YEREMIA 14:7-11
YEREMIA 14:7-11 Alkitab Berita Baik (BM)
Umat-Ku berseru kepada-Ku, ‘Walaupun dosa kami menyalahkan kami, ya TUHAN, tolonglah kami menurut janji-Mu. Kami telah berkali-kali meninggalkan Engkau; kami berdosa terhadap-Mu. Engkaulah satu-satunya harapan Israel, yang menyelamatkan kami daripada malapetaka. Mengapakah Engkau seperti orang asing di negeri kami, dan seperti musafir yang singgah satu malam lalu pergi? Mengapakah Engkau seperti orang yang bingung, seperti pahlawan yang tidak sanggup menolong? Tentu Engkau menyertai kami, ya TUHAN! Kami umat-Mu, jangan tinggalkan kami!’ ” Demikianlah firman TUHAN tentang umat itu, “Mereka suka lari daripada-Ku dan mereka tidak mahu mengawal diri. Oleh itu Aku tidak berkenan kepada mereka. Aku akan mengingat kesalahan mereka, dan menghukum mereka kerana dosa mereka.” TUHAN berfirman kepadaku, “Janganlah minta Aku menolong umat itu.
YEREMIA 14:7-11 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Sekalipun kesalahan-kesalahan kami bersaksi menentang kami, bertindaklah demi nama-Mu, ya TUHAN, kerana banyak kemurtadan kami. Kami telah berdosa terhadap-Mu. Ya Pengharapan orang Israel, Penyelamat Israel pada masa kesesakan, mengapakah Engkau seperti pendatang di negeri ini, seperti orang dalam perjalanan yang hanya singgah untuk bermalam? Mengapakah Engkau seperti orang yang terperanjat, seperti kesateria yang tidak sanggup menyelamatkan? Padahal Engkau hadir antara kami, ya TUHAN, dan kami disebut atas nama-Mu. Janganlah tinggalkan kami!” Beginilah firman TUHAN tentang bangsa ini, “Memang mereka suka mengembara dan tidak menahan kaki mereka. Oleh sebab itu TUHAN tidak berkenan kepada mereka. Sekarang, Dia akan mengingati kesalahan mereka dan menghukum dosa mereka.” Firman TUHAN kepadaku, “Jangan berdoa untuk kebaikan bangsa ini!