HOSEA 6:1-11
HOSEA 6:1-11 Alkitab Berita Baik (BM)
Umat Israel berkata, “Marilah kita kembali kepada TUHAN. Dia telah menyakiti kita, tetapi tentu Dia akan menyembuhkan kita pula. Dia telah melukai kita, tetapi tentu Dia akan membalut luka-luka kita. Selepas dua atau tiga hari Dia akan menyembuhkan kita dan kita akan hidup di hadirat-Nya. Marilah kita berusaha untuk mengenal TUHAN. Dia pasti akan datang kepada kita seperti fajar menyingsing, dan seperti hujan yang membasahi bumi pada musim bunga.” Tetapi TUHAN berfirman, “Hai Israel dan Yehuda, apakah yang harus Aku lakukan terhadap kamu? Kasih kamu terhadap Aku cepat hilang seperti kabus atau embun pada waktu pagi-pagi. Oleh itu Aku mengutus nabi-nabi-Ku untuk menyampaikan perkhabaran-Ku kepada kamu bahawa kamu harus dihukum dan dibinasakan. Yang Aku inginkan daripada kamu sudah nyata dan jelas. Aku lebih ingin kamu mengasihi Aku daripada kamu mempersembahkan korban kepada-Ku. Aku lebih suka kamu mengenal Aku daripada membakar korban untuk-Ku. Tetapi sebaik sahaja kamu menduduki tanah di Adam, kamu memungkiri perjanjian-Ku dengan kamu. Gilead merupakan kota yang penuh dengan penjahat dan pembunuh. Imam-imam di kota itu seperti sekumpulan perompak yang melakukan serangan hendap terhadap orang yang lalu lalang. Bahkan di jalan yang menuju ke tempat suci di Sikhem pun mereka melakukan pembunuhan. Mereka sengaja melakukan semua perkara yang keji itu. Aku telah melihat sesuatu yang dahsyat di Israel: umat-Ku telah menajiskan diri dengan menyembah berhala. Bagi kamu, hai orang Yehuda, Aku telah menentukan masa untuk menghukum kamu juga kerana perbuatan kamu.”
HOSEA 6:1-11 Alkitab Versi Borneo (AVB)
“Mari kita kembali kepada TUHAN. Dia telah mencabik-cabik kita, tetapi Dia juga akan menyembuhkan kita. Dia mencederakan kita, tetapi Dia juga akan membalut kita. Setelah dua hari, Dia akan menghidupkan kita, pada hari yang ketiga, Dia akan membangkitkan kita, sehingga kita dapat hidup di hadirat-Nya. Marilah kita mengenal TUHAN, mari kita berusaha keras demi mengenal Dia. Sepastinya fajar, Dia akan menyatakan diri-Nya dan datang kepada kita seperti hujan, seperti hujan akhir musim yang membasahi bumi.” “Apakah yang harus Kulakukan terhadapmu, wahai Efraim? Apa yang harus Kulakukan terhadapmu, wahai Yehuda? Kasih setiamu seperti awan pagi, seperti embun yang menghilang awal-awal pagi lagi. Oleh sebab itu Aku telah mencencang mereka dengan perantaraan para nabi, telah Kuambil nyawa mereka dengan firman-Ku sendiri. Hukuman atasmu memancar seperti cahaya yang terang. Sesungguhnya, Aku menghendaki kasih setia, bukan korban sembelihan, dan pengetahuan tentang Allah dan bukan korban bakaran.” “Tetapi mereka melanggar perjanjian seperti Adam, di sana mereka berkhianat terhadap Aku. Gilead kota para pelaku kejahatan, penuh dengan jejak darah. Sebagaimana gerombolan menghendap untuk menyerang orang, demikianlah perkumpulan imam. Mereka membunuh di jalan menuju Sikhem, bahkan mereka berperangai jahat. Dalam kalangan keturunan kaum Israel telah Kulihat hal yang mengerikan. Di situ terdapat pelacuran Efraim. Israel telah menodai dirinya. Juga bagimu, wahai Yehuda, telah ditentukan suatu penuaian, ketika Aku hendak memulihkan keadaan umat-Ku.