YESAYA 48:1-6
YESAYA 48:1-6 Alkitab Berita Baik (BM)
Dengarlah hal ini, hai umat Israel, keturunan Yehuda, kamu bersumpah dengan nama TUHAN dan mengaku menyembah Allah Israel, tetapi kata-kata kamu itu tidak ikhlas. Namun kamu mengaku dengan bangga bahawa kamu warga kota yang suci, dan bahawa kamu bergantung kepada Allah Israel, yang disebut TUHAN Yang Maha Kuasa. TUHAN berfirman kepada Israel, “Sejak dahulu Aku telah berfirman tentang hal yang akan berlaku, lalu dengan tiba-tiba Aku melaksanakannya. Aku tahu bahawa kamu keras kepala, keras hati dan berkepala batu. Oleh itu sejak dahulu Aku berfirman tentang masa depan kamu, Aku mengisytiharkan hal-hal yang belum berlaku; supaya kamu tidak dapat berkata bahawa hal itu perbuatan patung berhala kamu. Segala nubuat-Ku telah berlaku sekarang, kamu harus mengaku bahawa nubuat-Ku itu benar. Sekarang Aku bernubuat pula tentang hal-hal yang baru, rahsia-rahsia yang belum kamu ketahui.
YESAYA 48:1-6 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Dengarlah hal ini, wahai keturunan kaum Yakub, yang disebut dengan nama Israel dan yang datang daripada garis keturunan Yehuda, yang bersumpah demi nama TUHAN dan yang menyebut nama Allah Israel, tetapi tidak dalam kesungguhan dan tidak dalam ketulusan hati — kerana mereka menyebut diri penduduk kota suci dan bersandar kepada Allah Israel, yang bernama TUHAN alam semesta – “Hal-hal yang dahulu telah Kuberitahu sejak dahulu, semua itu telah Kusampaikan sendiri dan Kukhabarkan. Dengan tiba-tiba Aku bertindak dan semua itu pun terjadi. Aku tahu bahawa engkau degil. Tengkukmu berurat besi dan dahimu daripada tembaga. Itulah sebabnya Aku memberitahukanmu sejak dahulu. Sebelum hal itu terjadi Aku mengkhabarkannya kepadamu, supaya engkau tidak berkata, ‘Berhalaku yang melakukannya. Patung ukiranku dan patung tuanganku yang memerintahkannya.’ Engkau telah mendengarnya, perhatikanlah semua itu! Tidakkah kamu mahu mengakuinya? Mulai sekarang Aku akan mengkhabarkan kepadamu hal-hal yang baru, iaitu hal-hal tersembunyi yang belum kauketahui.