YESAYA 41:8-13
YESAYA 41:8-13 Alkitab Berita Baik (BM)
Tetapi kamu Israel, hamba-Ku, adalah umat pilihan-Ku, kamu keturunan Abraham, sahabat-Ku. Aku membawa kamu dari hujung bumi; Aku memanggil kamu dari tempat-tempat yang terjauh. Aku berfirman, ‘Kamu hamba-Ku.’ Aku tidak menolak kamu, sebaliknya Aku memilih kamu. Jangan takut kerana Aku menyertai kamu. Jangan cemas kerana Akulah Allah kamu. Aku akan menguatkan dan menolong kamu; Aku akan melindungi dan menyelamatkan kamu. Orang yang marah terhadap kamu akan kalah dan dipermalukan. Orang yang melawan kamu akan mati dan lenyap dari muka bumi. Kamu akan mencari orang yang menentang kamu, tetapi mereka tidak akan kamu temukan. Orang yang berperang melawan kamu akan binasa dan lenyap. Akulah TUHAN, Allah kamu; Aku menguatkan kamu dan berfirman, ‘Jangan takut, Aku akan menolong kamu.’ ”
YESAYA 41:8-13 Alkitab Versi Borneo (AVB)
“Tetapi engkau, wahai Israel, hamba-Ku, wahai Yakub, yang telah Kupilih, keturunan Abraham, sahabat-Ku, yang telah Kuambil dari hujung-hujung bumi dan Kupanggil dari penjuru-penjurunya, Aku berkata kepadamu, ‘Engkaulah hamba-Ku, Aku sudah memilih engkau dan tidak menolak engkau. Jangan takut, kerana Aku berserta denganmu. Jangan cemas, kerana Akulah Allahmu. Aku akan menguatkan, bahkan akan menolong engkau. Ya, Aku akan menopang engkau dengan tangan kanan-Ku yang penuh kebenaran.’ Sesungguhnya, semua orang yang marah kepadamu akan menjadi malu dan mendapat aib. Orang yang berbantah-bantah dengan engkau akan menjadi seperti tidak ada dan binasa. Apabila engkau mencari orang yang bertengkar dengan engkau, kau tidak akan menemui mereka. Orang yang berperang melawan engkau akan menjadi seperti tidak ada dan hampa, kerana Aku, TUHAN, Allahmu, memegang tangan kananmu dan berfirman kepadamu, ‘Jangan takut, Aku akan menolong engkau.’