KEJADIAN 47:13-26

KEJADIAN 47:13-26 Alkitab Berita Baik (BM)

Kebuluran sangat dahsyat sehingga tiada lagi makanan di mana-mana pun. Penduduk Mesir dan Kanaan lemah, serta tidak berdaya kerana kebuluran. Setiap kali mereka membeli gandum, Yusuf mengumpulkan wang pembayar gandum, lalu menyimpannya di istana raja. Apabila wang di Mesir dan di Kanaan habis dibelanjakan, orang Mesir datang kepada Yusuf dan berkata, “Berilah kami makanan! Jangan biar kami mati. Wang kami sudah habis.” Yusuf menjawab, “Jika wang kamu sudah habis, berikanlah ternakan kamu, lalu aku akan memberikan makanan kepada kamu sebagai ganti ternakan.” Oleh itu mereka memberikan ternakan kepada Yusuf. Kemudian Yusuf memberikan makanan kepada mereka sebagai ganti kuda, domba, kambing, lembu, dan keldai. Pada tahun itu, Yusuf memberikan makanan kepada mereka dan mereka membayarnya dengan ternakan. Pada tahun yang berikut mereka datang lagi kepada Yusuf dan berkata, “Kami berterus terang kepada tuan bahawa wang kami sudah habis dan ternakan kami sudah menjadi milik tuan. Kami tidak mempunyai apa-apa lagi yang dapat diberikan kepada tuan, selain diri kami sendiri dan tanah kami. Jangan biar kami mati! Jangan biar ladang-ladang kami menjadi tandus. Belilah kami dan tanah kami dengan gandum. Kami dan tanah kami akan menjadi milik raja. Berilah kami gandum untuk menyambung hidup kami, dan juga benih untuk ditanam di ladang!” Kemudian Yusuf membeli seluruh tanah di Mesir untuk raja. Tiap-tiap orang Mesir terpaksa menjual tanahnya kerana masa kebuluran itu sangat dahsyat. Lalu seluruh tanah di Mesir menjadi milik raja. Rakyat seluruh Mesir dijadikan hamba oleh Yusuf. Hanya tanah kepunyaan para imam yang tidak dibeli oleh Yusuf. Mereka tidak perlu menjual tanah kerana raja memberi mereka elaun tetap untuk keperluan hidup. Yusuf berkata kepada rakyat, “Sekarang aku telah membeli kamu dan tanah kamu untuk raja. Oleh itu, ambillah benih ini untuk ditanam di ladang kamu. Pada waktu menuai nanti, kamu mesti memberikan seperlima daripada hasilnya kepada raja. Kamu boleh menggunakan bakinya sebagai benih, dan untuk makanan kamu serta keluarga kamu.” Mereka menjawab, “Tuan sudah berjasa kepada kami; tuan sudah menyelamatkan kami. Oleh itu kami rela menjadi hamba raja.” Kemudian Yusuf menjadikan hal itu undang-undang di negeri Mesir, iaitu seperlima daripada hasil tuaian mesti menjadi milik raja. Sampai sekarang undang-undang itu masih berlaku. Hanya tanah milik para imam yang tidak dijadikan milik raja.

KEJADIAN 47:13-26 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Sampailah masanya tidak ada lagi makanan di seluruh negeri itu kerana begitu hebatnya bencana kebuluran yang melanda. Tanah Mesir dan Tanah Kanaan menderita bahana bencana kebuluran itu. Yusuf mengumpulkan kesemua wang yang ada di Tanah Mesir serta Tanah Kanaan, iaitu wang yang dibayar orang untuk membeli gandum, lalu dibawanya wang itu ke istana Firaun. Setelah habis wang di Tanah Mesir serta Tanah Kanaan, datanglah semua warga Mesir kepada Yusuf dan berkata, “Berilah kami makanan. Haruskah kami mati di hadapan tuan? Wang kami sudah habis!” Jawab Yusuf, “Jika wangmu habis, serahkanlah ternakanmu, maka aku akan memberikan kepadamu makanan sebagai ganti ternakanmu.” Lalu mereka membawa ternakan mereka kepada Yusuf, dan Yusuf memberikan kepada mereka makanan sebagai ganti kuda, domba, lembu, serta keldai mereka. Pada tahun itu Yusuf menampung keperluan makanan mereka dengan bayaran berupa kesemua haiwan ternakan mereka. Apabila tahun itu berakhir, mereka datang lagi kepada Yusuf pada tahun seterusnya lalu berkata, “Tidak dapat kami sembunyikan daripada tuanku bahawa wang kami sudah habis dan bahawa haiwan ternakan kami sudah menjadi milik tuanku. Tiada baki apa-apa lagi di hadapan tuanku selain badan kami dan tanah kami. Haruskah kami dan juga tanah kami mati di hadapan mata tuan? Belilah diri kami juga tanah kami sebagai ganti makanan. Biarlah kami dan tanah kami menjadi hamba Firaun. Berikanlah benih supaya kami hidup dan tidak mati, dan supaya tanah tidak menjadi tandus.” Oleh sebab warga Mesir menjual ladang akibat hebat sekali bencana kebuluran yang menimpa mereka, Yusuf membeli kesemua tanah di Mesir untuk Firaun lantas negeri itu menjadi milik Firaun. Setelah itu, Yusuf memindahkan rakyat ke kota-kota di Mesir, dari satu hujung negeri hingga ke hujung yang lain. Namun begitu, dia tidak membeli tanah para imam kerana para imam mempunyai peruntukan yang tetap daripada Firaun, dan mereka makan daripada peruntukan tetap yang diberikan oleh Firaun kepada mereka itu. Sebab itulah mereka tidak menjual tanah mereka. Berkatalah Yusuf kepada rakyat, “Pada hari ini aku telah membeli dirimu dan tanahmu untuk Firaun. Inilah benih untuk kamu mengusahakan tanah itu. Pada waktu menuai kelak, hendaklah kamu menyerahkan seperlima bahagian kepada Firaun, dan baki empat bahagiannya menjadi milikmu. Gunakannya untuk benih ladangmu, untuk makanan kamu dan seisi rumahmu, serta para anakmu.” Jawab mereka, “Tuan sudah menyelamatkan hidup kami! Asal tuan berkenan, kami mahu menjadi hamba Firaun.” Maka Yusuf membuat ketetapan perihal tanah di Mesir yang masih berkuat kuasa sehingga kini, iaitu bahawa seperlima bahagian daripada hasil tanah menjadi milik Firaun. Hanya tanah para imamlah yang tidak menjadi milik Firaun.