YAKOBUS 5:13-20
YAKOBUS 5:13-20 Alkitab Berita Baik (BM)
Adakah sesiapa antara kamu sedang mengalami kesusahan? Hendaklah dia berdoa. Adakah sesiapa yang bersukacita? Hendaklah dia menyanyikan lagu pujian kepada Allah. Adakah sesiapa yang sakit? Hendaklah dia memanggil pemimpin-pemimpin jemaah, supaya mereka berdoa baginya dan menyapukan minyak zaitun padanya demi nama Tuhan. Doa yang diucapkan dengan iman, akan menyembuhkan orang sakit itu. Tuhan akan memulihkan kesihatannya dan dosa yang sudah dilakukannya akan diampunkan. Oleh itu, hendaklah kamu saling mengakui kesalahan dan berdoa bagi satu sama lain, supaya kamu disembuhkan. Doa orang yang melakukan kehendak Allah mempunyai kuasa yang besar. Elia pun orang biasa seperti kita. Dia berdoa dengan tekun supaya hujan tidak turun, dan hujan pun tidak turun selama tiga tahun setengah. Kemudian dia berdoa lagi, lalu langit mencurahkan hujan dan tanah mengeluarkan hasilnya. Saudara-saudaraku, jika seorang antara kamu sesat, lalu yang lain memimpin dia kembali kepada Allah, ingatlah ayat ini: Sesiapa memimpin seorang berdosa berbalik dari jalan yang salah, orang itu menyelamatkan jiwa orang berdosa itu daripada kematian dan menyebabkan banyak dosa diampunkan.
YAKOBUS 5:13-20 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Adakah barang sa’orang deri antara kamu bŭrduka? biarlah iya mŭminta doa; adakah barang sa’orang yang suka chita? biarlah iya mŭnyanyi mazmor. Adakah barang sa’orang diantara kamu yang sakit? biarlah iya mŭmanggil orang tua tua dalam sidang jŭmaah itu, supaya marika itu mŭminta doa akan dia, sŭrta diminyakinya akan dia dŭngan nama Tuhan; Maka doa yang bŭriman itu akan mŭmliharakan orang yang sakit, dan Tuhan juga akan mŭnyŭmbohkan dia; dan jikalau iya tŭlah bŭrdosa, kŭlak diamponinya. Mŭngaku akulah kasalahan sa’orang pada sa’orang, mintakanlah doa sa’orang akan sa’orang, supaya iya slamat, kŭrna adapun kwasa doa orang yang yakin dan bŭnar itu banyak fiedahnya. Adapun Ilias itu sa’orang manusia yang sama tabiat dŭngan kami, maka adalah iya mŭminta doa dŭngan yakinnya supaya jangan turon hujan: maka tiadalah turun hujan ka’atas bumi kira kira tiga tahun anam bulan lamanya. Kumdian maka dipintanyalah pula doa, lalu turonlah hujan deri langit, dan bŭrtumbohlah sagala tumboh tumbohan deri bumi. Saudara saudara, jikalau kiranya barang sa’orang diantara kamu yang sŭsat deripada bŭnar itu, dan jikalau sa’orang mŭmbawa balik akan dia; Maka handaklah dikŭtahninya, bahwa orang yang mŭmbalikkan barang sa’orang bŭrdosa deripada jalannya yang sŭsat itu, spŭrti iya mŭlŭpaskan kŭlak jiwanya deripada kabinasaan, dan iya mŭlindongkan kŭlak banyak dosa adanya.
YAKOBUS 5:13-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Adakah sesiapa dalam kalanganmu yang sedang mengalami kesusahan? Berdoalah. Adakah sesiapa yang sedang bergembira? Nyanyikanlah lagu pujian kepada Allah. Adakah sesiapa yang sakit? Panggillah para tua-tua jemaah untuk mendoakannya dan menyapukan minyak padanya dengan nama Tuhan. Doa yang dilafazkan dengan iman akan menyembuhkan orang sakit itu. Tuhan akan memulihkan kesihatannya, dan dosanya akan diampunkan. Oleh itu, hendaklah kamu saling mengakui dosa serta mendoakan satu sama lain, supaya kamu disembuhkan. Doa orang yang benar mempunyai kuasa yang hebat. Elia seorang manusia biasa seperti kita. Dia berdoa bersungguh-sungguh supaya hujan tidak turun, maka selama tiga tahun setengah hujan tidak turun di bumi. Selepas itu, dia berdoa lagi, lalu langit menurunkan hujan mencurah-curah dan tanah mengeluarkan hasil. Saudara-saudaraku, jika seorang dalam kalanganmu tersesat daripada jalan kebenaran, lalu yang lain memimpinnya kembali kepada Allah, ingatlah ayat ini: Sesiapa memimpin seorang yang berdosa kembali daripada jalan yang salah, maka dia menyelamatkan roh orang yang berdosa itu daripada kematian dan menutupi banyak dosa.