YESAYA 42:17-25
YESAYA 42:17-25 Alkitab Berita Baik (BM)
Semua orang yang percaya kepada berhala, dan menganggap patung-patung sebagai dewa akan dihinakan dan dipermalukan.” TUHAN berfirman, “Dengarlah, hai orang pekak! Lihatlah baik-baik, hai orang buta! Adakah sesiapa yang lebih buta daripada hamba-Ku, atau lebih pekak daripada utusan-Ku? Hai Israel, begitu banyak yang telah kamu lihat, tetapi alangkah sedikit yang kamu fahami. Kamu mempunyai telinga, tetapi kamu tidak mendengar.” TUHAN sentiasa ingin menyelamatkan; Dia mahu hukum-Nya dihormati dan diagungkan. Tetapi sekarang umat-Nya telah dijarah, mereka ditahan di dalam penjara bawah tanah, dan dikurung di dalam penjara. Mereka dirompak dan dijarah, tiada sesiapa pun menyelamatkan mereka. Mahukah sesiapa mendengar? Mulai sekarang mahukah kamu mendengar baik-baik? Siapakah yang menyerahkan Israel kepada tangan musuh? TUHAN sendiri, kerana kita telah berdosa terhadap-Nya! Kita tidak mahu hidup menurut kehendak-Nya ataupun mentaati ajaran-Nya. Oleh itu Dia membiarkan kita merasakan kemurkaan-Nya, dan menderita keganasan peperangan. Seperti api, kemurkaan-Nya membakar seluruh Israel, namun kita tidak memahami apa yang telah berlaku; kita tidak belajar daripada pengalaman itu.
YESAYA 42:17-25 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Tetapi orang yang percaya kepada patung ukiran dan yang berkata kepada patung tuangan, “Kamulah tuhan kami”, akan dipukul mundur dan menjadi sangat malu. Wahai orang tuli, dengarlah! Wahai orang buta, pandanglah dan lihatlah! Siapakah yang buta selain hamba-Ku, dan yang tuli seperti utusan yang Kusuruh itu? Siapakah yang buta seperti orang yang hidup damai dengan Aku, yang buta seperti hamba TUHAN? Engkau telah melihat banyak hal, tetapi tidak memahaminya. Telingamu terbuka, tetapi engkau tidak mendengar. Demi perbenaran-Nya, TUHAN berkenan mengagungkan dan memuliakan hukum Taurat. Tetapi inilah bangsa yang mengalami perampasan dan dijarah, semuanya terperangkap di lubang dan disembunyikan di penjara. Mereka menjadi rampasan tanpa ada yang melepaskan, menjadi jarahan tanpa ada yang berkata, “Kembalikanlah!” Siapakah antara kamu yang mahu memasang telinga untuk hal ini, yang mahu memperhatikan dan mendengar untuk masa mendatang? Siapakah yang menyerahkan Yakub untuk menjadi jarahan, dan Israel kepada para perampas? Bukankah TUHAN, yang terhadap-Nya kita telah berdosa? Mereka tidak mahu menempuh jalan-jalan-Nya dan tidak mahu mentaati perintah-Nya. Oleh sebab itu Dia mencurahkan kepada mereka murka-Nya yang panas dan peperangan yang sengit. Hal itu menghanguskan mereka dari sekeliling, tetapi mereka tidak menyedarinya, membakar mereka, tetapi mereka tidak mengambil iktibar daripadanya.