orang Babilonia tidak akan dibunuh; sekurang-kurangnya dia akan hidup.” Aku juga memberitahu mereka firman TUHAN bahawa Dia akan menyerahkan kota ini kepada tentera Babilonia, dan mereka akan merebut kota ini. Lalu pegawai-pegawai itu menghadap raja dan berkata, “Orang ini mesti dihukum mati. Oleh sebab ucapannya itu, tentera kota ini akan lemah semangat, demikian juga setiap orang yang masih tinggal di kota ini. Dia tidak menolong rakyat; sebaliknya dia menyusahkan mereka.” Raja Zedekia bertitah, “Baiklah, perlakukan dia sesuka hati kamu. Beta tidak dapat menghalang kamu.” Oleh itu mereka membawa aku dan menurunkan aku dengan tali ke dalam perigi Putera Malkia. Perigi itu terletak di halaman istana. Perigi itu tidak berair, hanya berlumpur, lalu aku pun masuk ke dalam lumpur itu. Tetapi orang Etiopia yang bernama Ebed-Melekh, iaitu sida-sida yang bekerja di istana, mendengar bahawa aku telah dimasukkan ke dalam perigi oleh pegawai-pegawai itu. Pada masa itu raja sedang memimpin mesyuarat di Pintu Gerbang Benyamin. Ebed-Melekh pergi ke sana dan berkata kepada raja, “Tuanku, perbuatan para pegawai itu salah. Mereka memasukkan Yeremia ke dalam perigi dan tentu dia akan mati kelaparan di sana kerana makanan sudah habis di kota ini.” Selepas itu raja memerintah Ebed-Melekh supaya membawa bersama-samanya tiga orang untuk menarik aku keluar dari perigi itu sebelum aku mati. Ebed-Melekh pergi bersama-sama ketiga-tiga orang itu ke stor istana dan mengambil kain-kain lama, lalu menurunkannya dengan tali kepadaku. Dia menyuruh aku meletakkan kain-kain itu di bawah ketiakku, supaya aku tidak kesakitan apabila aku ditarik ke atas dengan tali itu. Aku pun melakukannya, lalu mereka menarik aku keluar dari perigi itu. Sejak itu aku ditahan di halaman istana. Pada suatu masa yang lain, Raja Zedekia memerintah aku menghadap baginda di pintu ketiga di Rumah TUHAN. Raja bertitah, “Beta hendak menanyakan satu soalan, dan engkau mesti berterus terang. Jangan sembunyikan apa-apa daripada beta.” Aku menjawab, “Jika hamba berterus terang, tuanku akan menjatuhkan hukuman mati kepada hamba; dan jika hamba memberikan nasihat, tuanku tidak akan mempedulikannya.” Oleh itu Raja Zedekia dengan diam-diam berjanji kepadaku, “Beta bersumpah demi TUHAN yang hidup, yang memberi kita nyawa, bahawa beta tidak akan menjatuhkan hukuman mati kepadamu atau menyerahkan engkau kepada orang yang hendak membunuh engkau.” Lalu aku memberitahu Raja Zedekia bahawa TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, berfirman demikian, “Jika engkau menyerah kepada pegawai-pegawai raja Babilonia, nyawamu akan selamat, dan kota ini tidak akan dibakar. Engkau dan keluargamu akan selamat. Tetapi jika engkau tidak menyerah, kota ini akan diserahkan kepada orang Babilonia. Mereka akan membakarnya, dan engkau tidak akan lepas daripada mereka.” Tetapi raja menjawab, “Beta takut kepada rakyat beta yang telah memihak kepada orang Babilonia. Mungkin beta akan diserahkan kepada mereka lalu diseksa.” Aku berkata kepada raja, “Tuanku tidak akan diserahkan kepada musuh. Hamba mohon, taatlah kepada firman TUHAN supaya semuanya akan selamat dan nyawa tuanku pun akan terpelihara. Tetapi TUHAN telah memperlihatkan kepada hamba apa yang akan berlaku terhadap tuanku jika tuanku tidak mahu menyerah. Dalam penglihatan itu hamba nampak semua kaum wanita yang masih tinggal di istana Yehuda dibawa menghadap pegawai-pegawai raja Babilonia. Sambil berjalan kaum wanita itu berkata, ‘Raja telah diperdaya oleh sahabat-sahabat karibnya, mereka telah menguasai baginda. Kini apabila kaki raja sudah masuk ke dalam lumpur, sahabat-sahabatnya meninggalkan baginda.’ ” Aku berkata lagi, “Semua isteri serta anak tuanku akan dibawa kepada orang Babilonia, dan tuanku sendiri pun tidak akan lepas daripada mereka. Tuanku akan ditawan oleh raja Babilonia, dan kota ini akan dibakar sampai musnah.” Raja Zedekia bertitah, “Jangan benarkan sesiapa pun mengetahui percakapan kita ini, supaya nyawamu tidak terancam. Jika para pegawai mendengar bahawa beta telah bercakap dengan engkau, mereka akan bertanya tentang percakapan kita. Mereka akan berjanji bahawa mereka tidak akan membunuh engkau jika engkau menceritakan segala-galanya. Beritahu mereka bahawa engkau memohon supaya beta tidak memasukkan engkau semula ke penjara dan tidak membiarkan engkau mati di sana.” Selepas itu para pegawai datang bertanya kepadaku. Aku memberitahu mereka tepat seperti yang diperintahkan raja. Mereka tidak dapat berbuat apa-apa, kerana tiada sesiapa pun mendengar percakapan kami. Aku ditahan di halaman istana itu sehingga Yerusalem jatuh ke tangan musuh.
YEREMIA 38:1-28 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Sefaca anak Matan, Gedalya anak Pasyhur, Yukhal anak Selemya, dan Pasyhur anak Malkia mendengar perkataan yang disampaikan Yeremia kepada seluruh rakyat, “Beginilah firman TUHAN: Sesiapa yang tetap tinggal di kota ini akan mati oleh pedang, oleh bencana kebuluran, dan oleh wabak penyakit. Tetapi siapa keluar mendapatkan orang Kasdim akan tetap hidup. Nyawanya akan seperti barang jarahan bagi dirinya sendiri. Dia akan tetap hidup. Beginilah firman TUHAN: Kota ini pasti diserahkan ke dalam tangan pasukan raja Babel yang akan merebutnya.” Lalu para pembesar itu berkata kepada raja, “Orang ini harus dihukum mati. Dengan menyampaikan perkataan-perkataan itu, dia mematahkan semangat saki-baki pejuang di kota ini dan seluruh rakyat. Sungguh, orang ini tidak mengikhtiarkan kesejahteraan bagi bangsa ini melainkan malapetaka.” Kata Raja Zedekia, “Baiklah, dia ada dalam kuasamu, kerana raja tidak dapat berbuat apa-apa menentang kamu.” Maka mereka mengambil Yeremia dan menurunkannya dengan tali ke dalam perigi milik Malkia, anak raja, yang terletak di pelataran penjagaan. Di perigi itu tidak ada air, hanya lumpur, sehingga Yeremia terperosok ke dalam lumpur. Ebed-Melekh, seorang sida-sida bangsa Kush yang tinggal di istana raja, mendengar bahawa Yeremia dimasukkan ke dalam perigi. Pada waktu itu raja sedang duduk di Pintu Gerbang Benyamin. Maka keluarlah Ebed-Melekh dari istana dan berbicara kepada raja, “Ya Tuanku Raja, mereka itu telah berbuat jahat dalam segala hal yang dilakukan mereka terhadap Nabi Yeremia. Mereka memasukkannya ke dalam perigi. Dia akan mati kelaparan di tempat itu kerana tidak ada lagi roti di kota.” Lalu raja memberikan perintah kepada Ebed-Melekh, orang Kush itu, “Bawalah tiga puluh orang dari sini dan angkatlah Nabi Yeremia dari perigi itu sebelum dia mati.” Maka Ebed-Melekh membawa tiga puluh orang masuk ke dalam istana raja, ke ruang di bawah perbendaharaan. Dari sana diambil mereka pakaian-pakaian usang dan buruk, lalu diturunkan mereka dengan tali kepada Yeremia di dalam perigi itu. Kata Ebed-Melekh, orang Kush itu, kepada Yeremia, “Kepitlah pakaian-pakaian usang dan buruk itu di bawah ketiakmu sebagai ganjal tali.” Maka Yeremia pun berbuat demikian. Lalu mereka menarik dan mengangkat Yeremia dari dalam perigi itu dengan tali. Kemudian Yeremia tinggal di pelataran penjagaan itu. Raja Zedekia menyuruh orang untuk membawa Nabi Yeremia menghadap dia di pintu ketiga di Bait TUHAN. Kata raja kepada Yeremia, “Aku mahu menanyakan sesuatu kepadamu. Jangan sembunyikan apa-apa daripadaku.” Jawab Yeremia kepada Zedekia, “Apabila aku memberitahukannya kepadamu, bukankah engkau akan menjatuhkan hukuman mati terhadapku? Apabila aku memberikan nasihat kepadamu, engkau tidak akan mendengar aku.” Maka Raja Zedekia bersumpah secara diam-diam kepada Yeremia, katanya, “Demi TUHAN yang hidup, yang menjadikan nyawa kita ini, aku tidak akan menjatuhkan hukuman mati atasmu dan tidak akan menyerahkan engkau ke dalam tangan orang yang mengancam nyawamu itu.” Kata Yeremia kepada Zedekia, “Beginilah firman TUHAN, Allah alam semesta, Allah Israel, ‘Jika engkau mahu keluar menyerah kalah kepada para perwira raja Babel, maka nyawamu akan terpelihara dan kota ini tidak akan dibakar habis. Engkau dan keluargamu akan tetap hidup. Tetapi jika engkau tidak mahu keluar menyerah kalah kepada perwira raja Babel, maka kota ini akan diserahkan ke dalam tangan orang Kasdim dan mereka akan membakarnya habis. Engkau tidak akan terselamat daripada tangan mereka.’ ” Kata Raja Zedekia kepada Yeremia, “Aku khuatir kepada orang Yehuda yang telah membelot kepada orang Kasdim. Jangan-jangan aku diserahkan ke dalam tangan mereka lalu mereka mempermainkan aku.” Jawab Yeremia, “Mereka tidak akan menyerahkan engkau. Patuhilah TUHAN dalam hal yang kusampaikan kepadamu, maka keadaanmu akan baik dan nyawamu akan terpelihara. Tetapi jika engkau menolak untuk keluar, inilah firman yang dinyatakan TUHAN kepadaku: Sungguh, semua perempuan yang masih tinggal di istana raja Yehuda akan digiring keluar menghadap para perwira raja Babel. Perempuan-perempuan itu akan berkata: ‘Engkau dipujuk dan dikalahkan oleh sahabat-sahabatmu. Ketika kakimu terperosok ke dalam lumpur, mereka mundur.’ Semua isterimu dan anakmu akan digiring keluar ke hadapan orang Kasdim. Engkau sendiri tidak akan terselamat daripada tangan mereka, melainkan akan ditangkap oleh tangan raja Babel. Dengan demikian engkau akan menyebabkan kota ini dibakar habis.” Kata Zedekia kepada Yeremia, “Jangan beritahu siapa-siapa pun pembicaraan ini, supaya engkau tidak mati. Apabila para pembesar mendengar bahawa aku telah berbicara dengan engkau, lalu mereka mendatangimu dan berkata, ‘Beritahulah kami apa yang telah kaukatakan kepada raja dan apa yang dikatakan raja kepadamu. Jangan sembunyikan daripada kami, supaya engkau tidak kami bunuh,’ maka katakanlah kepada mereka, ‘Aku menyampaikan permohonanku kepada raja, supaya aku tidak dikembalikannya ke rumah Yonatan untuk mati di sana.’ ” Semua pembesar itu memang datang kepada Yeremia dan bertanya kepadanya, tetapi dia menjawab mereka selaras dengan semua perkataan yang dipesankan raja tadi. Mereka pun berhenti berbicara dengan dia, kerana perkara itu tidak diketahui siapa-siapa pun. Yeremia tinggal di pelataran penjagaan sampai hari Yerusalem ditawan.