YESAYA 51:9-23
YESAYA 51:9-23 Alkitab Berita Baik (BM)
Bangkitlah, ya TUHAN, tolonglah kami! Selamatkanlah kami dengan kuasa-Mu. Gunakanlah kuasa-Mu seperti pada zaman purba, ketika Engkau menghancurkan Rahab, naga laut itu. Engkau juga yang mengeringkan laut, serta menyediakan jalan di tengah-tengah air, supaya mereka yang Engkau selamatkan dapat menyeberanginya. Orang yang Engkau selamatkan akan tiba di Yerusalem dengan sukacita, mereka akan menyanyi dan bersorak-sorai. Mereka akan bersukacita dan bersukaria, bebas daripada duka nestapa selama-lamanya. TUHAN berfirman, “Akulah yang menghibur kamu. Mengapakah kamu takut terhadap manusia fana? Manusia seperti rumput yang cepat layu. Adakah kamu sudah lupa akan TUHAN Pencipta kamu, yang membentangkan langit, dan meletakkan asas bumi? Mengapakah kamu sentiasa takut terhadap keganasan penindas, yang mahu membinasakan kamu? Keganasan mereka tidak dapat menyentuh kamu lagi. Mereka yang sekarang ditawan akan segera dibebaskan; mereka tidak akan mati dan dikubur, dan tidak akan kekurangan makanan. Akulah TUHAN, Allah kamu; Akulah yang menggelorakan laut sehingga ombaknya berderu. Nama-Ku TUHAN Yang Maha Kuasa! Aku membentangkan langit, dan meletakkan asas bumi; Aku berfirman kepada Yerusalem, ‘Kamulah umat-Ku! Aku telah memberi kamu ajaran-Ku dan melindungi kamu dengan kuasa-Ku.’ ” Bangunlah, hai Yerusalem! Bangunlah dan bangkitlah! Kamu telah mengalami hukuman TUHAN, hukuman yang dijatuhkan kepadamu kerana kemurkaan-Nya, sudah kamu jalani sampai selesai. Tiada sesiapa antara pendudukmu yang memimpinmu; tiada sesiapa antara penghunimu yang menuntunmu. Kamu telah ditimpa dua bencana: negerimu dirosakkan oleh peperangan, dan pendudukmu kelaparan. Tiada sesiapa pun mengasihani dan menghibur kamu. Di tiap-tiap sudut jalan pendudukmu jatuh kerana lemah; mereka seperti rusa yang terperangkap. Mereka telah merasai akibat kemurkaan Allah. Hai penduduk Yerusalem yang menderita, kamu terhuyung-hayang seperti orang mabuk. TUHAN, Allah kamu membela kamu. Dia berfirman, “Aku akan menjauhkan hukuman yang telah Kujatuhkan ketika Aku murka. Kamu tidak usah lagi menderita hukuman yang membuat kamu terhuyung-hayang. Aku akan menjatuhkan hukuman itu kepada penindas kamu, kepada mereka yang menyuruh kamu berbaring di jalan, serta memijak-mijak kamu seolah-olah kamu ini sampah.”
YESAYA 51:9-23 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Bangunlah, bertindaklah! Gunakanlah kekuatanmu, wahai tangan TUHAN! Bertindaklah seperti pada zaman dahulu, pada zaman angkatan purbakala! Bukankah Engkau yang mencencang Rahab, yang menikam naga itu? Bukankah Engkau yang mengeringkan laut, air samudera raya; yang membuat lautan dalam menjadi jalan, supaya orang yang ditebus dapat menyeberang? Orang yang ditebus TUHAN akan pulang dan memasuki Sion dengan sorak-sorai. Kesukaan kekal akan menghiasi kepala mereka. Mereka akan memperoleh kesukaan dan kegembiraan, sedangkan dukacita dan keluh-kesah akan menghilang. “Aku, Akulah yang menghiburkan kamu. Siapakah engkau sehingga engkau takut kepada manusia yang akan mati, kepada anak manusia yang seperti rumput belaka? Engkau melupakan TUHAN yang menjadikan kamu, yang membentangkan langit, dan yang meletakkan dasar bumi. Engkau terus ketakutan sepanjang hari kerana amarah si penganiaya, apabila dia merancangkan kemusnahan. Tetapi di manakah gerangan amarah si penganiaya itu? Tawanan yang meringkuk itu akan segera dilepaskan. Dia tidak akan mati di lubang tutupan dan tidak akan kekurangan makanan. Akulah TUHAN, Allahmu, yang menggelorakan laut sehingga gelombangnya menderu-deru. TUHAN alam semesta ialah nama-Nya. Aku telah memberitahukan firman-Ku kepadamu dan melindungi engkau di bawah naungan tangan-Ku supaya Aku kembali membentangkan langit dan meletakkan dasar bumi, sambil berfirman kepada Sion, ‘Engkaulah umat-Ku.’ ” Bangunlah, bangunlah! Bangkitlah, wahai Yerusalem, yang telah meminum daripada tangan TUHAN cawan berisi murka-Nya. Engkau telah meminum habis isi cawan yang memabukkan itu. Antara semua anak yang dilahirkannya, tidak ada yang membimbing dia. Antara semua anak yang dibesarkannya, tidak ada yang memegang tangannya. Dua perkara inilah yang telah menimpa engkau — siapakah yang akan berdukacita kerana engkau? Kemusnahan dan kehancuran, bencana kebuluran dan pedang — siapakah yang akan menghiburkan engkau? Anak-anakmu lemah lesu, mereka rebah di setiap hujung jalan seperti antelop yang terjebak. Mereka kenyang dengan murka TUHAN, dengan herdikan Allahmu. Oleh sebab itu semoga kamu dengarlah hal ini, wahai kamu yang tertindas, wahai kamu yang mabuk tetapi bukan oleh air anggur! Beginilah firman Tuhanmu TUHAN, Allahmu yang memperjuangkan perkara umat-Nya, “Lihat, Aku telah mengambil dari tanganmu cawan yang memabukkan itu, isi cawan murka-Ku. Engkau tidak akan meminumnya lagi. Sebaliknya, Aku hendak menaruhnya di tangan orang yang menindasmu, yang telah berkata kepadamu, ‘Tunduklah, supaya kami menginjak-injak di atas kamu.’ Engkau telah menjadikan punggungmu sebagai tanah, sebagai jalan untuk diinjak-injak.”