HAKIM-HAKIM 11:1-40

HAKIM-HAKIM 11:1-40 Alkitab Berita Baik (BM)

Yefta, orang Gilead, ialah seorang askar yang berani. Bapanya bernama Gilead, tetapi ibunya seorang pelacur. Gilead mempunyai anak-anak lain daripada isterinya yang sah. Setelah anak-anaknya itu dewasa, mereka mengusir Yefta dari rumah. Mereka berkata, “Engkau tidak akan mewarisi apa-apa daripada ayah kami, kerana engkau anak daripada perempuan lain.” Oleh itu Yefta lari daripada saudara-saudaranya lalu tinggal di wilayah Tob. Di sana dia mengetuai segerombolan orang jahat, lalu mereka pergi merompak. Tidak berapa lama kemudian umat Israel diserang oleh orang Amon. Ketika kejadian itu berlaku, para pemimpin Gilead menjemput Yefta kembali dari wilayah Tob. Mereka berkata kepadanya, “Jadilah panglima kami supaya kami dapat melawan orang Amon.” Tetapi Yefta menjawab, “Tidakkah kamu membenci aku? Kamu mengusir aku dari rumah bapaku. Mengapakah sekarang, pada masa kesusahan, kamu datang kepadaku?” Mereka berkata kepada Yefta, “Sekarang kami datang kepadamu kerana kami mahu kamu ikut kami, dan mengetuai semua orang Gilead untuk memerangi orang Amon.” Yefta berkata kepada mereka, “Jika kamu membawa aku pulang untuk memerangi orang Amon, dan jika TUHAN menyerahkan mereka kepadaku, maka aku akan menjadi pemerintah kamu.” Mereka menjawab, “Kami setuju. TUHAN saksi kami.” Oleh itu Yefta berangkat bersama dengan para pemimpin Gilead. Kemudian mereka menjadikan dia pemerintah dan panglima. Yefta menyatakan tuntutan-tuntutannya di hadapan TUHAN, di Mizpa. Selepas itu Yefta mengutus orang kepada raja Amon untuk mengatakan begini, “Apakah kesalahan hamba sekalian? Mengapa tuanku menyerang negeri hamba sekalian?” Raja Amon menjawab utusan Yefta, “Ketika umat Israel keluar dari Mesir, mereka merebut negeri beta, bermula dari Sungai Arnon sampai ke Sungai Yabok dan Sungai Yordan. Sekarang kembalikanlah wilayah itu secara damai.” Yefta mengirim utusan-utusan lagi kepada raja Amon untuk menjawab begini, “Umat Israel tidak merebut negeri Moab ataupun negeri Amon. Ketika umat Israel keluar dari Mesir, mereka menuju ke Teluk Akaba melalui padang gurun, lalu tiba di Kades. Dari situ mereka mengutus orang untuk menghadap raja Edom, dan meminta kebenaran untuk melalui negerinya, tetapi raja Edom menolak permintaan mereka. Mereka juga meminta kebenaran daripada raja Moab, tetapi raja Moab pun menolak permintaan mereka. Oleh sebab itu umat Israel tinggal di Kades. Kemudian mereka meneruskan perjalanan melalui padang gurun, tetapi tidak melalui negeri Edom dan Moab, melainkan mengambil jalan keliling sehingga mereka tiba di sebelah timur Moab, di seberang Sungai Arnon. Mereka berkhemah di sana, tetapi tidak menyeberangi sungai itu kerana sungai itu termasuk negeri Moab. Selepas itu Israel mengutus orang kepada Raja Sihon, penguasa orang Amori di Hesybon. Mereka meminta kebenaran untuk melalui negerinya, kerana mereka dalam perjalanan ke tanah mereka sendiri. Tetapi Raja Sihon juga menolak permintaan mereka. Baginda mengumpulkan seluruh angkatan tenteranya lalu berkhemah di Yahas. Kemudian mereka menyerang umat Israel. Tetapi TUHAN, Allah Israel menyerahkan Raja Sihon dan angkatan tenteranya ke tangan orang Israel. Demikianlah umat Israel memiliki semua tanah orang Amori yang tinggal di negeri itu. Mereka menduduki seluruh wilayah orang Amori, bermula dari Arnon di sebelah selatan sampai ke Yabok di sebelah utara, dan dari padang gurun di sebelah timur sampai ke Sungai Yordan di sebelah barat. Maka TUHAN, Allah Israel itulah yang mengusir orang Amori bagi umat-Nya, orang Israel. Adakah tuanku hendak merebutnya kembali? Ambillah apa yang telah diberikan oleh Kamos, dewa tuanku. Tetapi hamba sekalian akan mempertahankan segala yang telah diberikan TUHAN, Allah hamba sekalian kepada hamba sekalian. Adakah tuanku berpendapat bahawa tuanku lebih baik daripada Raja Balak anak Zipor, penguasa Moab? Raja Balak sendiri tidak pernah berperang dengan Israel, ataupun mencabar Israel! Israel telah menduduki Hesybon, Aroer, dan pekan-pekan di sekelilingnya, serta semua kota di pinggir Sungai Arnon selama tiga ratus tahun. Mengapakah tuanku tidak merebutnya selama itu? Hamba tidak bersalah terhadap tuanku. Tuankulah yang bersalah kerana memerangi hamba. TUHAN sendirilah yang menjadi hakim. Dia akan mengadili perkara ini antara umat Israel dan orang Amon.” Tetapi raja Amon tidak menghiraukan berita yang dikirim oleh Yefta itu. Pada saat itu Roh TUHAN menguasai Yefta. Kemudian Yefta menjelajah seluruh Gilead dan Manasye, lalu kembali ke Mizpa di Gilead. Dari sana dia pergi ke Amon. Yefta berjanji kepada TUHAN, katanya, “Jika TUHAN membenarkan aku mengalahkan orang Amon, aku akan mempersembahkan orang yang pertama-tama keluar dari rumahku untuk menyambut aku, sekembalinya aku dari peperangan. Aku akan mempersembahkan orang itu kepada TUHAN sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN.” Oleh itu Yefta menyeberangi sungai untuk memerangi orang Amon dan TUHAN memberi dia kemenangan. Yefta memerangi mereka habis-habisan, dari Aroer sampai ke kawasan di sekeliling Minit, semuanya dua puluh buah kota, dan sampai ke Abel-Keramim. Banyak sekali orang Amon yang terbunuh, sehingga mereka dikalahkan oleh orang Israel. Apabila Yefta kembali ke Mizpa, anak perempuannya datang menyambut dia, sambil menari dan memukul tamburin. Dia anak tunggal Yefta. Ketika Yefta nampak anaknya, dia mengoyak-ngoyakkan pakaiannya kerana dukacita. Katanya, “Aduh anakku, hancurlah hatiku! Mengapakah harus anakku yang menjadikan hatiku pedih? Aku telah bersumpah kepada TUHAN dan aku tidak dapat memungkiri janjiku!” Anaknya menjawab, “Jika ayah telah bersumpah kepada TUHAN, lakukanlah apa saja terhadap diri saya untuk memenuhi janji ayah itu. TUHAN telah memperkenankan ayah membalas dendam terhadap orang Amon, musuh ayah itu.” Anak perempuan itu berkata lagi kepada bapanya, “Saya cuma mohon satu hal: Berilah saya masa dua bulan, supaya saya dapat mengembara di pergunungan bersama dengan sahabat-sahabat saya. Di sana saya akan bersedih kerana saya mesti meninggal ketika masih dara.” Bapanya membenarkan dia pergi selama dua bulan. Dia pergi bersama dengan sahabat-sahabatnya ke pergunungan untuk bersedih di sana kerana dia akan meninggal sebelum berkahwin dan mempunyai anak. Selepas dua bulan, dia kembali kepada bapanya, lalu bapanya melakukan apa yang telah dijanjikannya kepada TUHAN. Oleh itu anak perempuannya meninggal ketika masih dara. Itulah asal usul adat di Israel, bahawa anak-anak dara pergi selama empat hari tiap-tiap tahun untuk bersedih hati mengenangkan anak perempuan Yefta dari Gilead.

HAKIM-HAKIM 11:1-40 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Yefta ialah seorang pahlawan yang gagah perkasa tetapi dia anak seorang perempuan sundal. Ayah Yefta ialah Gilead. Isteri Gilead juga melahirkan anak-anak lelaki untuknya. Setelah anak-anak isterinya itu besar, mereka mengusir Yefta dan berkata kepadanya, “Engkau tidak dapat mewarisi pusaka dalam rumah bapa kami kerana engkau anak lelaki daripada perempuan lain.” Yefta pun lari meninggalkan para saudaranya itu lalu menetap di Tanah Tob; di sana penjahat berkumpul bersama-samanya dan pergilah mereka bersama dengannya. Tidak lama selepas itu, bani Amon berperang melawan orang Israel. Ketika bani Amon memerangi orang Israel, kalangan tua-tua Gilead pergi menjemput Yefta dari Tanah Tob. Kata mereka kepada Yefta, “Marilah menjadi ketua kami semoga kita boleh berperang melawan bani Amon.” Tetapi Yefta menjawab para tua-tua Gilead itu, “Bukankah kamu membenci aku dan mengusir aku daripada keluargaku? Mengapa kini sewaktu kamu terdesak kamu datang kepadaku?” Maka berkatalah para tua-tua Gilead kepada Yefta, “Memang kami mendatangi kamu supaya kamu mengikuti kami untuk berperang melawan bani Amon, dan engkau akan menjadi pemimpin yang mengetuai kami dan seluruh warga Gilead.” Maka Yefta menjawab para warga tua-tua Gilead, “Jika kamu membawa aku kembali untuk berperang melawan bani Amon, dan andainya TUHAN menyerahkan mereka kepadaku, adakah aku akan menjadi ketua kamu?” Maka para pemimpin Gilead itu berkata kepada Yefta, “Demi TUHAN yang mendengar dan menjadi saksi antara kita, kami pasti melakukan seperti yang kamu katakan itu.” Yefta mengikut para warga tua-tua Gilead, lalu mereka mengangkatnya untuk menjadi ketua dan panglima mereka. Lalu Yefta membawa seluruh perkaranya itu ke hadapan TUHAN, di Mizpa. Seterusnya Yefta mengirim utusan yang bertanya kepada raja bani Amon, “Apakah urusanmu dengan aku, sehingga engkau datang untuk memerangi negeriku?” Raja bani Amon menjawab kepada utusan Yefta, “Ketika keluar dari Mesir, orang Israel telah merampas tanahku, dari Sungai Arnon sampai ke Sungai Yabok dan ke Sungai Yordan. Sekarang, kembalikanlah semuanya itu secara damai.” Maka Yefta mengirim utusan semula kepada raja bani Amon dengan pesan, “Beginilah kata Yefta: orang Israel tidak merampas tanah orang Moab atau tanah bani Amon. Sebabnya ketika keluar dari Mesir, orang Israel melintasi gurun sampai ke Laut Merah dan tiba di Kadesh. Ketika itu orang Israel mengirim utusan kepada raja negeri Edom dengan permintaan, ‘Izinkanlah kami melintasi negerimu ini.’ Tetapi raja negeri Edom tidak mahu mendengar. Mereka juga mengirim utusan kepada raja negeri Moab, tetapi raja itu juga menolak. Oleh itu, orang Israel tinggal di Kadesh. Kemudian mereka melintasi gurun lalu mengelilingi Tanah Edom dan Tanah Moab dan sampai di sebelah timur Tanah Moab. Mereka berkhemah di seberang Sungai Arnon, tetapi tidak masuk daerah Moab, kerana Sungai Arnon ialah sempadan daerah Moab. Lalu orang Israel mengirim utusan kepada Sihon, raja bani Amori, raja di Hesbon, dan orang Israel meminta kepadanya, ‘Izinkanlah kami melintasi negerimu sampai ke tempat tujuan kami.’ Tetapi Sihon tidak mempercayai orang Israel yang hendak melintasi daerahnya itu. Oleh itu, dia mengerahkan seluruh pasukannya. Dia berkhemah di Yahas, lalu berperang melawan orang Israel. Tetapi TUHAN, Allah Israel, menyerahkan Sihon dengan seluruh rakyatnya ke dalam tangan orang Israel, dan orang Israel mengalahkan mereka lalu mendiami seluruh tanah orang Amori yang tinggal di negeri itu. Maka orang Israel memiliki daerah bani Amori dari Sungai Arnon sampai ke Sungai Yabok dan dari gurun sampai ke Sungai Yordan. Sekarang TUHAN, Allah Israel, telah merampas milik orang Amori bagi Israel, umat-Nya. Apakah engkau hendak memiliki tanah itu pula? Bukankah engkau akan memiliki apa yang diberi oleh Kamos, tuhanmu? Demikianlah kami memiliki segala yang direbut bagi kami oleh TUHAN, Allah kami. Lagipun, adakah engkau lebih baik daripada Balak anak Zipor, raja Moab? Pernahkah dia menentang orang Israel atau pernahkah dia berperang dengan mereka? Ketika orang Israel tinggal di Hesbon dan desa-desanya, di Aroer dan desa-desanya, dan di semua kota di sepanjang kedua-dua pinggir Sungai Arnon selama tiga ratus tahun, mengapa pada waktu itu engkau tidak mendapatkan semula kesemua kota dan desa itu? Jadi aku tidak bersalah terhadap engkau, melainkan engkau yang bersalah terhadap aku dengan berperang melawan aku. Semoga TUHAN yang menjadi hakim pada hari ini antara orang Israel dengan bani Amon.” Tetapi raja bani Amon tidak mempedulikan semua pesan Yefta yang disampaikan kepadanya. Lalu Roh TUHAN turun ke atas Yefta. Dia berjalan melintasi daerah Gilead dan Manasye, lalu melintasi Mizpa di Gilead, dan dari Mizpa di Gilead dia melintas ke daerah bani Amon. Maka bersumpahlah Yefta kepada TUHAN, katanya, “Jika Engkau menyerahkan bani Amon itu ke dalam tanganku, maka apa sahaja yang keluar dari pintu rumahku untuk menemui aku ketika aku pulang dengan selamat daripada bani Amon, akan menjadi milik TUHAN. Lalu, aku akan mempersembahkannya sebagai korban bakaran.” Lalu Yefta menyeberang untuk berperang melawan bani Amon, dan TUHAN menyerahkan mereka ke dalam tangannya. Dia menumpaskan bani Amon secara besar-besaran dan membunuh umat di dua puluh buah kota dari Aroer sampai ke Minit dan sampai ke Abel-Keramim. Demikianlah bani Amon ditakluki di depan orang Israel. Kepulangan Yefta ke rumahnya di Mizpa disambut oleh anak perempuannya dengan memukul rebana sambil menari-nari. Itulah anaknya yang tunggal dan selain dia, Yefta tiada lagi anak baik lelaki mahupun perempuan. Sejurus sahaja melihat anaknya, Yefta mengoyakkan bajunya, sambil berkata: “Wahai, anakku, engkau membuat hatiku hancur luluh dan engkaulah yang membawa petaka kepadaku. Aku telah membuka mulut dan bernazar kepada TUHAN, dan tidak dapat kutarik balik kata-kataku.” Tetapi anaknya menjawab, “Jika bapa telah membuka mulut bernazar kepada TUHAN, maka tunaikanlah dan buatlah kepadaku selaras dengan nazar bapa itu, kerana TUHAN telah melakukan pembalasan terhadap musuh bapa, bani Amon itu, bagi pihak bapa.” Berkatalah dia lagi kepada ayahnya, “Tunaikanlah nazar bapa tetapi izinkanlah aku masa selama dua bulan supaya aku pergi ke pergunungan dan menangisi keperawananku bersama-sama teman-temanku.” Maka jawab Yefta, “Pergilah,” dan dibiarkan anak gadisnya itu pergi selama dua bulan lamanya bersama-sama teman-temannya menangisi keperawanannya di pergunungan. Setelah dua bulan berlalu, kembalilah dia kepada ayahnya, maka ayahnya melakukan kepadanya apa yang telah dinazarkannya itu atas gadis yang tidak pernah kenal akan lelaki itu. Maka hal itu menjadi adat di Israel, bahawa dari tahun ke tahun para anak gadis orang Israel akan pergi selama empat hari setahun untuk meratapi dan memperingati anak gadis Yefta, orang Gilead itu.