HAKIM-HAKIM 7:1-9

HAKIM-HAKIM 7:1-9 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada suatu hari, Gideon dan semua anak buahnya bangun pagi-pagi. Mereka berangkat lalu berkhemah dekat mata air Harod. Orang Midian sedang berkhemah di lembah sebelah utara mereka, dekat Bukit More. TUHAN berfirman kepada Gideon, “Anak buahmu terlalu banyak. Aku tidak mahu memberi mereka kemenangan atas orang Midian. Nanti mereka akan berfikir bahawa mereka menang kerana kekuatan mereka sendiri, sehingga tidak memuliakan Aku. Oleh itu umumkanlah kepada anak buahmu, ‘Sesiapa yang berasa takut, harus segera meninggalkan Gunung Gilead dan pulang ke rumahnya!’ ” Oleh itu dua puluh dua ribu orang pulang; hanya sepuluh ribu orang yang tinggal. Kemudian TUHAN berfirman kepada Gideon, “Masih terlalu banyak anak buahmu. Bawalah mereka ke sungai. Di situ Aku akan memilih mereka bagimu. Jika Aku berfirman kepadamu, ‘Orang ini harus pergi dengan engkau,’ dia harus pergi. Tetapi jika Aku berfirman, ‘Orang ini tidak boleh pergi dengan engkau,’ dia tidak boleh pergi.” Gideon membawa semua anak buahnya ke sungai, lalu TUHAN berfirman kepada Gideon, “Orang yang menjilat air seperti anjing harus engkau pisahkan daripada orang yang berlutut untuk minum.” Sebanyak tiga ratus orang menjilat air dari tangan, sedangkan yang lain berlutut untuk minum. Kemudian TUHAN berfirman kepada Gideon, “Aku akan menyelamatkan engkau dan memberi engkau kemenangan atas orang Midian dengan tiga ratus orang yang menjilat air. Suruhlah semua orang yang lain itu pulang.” Oleh itu Gideon menyuruh semua orang Israel yang lain pulang, kecuali tiga ratus orang itu. Semua bekal dan trompet diambil daripada mereka yang pulang. Ketika itu orang Midian berkhemah di lembah, di bawah tempat orang Israel berkhemah. Pada malam itu TUHAN berfirman kepada Gideon, “Bangunlah! Pergilah serang perkhemahan orang Midian. Aku memberi engkau kemenangan atas mereka.

HAKIM-HAKIM 7:1-9 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Maka Yerubaal, iaitu Gideon dan kesemua orang yang menyertainya bangun pagi-pagi lalu mereka berkhemah di sisi mata air Harod manakala orang Midian berkhemah di lembah dekat bukit More, di utara tempat itu. Berfirmanlah TUHAN kepada Gideon, “Terlalu ramai warga bersama-samamu daripada jumlah yang Aku kehendaki untuk menyerahkan orang Midian ke dalam tangan mereka, kelak orang Israel bukan memuliakan Aku tetapi memegah-megahkan diri mereka dan berkata, ‘Tanganku sendirilah yang menyelamatkan aku.’ Maka sekarang, serukanlah begini kepada semua warga itu, ‘Siapakah yang takut dan gentar, biarlah dia pulang dan tinggalkan pergunungan Gilead.’ ” Lalu pulanglah dua puluh dua ribu orang dan tinggallah sepuluh ribu orang. TUHAN berfirman lagi kepada Gideon, “Masih terlalu ramai orang; suruhlah mereka turun ke air, dan Aku akan menguji mereka untukmu di sana. Jika Aku berfirman kepadamu, ‘Orang ini akan pergi bersama-samamu,’ maka dialah yang akan pergi bersama-samamu. Tetapi jika Aku berfirman kepadamu, ‘Orang ini tidak akan pergi bersama-samamu,’ maka dia tidak akan pergi.” Gideon pun menyuruh kesemua warga itu turun ke air, dan berfirmanlah TUHAN kepadanya, “Kumpulkan sesiapa yang menghirup air dengan menjilatnya seperti anjing, dan juga kumpulkan semua orang yang berlutut untuk minum.” Jumlah orang yang menghirup air yang disauk dengan tangan dan dibawa ke mulut mereka ialah tiga ratus orang manakala kesemua yang lain berlutut untuk minum air. Lalu berfirmanlah TUHAN kepada Gideon, “Akan Aku selamatkan kamu dengan tiga ratus orang yang menghirup itu dan ke dalam tangan kamu akan Aku serahkan orang Midian itu; jadi biarkanlah kesemua warga yang lain itu pulang ke kediaman masing-masing.” Warga tiga ratus orang itu mengambil bekal dan sangkakala dan Gideon menyuruh kesemua orang Israel selebihnya untuk pulang ke khemah masing-masing, tetapi warga tiga ratus orang itu dikekalkan bersama-samanya. Adapun perkhemahan orang Midian terletak di lembah di bawah tempat dia berada. Pada malam itu berfirmanlah TUHAN kepadanya, “Bangunlah, turunlah menyerbu perkhemahan mereka yang telah Aku serahkan ke dalam tanganmu.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami