YEREMIA 22:1-5 - Compare All Versions
YEREMIA 22:1-5 BM (Alkitab Berita Baik)
TUHAN menyuruh aku pergi ke istana raja Yehuda, keturunan Raja Daud, untuk menyampaikan perkhabaran TUHAN kepada raja dan kepada para pegawainya, serta penduduk Yerusalem. Inilah firman TUHAN kepada mereka, “Lakukanlah apa yang adil dan jujur. Lepaskanlah orang yang ditipu daripada kekuasaan orang yang menipunya. Jangan tindas atau berbuat jahat terhadap orang asing, anak yatim piatu atau balu. Jangan bunuh orang yang tidak bersalah di tempat yang suci ini. Jika kamu sungguh-sungguh menjalankan perintah-Ku, maka keturunan Daud akan tetap menjadi raja. Mereka bersama dengan para pegawai dan rakyat mereka akan melalui pintu gerbang istana ini dengan mengendarai kereta kuda dan menunggang kuda. Tetapi jika kamu tidak mentaati perintah-Ku, Aku bersumpah bahawa istana ini akan menjadi runtuhan. Aku, TUHAN, telah berfirman.
YEREMIA 22:1-5 AVB (Alkitab Versi Borneo)
Beginilah firman TUHAN, “Pergilah ke istana raja Yehuda dan sampaikanlah firman ini di sana. Katakan, ‘Dengarlah firman TUHAN, wahai raja Yehuda yang duduk di atas takhta Daud — engkau, para pegawaimu, dan rakyatmu yang masuk melalui pintu-pintu gerbang ini! Beginilah firman TUHAN: Tegakkanlah keadilan dan kebenaran. Lepaskanlah orang yang dirompak daripada tangan penganiayanya. Jangan tindas dan jangan lakukan kekerasan terhadap pendatang, anak yatim, atau balu. Jangan tumpahkan darah orang yang tidak bersalah di tempat ini. Jika kamu sungguh-sungguh mematuhi firman-Ku, maka melalui pintu-pintu gerbang istana ini akan masuk raja-raja yang akan duduk di atas takhta Daud dengan mengenderai rata dan kuda, diiringi para pegawai serta rakyatnya. Tetapi jika kamu tidak mendengar firman ini, maka Aku bersumpah demi diri-Ku sendiri, demikianlah firman TUHAN, bahawa istana ini akan menjadi reruntuhan.’ ”