KEJADIAN 49:1-33
KEJADIAN 49:1-33 Alkitab Berita Baik (BM)
Kemudian Yakub memanggil anak-anak lelakinya dan berkata, “Berkumpullah di sini, dekat aku. Aku akan memberitahu kamu apa yang kamu alami pada kemudian hari. Berkumpullah, hai anak-anak Yakub, dengarlah Israel, bapa kamu. Ruben, anakku yang sulung, engkaulah kekuatanku, buah pertama keperkasaanku. Engkau paling gagah dan kuat antara semua anak lelakiku. Engkau mudah tergoncang seperti air, sehingga engkau bukan yang terutama. Oleh sebab engkau tidur dengan gundikku, engkau mencemarkan tempat tidur bapamu. Simeon dan Lewi bersaudara; senjata mereka digunakan untuk kekejaman. Aku tidak akan ikut dalam pakatan mereka, dan tidak ikut dalam kumpulan mereka. Oleh sebab mereka membunuh dalam kemarahan, dan melumpuhkan lembu jantan untuk bersuka-suka. Terkutuklah kemarahan mereka, kerana sangat dahsyat. Terkutuklah amukan mereka, kerana sangat kejam. Aku akan menyelerakkan mereka di seluruh Israel. Aku akan mencerai-beraikan mereka antara semua bangsa. Yehuda, engkau akan menerkam tengkuk musuhmu; saudara-saudaramu akan memujimu dan sujud di hadapanmu. Yehuda bagaikan singa; dia membunuh mangsanya, lalu kembali ke sarangnya; dia menggeliat lalu berbaring, dan tiada seorang pun berani mengusiknya. Yehuda akan memegang tongkat kerajaan, keturunannya akan memerintah selama-lamanya. Bangsa-bangsa akan membawakan dia ufti, dan sujud dengan taat di hadapannya. Anak keldainya diikatnya pada pokok, pada pokok anggur yang paling baik. Dia mencuci pakaiannya dengan wain, wain semerah darah. Matanya merah kerana minum wain, giginya putih kerana minum susu. Zebulon akan tinggal dekat laut; kapal-kapal akan berlabuh di pantainya; sempadan wilayahnya sampai ke Sidon. Isakhar umpama keldai kuat yang terlentang di antara kantung pelana. Dia melihat betapa baiknya tempat itu dan betapa indahnya negeri itu. Oleh itu dia membongkok untuk memikul beban, dan dipaksa bekerja sebagai hamba. Dan akan memerintah bangsanya, mereka akan menjadi seperti suku Israel yang lain. Dan bagaikan ular di pinggir jalan, ular berbisa di tepi lorong, yang mematuk tumit kuda sehingga penunggangnya tercampak. Aku menantikan penyelamatan daripada-Mu, ya TUHAN. Gad akan diserang perompak, namun dia akan berbalik dan merompak mereka. Tanah Asyer akan menghasilkan makanan lazat, dia akan menyediakan makanan bagi raja. Naftali bagaikan rusa yang pantas, yang melahirkan anak-anak yang cantik. Yusuf umpama keldai muda, keldai liar dekat mata air, berlari-lari di lereng gunung. Musuh menyerangnya dengan sengit, mengejarnya dengan busur dan panah. Tetapi lengan Yusuf tetap kuat, dan busurnya kukuh, kerana kekuatan Allah Yakub yang Berkuasa, Gembala dan Pelindung Israel. Allah bapamu menolong engkau; Allah Yang Maha Kuasa memberkati engkau dengan hujan dari langit dan air dari bawah tanah, dengan anak dan lembu, dengan gandum dan bunga, dengan gunung-gunung purba, dengan kekayaan dari bukit-bukit yang abadi. Semoga semua berkat itu dicurahkan di atas kepala Yusuf, dan pada dahinya. Dialah yang teristimewa di kalangan saudara-saudaranya. Benyamin bagaikan serigala yang ganas. Pada pagi hari dia menerkam mangsanya. Pada malam hari dia mencarik-cariknya.” Itulah dua belas suku Israel, dan kata-kata bapa mereka ketika dia memberkati setiap anak lelakinya dengan berkat yang sesuai bagi masing-masing. Kemudian Yakub berpesan kepada anak-anak lelakinya, “Sebentar lagi aku akan meninggal seperti nenek moyangku. Kebumikanlah aku di tempat mereka dikebumikan, di dalam gua di Makhpela, di sebelah timur Mamre, di tanah Kanaan. Abraham sudah membeli gua dan ladang di sekitarnya untuk dijadikan perkuburan, daripada Efron orang Het. Di situlah Abraham dan Sara serta Ishak dan Ribka dikebumikan. Di situ juga aku mengebumikan Lea. Ladang dan gua yang ada di situ sudah dibeli daripada orang Het. Kebumikanlah aku di situ.” Selepas Yakub memberikan pesannya kepada anak-anak lelakinya, dia berbaring lalu meninggal.
KEJADIAN 49:1-33 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Maka Yakub memanggil anak-anaknya dan berkata, “Berkumpullah kamu, aku akan memberitahu kepadamu apa yang akan terjadi kepada kamu pada kemudian hari. Berkumpullah dan dengarlah, hai para anak Yakub, dengarlah pesan Israel, ayahmu. Ruben, kamulah anakku yang sulung, kekuatanku dan permulaan keperkasaanku, terunggul dalam keluhuran, terunggul dalam kegagahan. Kamu, yang meluap seperti air, tidak lagi menjadi yang terunggul, kerana kamu telah menaiki peraduan ayahmu, kemudian menodainya. Dia telah menaiki tempat tidurku! Simeon dan Lewi, adik-beradik, pedang mereka senjata kekerasan. Jangan ikut dalam permuafakatan mereka, wahai jiwaku, jangan bersekutu dengan perkumpulan mereka, wahai batinku, kerana dalam amarah mereka membunuh orang, dan dalam angkara mereka melumpuhkan lembu-lembu jantan. Terkutuklah kemarahan mereka yang sebegitu bengis, terkutuklah keberangan mereka yang sebegitu ganas. Aku akan membahagi-bahagikan mereka antara anak Yakub, dan menyebarkan mereka antara anak Israel. Yehuda, kamu akan dipuji oleh para saudaramu. Tanganmu akan mencengkam tengkuk para musuhmu, dan para anak ayahmu akan tunduk kepadamu. Yehuda, kamu laksana seekor anak singa. Kamu naik meninggalkan mangsa, hai anakku. Dia merunduk, mendekam seperti singa jantan atau singa betina; siapakah yang berani merangsangkannya? Cokmar kuasa tidak akan berpindah daripada Yehuda, mahupun tongkat kerajaan daripada di antara kakinya, hingga datang dia yang berhak atasnya; kepadanyalah bangsa-bangsa akan tunduk. Dia menambatkan anak keldainya pada pokok anggur, dan keldai jantan mudanya pada pokok anggur pilihan. Dia membasuh pakaiannya dengan air anggur, dan jubahnya dengan cairan buah anggur. Merahlah matanya kerana air anggur, dan putihlah giginya kerana susu. Zebulon akan mendiami kawasan di tepi laut dan akan menjadi pelabuhan bagi kapal-kapal, dan perbatasannya akan sampai ke Sidon. Isakhar bagai seekor keldai yang tegap, merunduk di antara dua kantung pelana. Apabila dia terlihat tempat rehat yang baik dan sebuah negeri yang menyenangkan, dia akan membongkokkan bahunya untuk memikul beban lalu menjadi buruh paksa. Dan akan mengadili bangsanya sebagai salah satu suku orang Israel. Semoga Dan menjadi seperti ular di tepi jalan, seperti ular bertanduk di sisi lorong yang memagut tumit kuda, sehingga penunggangnya jatuh tertelentang. Aku menantikan pembebasan daripada-Mu, ya TUHAN. Gad akan diserang oleh gerombolan penjarah, tetapi dia akan menyerang tumit mereka. Asyer, makanannya mewah dan berlimpah ruah, dia akan menyajikan santapan nikmat kepada para raja. Naftali bagaikan seekor rusa betina yang terlepas; indah-indah ucapan yang dikeluarkannya. Yusuf bagai cabang yang sarat berbuah, cabang sarat berbuah dekat mata air yang ranting-rantingnya berjulai melintasi tembok. Para pemanah memberikan kesusahan kepadanya, memanahnya, dan menganiayainya. Namun demikian, busurnya terus tegap bertahan, dan lengan kedua-dua belah tangannya tetap mahir membidik, dengan tangan Yang Maha Perkasa, Allah Yakub, kerana Sang Gembala, Batu Pejal Israel, kerana Allah ayahmu, yang akan menolong kamu, dan kerana Yang Maha Kuasa, yang akan memberkatimu dengan berkat daripada langit di atas, dengan berkat daripada samudera yang terhampar di bawah, dengan berkat daripada payudara dan rahim. Berkat ayahmu melebihi berkat nenek moyangku, mengatasi batas bukit-bukit yang malar hidup. Kesemuanya akan turun ke atas kepala Yusuf, ke atas ubun-ubun orang yang teristimewa antara saudaranya. Benyamin bagai seekor serigala yang rakus, pada pagi hari dia memakan mangsanya, dan pada petang hari dia membahagi-bahagikan hasil penjarahannya.” Itulah kesemua suku Israel, jumlahnya dua belas, dan itulah yang dikatakan ayah mereka kepada mereka ketika dia mendoakan keberkatan bagi mereka, iaitu berkat yang khusus dan sewajarnya bagi setiap orang. Setelah itu berpesanlah Yakub kepada mereka, “Tidak lama lagi aku akan dikumpulkan bersama-sama kaum leluhurku. Makamkanlah aku di sisi nenek moyangku di dalam gua di ladang Efron, bani Het itu, iaitu gua di ladang Makhpela, sebelah timur Mamre, di Tanah Kanaan. Gua itu dibeli oleh Abraham sekali gus dengan ladangnya daripada Efron, bani Het, untuk dijadikan permakaman khusus miliknya. Di sanalah Abraham dan Sarah, isterinya dimakamkan, demikian pula Ishak dan Ribka isterinya. Di sana jugalah aku memakamkan Lea. Ladang dan gua yang ada di dalamnya sudah dibeli daripada bani Het.” Setelah Yakub selesai berpesan kepada anak-anaknya, dia pun menarikkan kedua-dua belah kakinya ke atas tempat tidur. Kemudian dia menghembuskan nafasnya yang terakhir lalu terkumpullah dia bersama-sama para leluhurnya.