HOSEA 4:1-17

HOSEA 4:1-17 Alkitab Berita Baik (BM)

TUHAN mempunyai tuduhan terhadap orang yang tinggal di negeri ini. Hai Israel, dengarlah firman TUHAN. Inilah tuduhan-Nya: “Negeri ini tidak mengenal makna kesetiaan ataupun kasih. Penduduknya tidak mengakui Aku sebagai Allah. Mereka berjanji, tetapi tidak menepati janji. Mereka membohong, membunuh, mencuri, dan berzina. Jenayah semakin bertambah dan pembunuhan terjadi susul-menyusul. Oleh itu tanah mereka akan menjadi kering dan segala sesuatu yang hidup di atasnya akan mati. Segala binatang dan burung, bahkan ikan pun akan mati.” TUHAN berfirman, “Janganlah sesiapa menuduh atau menyalahkan umat-Ku. Tuduhan-Ku terhadap kamu, para imam. Siang malam kamu melakukan kesalahan. Nabi-nabi kamu pun demikian. Oleh itu, Aku akan membinasakan Israel, ibu kamu. Umat-Ku binasa kerana mereka tidak mahu mengakui Aku. Kamu, imam-imam, tidak mempedulikan Aku dan telah menolak ajaran-Ku. Oleh itu Aku pun akan menolak kamu dan tidak mengakui anak-anak kamu sebagai imam-Ku. Semakin kamu bertambah banyak, semakin banyak dosa kamu terhadap Aku, hai imam-imam. Maka Aku akan mengubah keadaan kamu. Kamu tidak akan dihormati lagi, melainkan dihina. Kamu menjadi kaya kerana dosa umat-Ku, dan oleh itu kamu suka mereka berdosa terus. Kamu akan menanggung hukuman seperti mereka. Aku akan menghukum kamu setimpal dengan kejahatan yang telah kamu lakukan. Kamu akan makan bahagian kamu daripada korban yang dipersembahkan, tetapi kamu akan tetap lapar. Kamu akan menyembah dewa-dewa kesuburan, tetapi kamu tetap tidak mendapat anak. Semua hal itu terjadi kerana kamu telah meninggalkan Aku untuk menyembah tuhan-tuhan lain.” TUHAN berfirman “Wain, baik yang lama atau yang baru telah merosakkan fikiran umat-Ku. Mereka minta petunjuk daripada sebatang kayu. Sebatang tongkat memberitahu mereka apa yang ingin diketahui mereka. Mereka telah meninggalkan Aku. Seperti seorang wanita yang menjadi pelacur, mereka telah menyerahkan diri kepada tuhan-tuhan lain. Mereka mempersembahkan korban di tempat-tempat penyembahan berhala di gunung. Mereka membakar kemenyan di bukit, di bawah pokok-pokok besar yang rendang kerana tempat itu teduh. Akibatnya anak-anak perempuan kamu menjadi pelacur, dan menantu-menantu perempuan kamu berzina. Tetapi Aku tidak akan menghukum mereka untuk perbuatan itu, oleh sebab kamu sendiri pun berzina dengan pelacur-pelacur yang bekerja di rumah berhala. Bersama-sama mereka, kamu mempersembahkan korban kepada dewa. Sungguh benar ungkapan ini, ‘Bangsa yang tidak mempunyai pengertian tentang Allah akan binasa.’ Meskipun kamu, umat Israel tidak setia kepada-Ku, jangan pula kamu, Yehuda berbuat demikian. Jangan beribadat di Gilgal, atau di Betel. Jangan buat janji-janji di sana demi nama TUHAN yang hidup. Umat Israel keras kepala seperti baghal. Bagaimanakah Aku dapat menggembalakan mereka seperti domba di padang rumput? Umat Israel sudah terpikat oleh berhala. Oleh itu biarkanlah mereka.

HOSEA 4:1-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Dengarlah firman TUHAN, wahai orang Israel, kerana TUHAN ada sungutan tentang penduduk negeri ini: “Tidak ada kesetiaan, tidak ada kasih, malah juga tidak ada pengetahuan akan Allah di negeri ini. Yang ada hanyalah mengutuk, berbohong, membunuh, mencuri, dan berzina! Mereka langsung tidak mengendahkan segala larangan, dan penumpahan darah menyusul penumpahan darah. Oleh sebab itu negeri ini berkabung, seluruh penghuninya merana, termasuklah segala mergastua di padang dan burung di udara. Bahkan ikan-ikan di laut pun lenyap.” Namun begitu, jangan ada seorang pun yang berani membantah, jangan seorang pun berani mengherdik, kerana bangsamu itu seperti orang yang berbantah-bantah dengan imam. Engkau tersandung pada siang hari dan nabi pun tersandung bersama-samamu pada malam hari. Aku akan membinasakan Israel, ibumu. Umat-Ku binasa kerana kurang ilmu pengetahuan. Kerana sedemikian engkau menolak ilmu pengetahuan, maka Aku pun menolak engkau menjadi imam bagi-Ku. Kerana engkau telah melupakan hukum Allahmu, maka Aku pun akan melupakan anak-anakmu. Semakin ramai imam itu, semakin bertambah-tambah dosa mereka terhadap Aku. Oleh sebab itu Aku akan mengubah kemuliaan mereka menjadi kehinaan. Mereka mendapat rezeki daripada berdosanya umat-Ku, lantas mereka mengharapkan umat-Ku terus dalam kemungkaran. Maka akan terjadi: sebagaimana nasib umat, demikianlah nasib imam. Aku akan menghukum mereka kerana perilaku mereka dan membalas mereka menurut perbuatan mereka. Mereka akan makan tetapi tidak kenyang, mereka akan berzina tetapi tidak menjadi semakin ramai, kerana mereka telah meninggalkan TUHAN dan menduakan-Nya dengan menyembah tuhan-tuhan lain. Persundalan, air anggur dan air anggur baru menghilangkan akal. Umat-Ku meminta petunjuk daripada berhala kayu dan mendapat pernyataan daripada tongkat faal. Mereka disesatkan oleh roh kekufuran, dan berbuat kemungkaran dengan menyeleweng daripada Allah mereka. Mereka mempersembahkan korban di atas puncak-puncak gunung, membakar dupa di atas bukit-bukit, di bawah pokok oak, pokok hawar, dan pokok rimbun, kerana naungannya baik. Maka para anak perempuanmu melacur dan para menantu perempuanmu berzina. Aku tidak akan menghukum para anak perempuanmu apabila mereka melacur, atau para menantu perempuanmu apabila mereka berzina, kerana kaum lelaki sendiri pergi menyisih untuk bergaul dengan pelacur dan mempersembahkan korban bersama dengan para pelacur kuil. Maka bangsa yang tidak berpengertian itu akan mengalami kemusnahan. Kalaupun engkau berlaku kufur, wahai Israel, jangan sampai Yehuda turut bersalah! Jangan pula datang ke Gilgal, jangan naik ke Bet-Awen dan jangan bersumpah, ‘Demi TUHAN yang hidup!’ Israel keras kepala seperti lembu yang ketegar. Masakan sekarang TUHAN menggembala mereka seperti domba di padang yang luas? Efraim bersekutu dengan berhala-berhala. Biarkanlah dia!