YESAYA 65:17-25

YESAYA 65:17-25 Alkitab Versi Borneo (AVB)

“Sesungguhnya, Aku akan menciptakan langit yang baru dan bumi yang baru. Hal-hal yang dahulu tidak akan diingat lagi dan tidak akan timbul lagi dalam hati. Tetapi bergiranglah dan bergembiralah untuk selama-lamanya atas apa yang akan Kuciptakan, kerana sesungguhnya, Aku akan menciptakan Yerusalem menjadi suatu kegembiraan dan penduduknya suatu kegirangan. Aku akan bergembira kerana Yerusalem dan bergirang kerana umat-Ku. Suara tangisan tidak akan terdengar lagi di dalamnya, begitu pula suara jeritan. Di sana tidak akan ada lagi bayi yang hanya hidup beberapa hari, atau orang tua yang tidak lanjut umur mereka. Orang yang mati pada umur seratus tahun akan dianggap masih muda, dan orang yang tidak mencapai umur seratus tahun akan dianggap kena kutuk. Mereka akan membina rumah-rumah dan menghuninya, mereka akan menanami kebun-kebun anggur dan memakan buahnya. Mereka tidak akan membina sesuatu untuk dihuni orang lain, mereka tidak akan menanam sesuatu untuk dimakan orang lain, kerana sebagaimana umur pokok, demikianlah umur umat-Ku. Orang pilihan-Ku akan menikmati pekerjaan tangan mereka. Mereka tidak akan berjerih lelah dengan percuma, dan tidak akan melahirkan anak yang mati mendadak, kerana mereka ialah keturunan orang yang diberkati TUHAN, begitu pula anak cucu mereka yang ada bersama-sama mereka. Sebelum mereka berseru kepada-Ku, Aku sudah menjawab. Sewaktu mereka sedang berkata-kata, Aku sudah mendengar. Serigala dan anak domba akan meragut rumput bersama-sama, singa akan makan jerami seperti lembu, sedangkan debu akan menjadi makanan ular. Tidak ada yang akan berbuat jahat ataupun berlaku binasa di seluruh gunung-Ku yang suci,” demikianlah firman TUHAN.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami