YESAYA 41:1-29

YESAYA 41:1-29 Alkitab Berita Baik (BM)

Allah berfirman, “Bertenanglah dan dengarlah firman-Ku, hai penduduk negeri-negeri jauh! Bersiaplah dan ajukanlah perkara kamu di mahkamah; kamu akan diberikan peluang untuk bercakap. Marilah kita tentukan siapa yang benar dan siapa yang salah. Siapakah yang mendatangkan penakluk dari timur, dan memberinya kemenangan ke mana sahaja dia pergi? Siapakah yang memberi dia kemenangan terhadap raja-raja dan bangsa-bangsa? Pedangnya menetak mereka seolah-olah mereka itu debu. Panahnya mencerai-beraikan mereka seperti jerami yang ditiup angin. Dia mengejar mereka dan maju tanpa rintangan, begitu laju sehingga hampir tidak menyentuh tanah! Siapakah yang membolehkan semua itu berlaku? Siapakah yang menentukan sejarah? Aku, TUHAN adalah yang pertama, dan Aku tetap ada sampai penghabisan. Penduduk negeri-negeri jauh telah melihat perbuatan-Ku; mereka terkejut dan gementar ketakutan. Oleh itu mereka semua datang dan berkumpul. Semua orang saling menolong, dan saling menguatkan hati. Tukang kayu menguatkan hati tukang emas, dan orang yang memipihkan logam dengan tukul, memuji orang yang menempa logam pada landasan. Mereka berkata tentang pematerian, ‘Sungguh baik hasil kerja ini.’ Lalu mereka menguatkan patung itu dengan paku. Tetapi kamu Israel, hamba-Ku, adalah umat pilihan-Ku, kamu keturunan Abraham, sahabat-Ku. Aku membawa kamu dari hujung bumi; Aku memanggil kamu dari tempat-tempat yang terjauh. Aku berfirman, ‘Kamu hamba-Ku.’ Aku tidak menolak kamu, sebaliknya Aku memilih kamu. Jangan takut kerana Aku menyertai kamu. Jangan cemas kerana Akulah Allah kamu. Aku akan menguatkan dan menolong kamu; Aku akan melindungi dan menyelamatkan kamu. Orang yang marah terhadap kamu akan kalah dan dipermalukan. Orang yang melawan kamu akan mati dan lenyap dari muka bumi. Kamu akan mencari orang yang menentang kamu, tetapi mereka tidak akan kamu temukan. Orang yang berperang melawan kamu akan binasa dan lenyap. Akulah TUHAN, Allah kamu; Aku menguatkan kamu dan berfirman, ‘Jangan takut, Aku akan menolong kamu.’ ” TUHAN berfirman, “Walaupun kamu kecil dan lemah, hai Israel, jangan takut, Aku akan menolong kamu. Aku, Allah Israel, Allah yang suci, Akulah yang menyelamatkan kamu. Aku akan menjadikan kamu seperti papan pengirik yang baru, tajam, dan bergigi. Kamu akan mengirik gunung dan memusnahkannya; bukit-bukit pun akan hancur menjadi debu. Kamu akan menampi semuanya, lalu semua itu diterbangkan angin, dan dihamburkan taufan. Lalu kamu akan bersukacita kerana Aku Allah kamu; kamu akan memuji Aku, Allah Israel, Allah yang suci. Ketika umat-Ku yang sengsara memerlukan air, ketika tekak mereka kering kerana kehausan, Aku, TUHAN akan mengabulkan doa mereka; Aku, Allah Israel, tidak sekali-kali akan meninggalkan mereka. Aku akan menyebabkan sungai mengalir di bukit-bukit yang gondol, dan mata air memancar di lembah-lembah. Aku akan mengubah padang gurun menjadi kolam-kolam air dan air memancar dari tanah yang kering. Di padang gurun Aku akan menumbuhkan pokok sedar, pokok akasia, pokok kemunting, dan pokok zaitun. Tanah yang gondol akan menjadi hutan pokok pain, pokok juniper, dan pokok sipres. Maka semua orang akan melihatnya dan mengetahui bahawa Aku, TUHAN, yang melakukannya. Mereka akan memperhatikan dan mengerti bahawa Allah Israel, Allah yang suci telah melakukannya.” Demikianlah TUHAN, raja Israel berfirman, “Hai dewa bangsa-bangsa, ajukanlah perkara kamu, dan kemukakanlah alasan-alasannya! Marilah dan ramalkanlah hal yang akan berlaku, supaya kami tahu ketika perkara itu berlaku. Terangkanlah kejadian masa lampau, dan jelaskanlah ertinya kepada kami. Ramalkanlah hal-hal yang akan berlaku, supaya kami tahu bahawa kamu benar-benar ilahi! Lakukanlah sesuatu yang baik, atau sesuatu yang jahat; supaya kami tercengang ketakutan! Kamu dan perbuatan kamu tidak bererti apa-apa; orang yang menyembah kamu menjijikkan sahaja. Aku telah menggerakkan hati seorang dari timur; Aku akan menyebabkan dia melancarkan serangan dari utara. Dia akan menginjak-injak para penguasa seolah-olah mereka lumpur, seperti tukang periuk menginjak-injak tanah liat. Siapakah antara kamu pernah meramalkan perkara ini, supaya kami tahu bahawa ramalan kamu tepat? Tiada sesiapa pun antara kamu yang meramalkan hal ini! Tiada seorang pun mendengar kamu mengatakan apa-apa! Aku TUHAN, Akulah yang pertama memberitakan hal itu kepada Sion; Aku menghantar utusan ke Yerusalem untuk menyampaikan berita baik, ‘Lihatlah bangsa kamu datang! Lihatlah mereka pulang!’ Apabila Aku memandang dewa-dewa itu, tiada yang mengatakan apa-apa, tiada yang dapat menjawab pertanyaan-Ku. Semua dewa itu tidak berguna, tidak dapat berbuat apa-apa. Dewa-dewa itu patung sahaja, lemah dan tidak berdaya.”

YESAYA 41:1-29 Alkitab Versi Borneo (AVB)

“Berdiam dirilah di hadapan-Ku, wahai pulau-pulau! Biarlah bangsa-bangsa mendapat kekuatan baru! Biarlah mereka mendekati dan kemudian berbicara. Biarlah kita tampil bersama-sama untuk berbahas! Siapakah yang membangkitkan dia dari timur, yang dalam perbenaran memanggil dia menghadap diri-Nya, yang menyerahkan bangsa-bangsa ke hadapannya dan membuat dia memerintah raja-raja? Pedangnya membuat mereka seperti debu dan busur panahnya membuat mereka seperti tunggul jerami yang diterbangkan angin. Dia mengejar mereka dan memintas dengan selamat di jalan yang belum pernah ditempuh kakinya. Siapakah yang mengerjakan dan melakukan hal itu, yang menyuruh bangkit seluruh keturunan sejak yang terdahulu? Aku, TUHAN, adalah yang terdahulu, dan bagi mereka yang terkemudian Aku tetap Dia!” Pulau-pulau melihatnya dan ketakutan, gementarlah hujung-hujung bumi. Mereka mendekati dan datang. Setiap orang membantu jirannya dan berkata kepada saudaranya, “Kuatkanlah hatimu!” Si tukang menguatkan hati tukang emas, orang yang memipihkan logam dengan palu menguatkan hati orang yang menempa di atas landasan. Dia berkata tentang pematerian, “Itu baik,” kemudian menguatkannya dengan paku agar tidak boleh digerakkan. “Tetapi engkau, wahai Israel, hamba-Ku, wahai Yakub, yang telah Kupilih, keturunan Abraham, sahabat-Ku, yang telah Kuambil dari hujung-hujung bumi dan Kupanggil dari penjuru-penjurunya, Aku berkata kepadamu, ‘Engkaulah hamba-Ku, Aku sudah memilih engkau dan tidak menolak engkau. Jangan takut, kerana Aku berserta denganmu. Jangan cemas, kerana Akulah Allahmu. Aku akan menguatkan, bahkan akan menolong engkau. Ya, Aku akan menopang engkau dengan tangan kanan-Ku yang penuh kebenaran.’ Sesungguhnya, semua orang yang marah kepadamu akan menjadi malu dan mendapat aib. Orang yang berbantah-bantah dengan engkau akan menjadi seperti tidak ada dan binasa. Apabila engkau mencari orang yang bertengkar dengan engkau, kau tidak akan menemui mereka. Orang yang berperang melawan engkau akan menjadi seperti tidak ada dan hampa, kerana Aku, TUHAN, Allahmu, memegang tangan kananmu dan berfirman kepadamu, ‘Jangan takut, Aku akan menolong engkau.’ Jangan takut, wahai si ulat Yakub, wahai orang Israel. Aku akan menolong engkau,” demikianlah firman TUHAN, Penebusmu, Yang Maha Suci, Allah Israel. “Sesungguhnya, Aku menjadikan engkau tukul pengirik yang tajam, baru, dan bergerigi. Engkau akan membanting gunung-gunung dan melumatkannya, engkau akan menjadikan bukit-bukit seperti sekam. Engkau akan menampi mereka, lalu angin akan menerbangkan mereka dan badai akan menghamburkan mereka. Engkau akan bergembira kerana TUHAN dan bermegah kerana Yang Maha Suci, Allah Israel. Fakir miskin dan orang sesak mencari air tetapi tidak ada, lidah mereka kering kerana dahaga. Aku, TUHAN, akan menjawab mereka. Allah Israel, tidak akan meninggalkan mereka. Aku akan membuat sungai-sungai memancar di atas bukit-bukit yang gondol, dan mata air di tengah-tengah lembah. Aku akan membuat gurun menjadi kolam air dan tanah tandus menjadi pancaran air. Di tanah tandus Aku akan menanam pokok araz, pokok akasia, pokok murad, dan pokok zaitun. Di gurun Aku akan menumbuhkan pokok sanubar, pokok damar laut, dan pokok pinus sekali gus, supaya orang dapat melihat dan mengetahui, memperhatikan dan memahami bersama-sama, bahawa tangan TUHAN telah membuat hal itu, dan Yang Maha Suci, Allah Israel, telah menciptakannya.” “Ajukanlah perkaramu,” demikianlah firman TUHAN. “Kemukakanlah alasan-alasanmu,” demikianlah firman Raja, Allah Yakub. Biarlah mereka membawa berhala mereka untuk memberitahu kita apa yang akan terjadi. Beritahukanlah apa erti hal-hal yang dahulu, supaya kami memperhatikannya dan mengetahui kesudahannya. Atau, khabarkanlah hal-hal yang akan datang kepada kami. Nyatakanlah hal-hal yang akan datang kemudian, sehingga kami tahu bahawa kamu betul-betul tuhan! Ya, berbuat baiklah atau berbuat jahatlah, supaya kami sama-sama terperanjat melihatnya. Sesungguhnya, kamu tidak ada apa-apanya dan pekerjaan-pekerjaanmu hampa adanya. Kejilah orang yang memilih kamu! “Aku telah membangkitkan seorang dari sebelah utara, dan dia telah datang. Dari arah terbitnya matahari dia akan menyeru nama-Ku. Dia akan memijak-mijak para penguasa seperti lumpur, seperti tukang tembikar menginjak-injak tanah liat.” Siapakah yang memberitahukan hal itu sejak mula sehingga kita mengetahuinya, dan sejak dahulu sehingga kita mengatakan, “Dia benar!”? Sungguh, tidak ada yang memberitahukannya, tidak ada yang mengkhabarkannya, tidak ada yang mendengar perkataanmu. “Akulah yang mula-mula mengatakan kepada Sion, ‘Lihat, lihatlah semua itu!’ Aku memberikan seorang pembawa khabar baik kepada Yerusalem! Aku mengamati, tetapi tidak ada seorang pun. Antara mereka tidak ada seorang penasihat pun yang dapat memberikan jawab apabila Aku menanyai mereka. Sesungguhnya, mereka semua tidak berguna! Pekerjaan-pekerjaan mereka hampa, patung-patung tuangan mereka hanyalah angin dan kesia-siaan.”