YESAYA 14:3-14

YESAYA 14:3-14 Alkitab Berita Baik (BM)

TUHAN akan mengakhiri kesakitan dan penderitaan umat Israel. Dia akan membebaskan mereka daripada kerja berat yang dipaksakan kepada mereka. Apabila TUHAN melakukan hal itu, mereka akan mengejek raja Babilonia begini, “Raja yang kejam sudah jatuh! Dia tidak dapat menindas sesiapa pun lagi! TUHAN telah menamatkan kuasa pemerintah-pemerintah zalim yang menindas bangsa-bangsa dengan marah dan terus-menerus menganiaya mereka. Akhirnya seluruh dunia menikmati keamanan dan ketenteraman, dan semua orang bernyanyi dengan sukacita. Pokok sipres dan pokok sedar di Lebanon pun bersorak-sorak kerana kejatuhan raja itu, dan tiada sesiapa lagi akan menebang pokok-pokok itu sesudah raja itu pergi. Dunia orang mati sedang bersedia untuk menyambut raja Babilonia. Arwah orang yang berkuasa di bumi dahulu terjaga dan arwah raja-raja bangkit dari takhta mereka. Mereka semua berseru kepada raja Babilonia, ‘Sekarang engkau lemah seperti kami! Engkau sama seperti kami! Dahulu engkau dihormati dengan muzik kecapi, tetapi sekarang engkau berada di dunia orang mati. Ulat menjadi tempat tidurmu dan cacing menjadi selimutmu!’ Hai raja Babilonia, bintang fajar yang cemerlang, engkau sudah jatuh dari langit! Dahulu engkau mengalahkan bangsa-bangsa, tetapi sekarang engkau dicampakkan ke tanah. Engkau bertekad naik ke langit dan menempatkan takhtamu di atas bintang-bintang yang tertinggi. Engkau berfikir engkau dapat duduk sebagai raja di atas gunung di utara, tempat dewa-dewa berkumpul. Engkau ingin naik ke puncak awan dan menjadi seperti Yang Maha Kuasa.

YESAYA 14:3-14 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pada waktu TUHAN mengurniakan kepadamu kelegaan daripada kesusahan, keresahan, dan kerja berat yang dipaksakan ke atasmu, maka engkau akan mengucapkan ibarat ini mengenai raja Babel dan berkata, “Betapa si penindas berakhir! Keganasannya sudah berakhir! TUHAN telah mematahkan tongkat orang fasiq, iaitu tongkat kerajaan para penguasa, yang memukul bangsa-bangsa dalam kegeraman dengan pukulan yang tidak terputus, yang memerintah bangsa-bangsa dalam kemurkaan dengan seksaan yang tiada henti-hentinya. Seluruh bumi tenteram dan sentosa, semuanya bergembira dengan sorak-sorai. Bahkan pokok-pokok sanubar dan pokok-pokok araz di Lebanon bergembira kerana engkau, kata mereka, ‘Sejak engkau terbujur kaku, tidak ada lagi yang naik ke mari untuk menebang kami.’ Alam kubur di bawah bergetar untuk menyambut kedatanganmu. Dibangunkannya para arwah bagimu, iaitu semua bekas pemimpin di bumi. Semua mantan raja bangsa-bangsa dibangkitkannya dari takhta mereka. Mereka semua akan berbicara dan berkata kepadamu, ‘Engkau juga sudah menjadi lemah seperti kami! Engkau sudah menjadi seperti kami!’ Kemegahanmu sudah diturunkan ke alam kubur dengan bunyi gambusmu. Dengan berenga terhampar di bawahmu dan ulat-ulat menjadi selimutmu. Betapa engkau jatuh dari langit, wahai Bintang Timur, anak fajar! Engkau ditumbangkan ke bumi, wahai penakluk bangsa-bangsa! Engkau tadinya berkata dalam hatimu, ‘Aku hendak naik ke langit. Aku hendak meninggikan takhtaku mengatasi bintang-bintang Allah. Aku hendak duduk di gunung pertemuan, di hujung sebelah utara. Aku hendak naik mengatasi ketinggian awan-awan. Aku hendak menyamai Yang Maha Tinggi!’