YESAYA 25:1-9

YESAYA 25:1-9 Alkitab Berita Baik (BM)

TUHAN, Engkaulah Allahku; aku akan menyanjung Engkau dan memuji nama-Mu. Engkau telah melakukan hal-hal yang mengagumkan; Engkau telah merancangkannya sejak dahulu, dan melaksanakannya dengan setia. Engkau telah meruntuhkan kota-kota, dan memusnahkan kubu-kubunya. Istana-istana yang dibina musuh kami telah lenyap selama-lamanya. Engkau akan dipuji oleh bangsa-bangsa yang kuat, dan ditakuti di kota bangsa-bangsa yang kejam. Orang miskin dan orang lemah lari kepada-Mu, lalu mendapat perlindungan pada masa kesusahan. Engkau melindungi mereka daripada angin ribut, dan menaungi mereka daripada panas terik. Orang zalim menyerang seperti ribut kencang pada musim sejuk, dan seperti angin panas di tanah yang kering. Tetapi Engkau, ya TUHAN, telah membuat musuh kami bungkam; Engkau menghentikan teriakan orang yang kejam, seperti awan menghilangkan panas terik. Di Bukit Sion ini, TUHAN Yang Maha Kuasa akan menyediakan jamuan bagi semua bangsa di bumi. Dia akan menghidangkan makanan yang terbaik dan wain pilihan. Di bukit ini, Dia akan menghapuskan suasana sedih yang telah menyelubungi semua bangsa. TUHAN Raja akan memusnahkan maut selama-lamanya! Dia akan menghapuskan air mata daripada setiap wajah, dan menghilangkan kehinaan yang diderita oleh umat-Nya di seluruh bumi. TUHAN telah berfirman. Apabila perkara itu berlaku, semua orang akan berkata, “Dialah Allah kita! Dialah yang kita nantikan untuk menyelamatkan kita. Dialah TUHAN yang kita nantikan. Sekarang kita bersorak gembira kerana Dia telah menyelamatkan kita.”

YESAYA 25:1-9 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Ya TUHAN, Engkaulah Allahku! Aku hendak meninggikan Engkau, aku hendak memuji nama-Mu, kerana Engkau telah melakukan keajaiban, segala rancangan-Mu sejak dahulukala yang setia dan teguh. Sesungguhnya, Engkau telah membuat kota itu menjadi timbunan batu, kota yang berkubu menjadi puing-puing. Puri orang asing tidak lagi menjadi kota, tidak akan dibangunkan lagi untuk selama-lamanya. Itulah sebabnya suku bangsa yang kuat akan memuliakan Engkau, kota bangsa-bangsa yang kejam akan takut kepada-Mu. Sesungguhnya, Engkau menjadi benteng bagi orang miskin, benteng bagi orang melarat dalam kesesakan, tempat berlindung daripada angin ribut, naungan daripada panas terik. Sesungguhnya, hembusan nafas kalangan yang kejam itu seperti angin ribut yang menerpa tembok, seperti panas terik di tempat yang gersang. Engkau menamatkan cakap besar orang asing. Seperti panas terik diredam oleh naungan awan, demikianlah nyanyian mereka yang kejam dihentikan. Di gunung ini TUHAN alam semesta, akan mengadakan jamuan dengan makanan berlemak bagi segala bangsa, jamuan dengan air anggur yang disimpan lama — makanan berlemak dan bersumsum serta air anggur tersimpan lama yang murni. Di gunung ini juga Dia akan menyingkirkan tudung muka yang menudungi segala suku bangsa dan selubung yang menyelubungi segala bangsa. Dia akan menelan maut untuk selama-lamanya. Tuhan ALLAH akan menghapuskan air mata daripada setiap muka, dan menyingkirkan cela umat-Nya dari seluruh bumi, kerana TUHAN telah berfirman. Pada waktu itu orang akan berkata, “Sesungguhnya, inilah Allah kita. Kita sudah menantikan Dia, dan Dia menyelamatkan kita! Inilah TUHAN. Kita sudah menantikan Dia! Mari kita bergembira dan bersukacita dalam penyelamatan yang dikurniakan-Nya!”

YESAYA 25:1-9

YESAYA 25:1-9 BMYESAYA 25:1-9 BMYESAYA 25:1-9 BM

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami