YESAYA 43:1-7
YESAYA 43:1-7 Alkitab Berita Baik (BM)
Hai Israel, demikianlah firman TUHAN yang telah menciptakan kamu, “Janganlah takut! Aku akan menyelamatkan kamu. Aku telah memanggil kamu dengan nama kamu, kamu milik-Ku. Apabila kamu menyeberangi laut yang dalam, Aku akan menyertai kamu; kamu tidak akan tenggelam dalam kesusahan. Apabila kamu melalui api, kamu tidak akan terbakar; kamu tidak akan dicelakakan oleh cubaan yang berat. Akulah TUHAN, Allah kamu, Allah Israel, Allah yang suci, yang telah menyelamatkan kamu. Aku akan menyerahkan Mesir untuk menebus kamu; Aku akan menyerahkan Etiopia dan Seba untuk membebaskan kamu. Aku akan menyerahkan bangsa-bangsa sebagai ganti nyawa kamu, kerana kamu berharga bagi-Ku, dan kerana Aku mengasihi serta mengendahkan kamu. Janganlah takut, kerana Aku menyertai kamu. Dari timur dan barat Aku akan membawa anak cucu kamu pulang. Aku akan menyuruh negeri di utara melepaskan mereka, dan negeri di selatan membebaskan mereka. Biarlah umat-Ku pulang dari negeri-negeri jauh, dari segala pelosok dunia. Merekalah umat-Ku, Aku telah menciptakan mereka untuk memuliakan Aku.”
YESAYA 43:1-7 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Sekarang, beginilah firman TUHAN, yang menciptakan engkau, wahai Yakub, dan yang membentuk engkau, wahai Israel, “Jangan takut, kerana Aku telah menebus engkau. Aku telah memanggil engkau dengan namamu, engkau milik-Ku. Apabila engkau mengharungi air, Aku akan menyertaimu, dan engkau tidak akan dihanyutkan saat mengharungi sungai. Apabila engkau berjalan melalui api, engkau tidak akan dihanguskan, dan nyala api tidak akan membakarmu, kerana Akulah TUHAN, Allahmu, Yang Maha Suci, Allah Israel, Penyelamatmu. Aku memberikan Mesir sebagai tebusanmu, Kush dan Seba sebagai gantimu. Kerana engkau berharga dan mulia di mata-Ku, dan Aku ini mengasihi engkau, maka Aku memberikan manusia sebagai gantimu, dan bangsa-bangsa sebagai ganti nyawamu. Jangan takut, kerana Aku berserta denganmu. Aku akan membawa keturunanmu dari timur dan menghimpun engkau dari barat. Aku akan berfirman kepada utara, ‘Berikanlah!’ dan kepada selatan, ‘Jangan tahan!’ Bawalah anak-anak lelaki-Ku dari jauh dan anak-anak perempuan-Ku dari hujung bumi, iaitu semua orang yang disebutkan dengan nama-Ku, yang Kuciptakan untuk kemuliaan-Ku, yang Kubentuk, dan yang Kujadikan.”