YEREMIA 1:14-19
YEREMIA 1:14-19 Alkitab Berita Baik (BM)
TUHAN berfirman kepadaku, “Malapetaka akan melimpah dari utara dan menimpa semua penduduk negeri ini, kerana Aku akan memanggil semua bangsa di sebelah utara datang. Raja-raja mereka akan mendirikan takhta di pintu-pintu gerbang Yerusalem dan di sekeliling temboknya, dan juga di sekeliling kota-kota lain di Yehuda. Aku akan menghukum umat-Ku kerana mereka berdosa; mereka meninggalkan Aku dan mempersembahkan korban kepada tuhan-tuhan lain. Mereka juga membuat dan menyembah berhala-berhala. Bersiap-siaplah, hai Yeremia! Pergilah dan beritahulah mereka tentang semua yang Aku perintahkan kepadamu. Janganlah takut akan mereka, supaya Aku tidak menyebabkan engkau lebih takut lagi apabila engkau berhadapan dengan mereka kelak. Dengarlah, hai Yeremia! Engkau akan ditentang oleh semua penduduk negeri ini, iaitu raja-raja Yehuda, para pegawai pemerintah, para imam, dan rakyat. Tetapi pada hari ini Aku memberi engkau kekuatan untuk menentang mereka. Engkau akan menjadi seperti kota berkubu, seperti tiang besi, dan seperti tembok gangsa. Mereka tidak akan mengalahkan engkau, kerana Aku menyertai engkau untuk melindungi engkau. Aku, TUHAN, telah berfirman.”
YEREMIA 1:14-19 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Firman TUHAN kepadaku, “Dari utara akan terbit malapetaka yang menimpa seluruh penduduk negeri ini. Sungguh, Aku memanggil seluruh suku bangsa daripada kerajaan sebelah utara,” demikianlah firman TUHAN. “Mereka akan datang dan mendirikan takhta masing-masing di depan pintu-pintu gerbang Yerusalem, berhadapan dengan seluruh tembok di sekelilingnya dan berhadapan dengan seluruh kota Yehuda. Aku akan menjatuhkan hukuman-Ku ke atas mereka selaras dengan segala kejahatan mereka yang membelakangi Aku. Mereka membakar dupa bagi tuhan-tuhan lain dan sujud menyembah buatan tangan mereka sendiri. Tetapi bersiaplah engkau! Sampaikanlah segera kepada mereka semua yang Kuperintahkan kepadamu. Jangan kecut hati menghadapi mereka, supaya Aku tidak membuat engkau kecut hati di hadapan mereka. Sesungguhnya, pada hari ini Aku menjadikan engkau kota yang berkubu, tiang besi, dan tembok gangsa di hadapan seluruh negeri ini — di hadapan raja-raja Yehuda, para pembesarnya, para imamnya, dan rakyat negeri ini. Mereka akan memerangi engkau tetapi tidak akan menewaskan engkau, kerana Aku menyertai engkau dan akan membebaskan engkau,” demikianlah firman TUHAN.