YESAYA 16:1-14

YESAYA 16:1-14 Alkitab Berita Baik (BM)

Dari kota Sela di padang gurun, penduduk Moab mengirim seekor domba kepada pemerintah di Yerusalem. Mereka menunggu di tebing Sungai Arnon, berulang-alik tanpa tujuan seperti burung yang telah diusir dari sarang. Mereka berkata kepada penduduk Yehuda, “Apakah yang harus kami buat? Lindungilah kami seperti pokok yang memberikan teduh pada tengah hari yang panas, dan benarkanlah kami berteduh di bawah naungan kamu. Kami orang pelarian; sembunyikanlah kami dan jangan khianati kami. Benarkanlah kami tinggal di negeri kamu. Lindungilah kami daripada mereka yang hendak membinasakan kami.” (Penindasan dan pemusnahan itu akan berakhir, dan orang yang memusnahkan negeri Israel akan lenyap. Kemudian seorang daripada keturunan Raja Daud akan menjadi raja yang memerintah rakyatnya dengan kasih dan kesetiaan. Baginda akan cepat bertindak untuk melakukan yang benar, dan baginda akan menegakkan keadilan.) Orang Yehuda berkata, “Kami telah mendengar tentang kesombongan orang Moab; betapa angkuhnya dan congkaknya mereka. Tetapi cakap besar mereka itu kosong semata-mata.” Orang Moab akan menangis kerana penderitaan mereka. Mereka akan menangis apabila teringat akan makanan enak yang biasa dimakan mereka di Kir-Hareset. Mereka akan putus asa. Ladang dekat Hesybon dan ladang anggur di Sibma telah musnah - ladang yang menghasilkan wain untuk pemerintah bangsa-bangsa dan memabukkan mereka. Pada suatu masa dahulu ladang anggur itu meluas sampai ke kota Yaezer, dan ke timur sampai ke padang gurun, dan ke barat sampai ke seberang Laut Mati. Tetapi sekarang aku menangisi pokok anggur Sibma sebagaimana aku menangisi Yaezer. Aku mencucurkan air mata untuk Hesybon dan Eleale, kerana tiada lagi hasil tanaman untuk menyukakan hati orang. Sekarang tiada sesiapa pun yang bersukacita di tanah yang subur itu. Tiada sesiapa pun yang bersorak atau bernyanyi di ladang-ladang anggur. Tiada lagi orang yang memeras buah anggur. Sorakan gembira mereka sudah berhenti. Aku mengeluh dengan sedih melihat keadaan Moab dan Kir-Heres. Orang Moab bersusah payah mendaki bukit ke tempat ibadat mereka untuk berdoa, tetapi usaha mereka sia-sia sahaja. Itulah perkhabaran yang dahulu diberikan oleh TUHAN tentang Moab; tetapi sekarang TUHAN berfirman, “Dalam masa tiga tahun, segala kekayaan yang dibanggakan oleh Moab akan lenyap. Penduduknya yang banyak akan menjadi sangat sedikit dan lemah.”

YESAYA 16:1-14 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Kirimkanlah anak domba kepada penguasa negeri, dari Sela melalui gurun ke gunung puteri Sion. Seperti burung lari terbang, seperti isi sarang yang terusir, demikianlah para puteri Moab di tempat-tempat penyeberangan Sungai Arnon. “Berikanlah nasihat, buatlah keputusan. Buatlah naungan yang teduh di bawah rembang panas. Sembunyikanlah orang yang terbuang, jangan serahkan orang pelarian. Biarlah orangku yang terbuang dari Moab tinggal sebagai pendatang denganmu. Jadilah tempat bersembunyi bagi mereka daripada si pembinasa.” Si pemeras akan ditiadakan, pemusnahan akan berakhir, dan orang zalim akan dilenyapkan daripada dunia. Sebuah takhta kerajaan akan ditegakkan dalam kasih abadi, dan di atasnya akan duduk seorang yang boleh dipercayai di dalam khemah Daud. Dialah hakim dan penegak keadilan yang cepat melaksanakan keadilan. Kami sudah mendengar tentang keangkuhan Moab — memang Moab menjadi sangat sombong! Kami mendengar tentang kesombongannya, keangkuhannya, dan kegeramannya. Cakap besarnya itu kosong belaka. Oleh sebab itu orang Moab akan meraung-raung, setiap orang akan meraung-raung kerana Moab. Apabila mengingat kuih kismis Kir-Hareset, mereka akan merintih, berasa sangat terpukul. Sungguh, ladang-ladang Hesbon merana, begitu pula pokok anggur Sibma. Penguasa bangsa-bangsa telah mematahkan sulur anggur pilihan, yang dahulu menjalar sampai ke Yaezer dan merambat ke gurun. Carang-carangnya menyebar dan menyeberangi laut. Oleh sebab itu aku hendak turut menangis dengan Yaezer kerana pokok anggur Sibma. Aku akan membasahi kamu dengan air mataku, wahai Hesbon dan Eleale, kerana pekik perang telah diperdengarkan atas hasil buah-buahan musim panasmu dan atas hasil tuaianmu. Sukacita dan kegembiraan lenyap daripada ladang yang subur. Di kebun-kebun anggur tidak ada lagi sorak-sorai atau teriakan kegembiraan. Tidak ada lagi orang yang mengirik anggur di tempat pemerasan. Aku telah menghentikan pekik kegirangan itu. Oleh sebab itu hatiku berdenting seperti kecapi kerana Moab, begitu pula batinku kerana Kir-Hareset. Apabila Moab datang menghadap, apabila ia menyusahkan dirinya di atas bukit pemujaan dan masuk ke tempat keramatnya untuk berdoa, ia tidak akan mendapat apa-apa. Itulah firman yang disampaikan TUHAN tentang Moab pada waktu yang lalu. Tetapi sekarang TUHAN berfirman demikian, “Dalam waktu tiga tahun, menurut tahun kerja orang upahan, kemuliaan Moab bersertakan seluruh khalayak ramainya akan menjadi kehinaan. Saki-baki orangnya akan tinggal sedikit sahaja dan tidak berdaya.”