KEJADIAN 9:20-29
KEJADIAN 9:20-29 Alkitab Berita Baik (BM)
Nuh ialah petani, dan dialah yang mula-mula menanam anggur. Setelah Nuh minum wainnya, dia menjadi mabuk. Dia menanggalkan semua pakaiannya lalu berbaring telanjang di dalam khemahnya. Apabila Ham, bapa Kanaan, melihat bapanya bertelanjang, dia keluar dan memberitahukan hal itu kepada kedua-dua orang saudaranya. Kemudian Sem dan Yafet mengambil sehelai jubah. Mereka membentangkan jubah itu pada bahu, lalu berjalan mundur masuk ke khemah dan menyelimuti bapa mereka dengan jubah itu. Mereka memalingkan muka supaya tidak nampak bapa mereka yang bertelanjang. Apabila Nuh sedar daripada mabuknya dan mengetahui perbuatan anak bongsunya, dia berkata, “Terkutuklah Kanaan! Dia akan menjadi abdi saudara-saudaranya. Pujilah TUHAN, Allah Sem! Kanaan akan menjadi abdi Sem. Semoga Allah menambahkan berkat kepada Yafet dengan meluaskan tempat tinggalnya. Semoga keturunannya tinggal bersama dengan keturunan Sem. Kanaan akan menjadi abdi Yafet.” Selepas banjir itu, Nuh hidup selama 350 tahun lagi. Nuh meninggal ketika dia berumur 950 tahun.
KEJADIAN 9:20-29 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Nuh menjadi petani, dan dia mula-mula menanam kebun anggur. Apabila dia minum air anggur lalu mabuk tertidurlah dia dalam keadaan telanjang di dalam khemahnya. Ham, ayah Kanaan yang terlihat aurat ayahnya itu menceritakannya kepada kedua-dua orang saudaranya yang berada di luar. Maka Sem dan Yafet mengambil sehelai pakaian lalu menyangkutkannya pada bahu mereka berdua lalu mereka berjalan secara mengundur dan menutupi aurat ayah mereka. Mereka menghadapkan muka masing-masing ke arah yang membelakangi tubuh ayah mereka lantas mereka tidak melihat aurat ayah mereka. Ketika Nuh sedar daripada pengaruh air anggur itu, tahulah dia tentang apa yang dilakukan anak bongsunya kepadanya. Maka berkatalah ia, “Terkutuklah Kanaan! Dia akan menjadi hamba daripada segala hamba bagi saudara-saudaranya.” Katanya pula, “Segala puji bagi TUHAN, Allah Sem! Biarlah Kanaan menjadi hambanya. Semoga Allah meluaskan wilayah Yafet! Biarlah dia tinggal di dalam khemah-khemah Sem dan biarlah Kanaan menjadi hambanya.” Selepas banjir besar itu, Nuh hidup selama 350 tahun lagi. Maka setelah Nuh berusia 950 tahun, dia pun meninggal.