KEJADIAN 42:29-36
KEJADIAN 42:29-36 Alkitab Berita Baik (BM)
Apabila mereka sampai di Kanaan, mereka menceritakan segala sesuatu yang dialami mereka, kepada bapa mereka. Mereka berkata, “Gabenor Mesir bercakap kasar kepada kami dan menuduh kami mengintip negerinya. Kami menjawab, ‘Kami orang jujur, bukan pengintip. Kami dua belas orang adik-beradik, anak daripada satu bapa, tetapi seorang sudah meninggal, dan yang bongsu ada bersama dengan bapa kami di Kanaan.’ Gabenor itu berkata, ‘Aku mahu menguji kamu untuk mengetahui sama ada kamu jujur. Seorang daripada kamu harus tinggal, tetapi yang lain boleh pulang dan membawa gandum kepada keluarga kamu yang sedang menderita kebuluran. Apabila kamu datang ke sini lagi, bawalah adik bongsu kamu. Dengan demikian aku akan tahu bahawa kamu bukan pengintip, melainkan orang jujur. Saudara kamu yang aku tahan itu akan kukembalikan kepada kamu, lalu kamu boleh tinggal di negeri ini dan bebas berdagang.’ ” Apabila mereka mengosongkan karung, masing-masing menjumpai kantung wangnya. Ketika mereka melihat wang itu, mereka dan bapa mereka takut. Kemudian bapa mereka berkata, “Kamu menyebabkan aku kehilangan semua anakku. Yusuf tiada lagi; Simeon pun tiada lagi; sekarang kamu mahu membawa pergi Benyamin pula. Akulah yang menderita!”
KEJADIAN 42:29-36 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Sesampainya mereka di tempat Yakub, ayah mereka, di Tanah Kanaan, mereka menceritakan kepadanya segala sesuatu yang terjadi kepada mereka. Kata mereka, “Orang yang berkuasa atas negeri itu berkata-kata dengan kasar terhadap kami. Disangkanya kami orang yang sedang mengintip negeri itu. Jawab kami kepadanya, ‘Kami ini orang jujur, bukan pengintip. Kami ini dua belas orang bersaudara, anak-anak daripada seorang ayah. Seorang sudah tidak ada, dan yang bongsu sekarang bersama-sama ayah kami di Tanah Kanaan.’ Tetapi orang yang berkuasa atas negeri itu berkata kepada kami, ‘Melalui hal ini aku akan tahu sama ada kamu orang jujur: tinggalkanlah seorang saudaramu denganku, kemudian ambillah makanan untuk keluargamu yang sedang kelaparan dan pergilah. Kemudian bawalah adikmu yang bongsu kepadaku, supaya aku tahu bahawa kamu bukan pengintip melainkan orang jujur. Setelah itu, aku akan mengembalikan saudaramu kepadamu, dan kamu pun boleh berniaga di negeri ini.’ ” Ketika mereka hendak mengosongkan karung mereka, kelihatan kantung wang masing-masing ada di dalam karung. Melihat kantung-kantung wang itu, mereka dan juga ayah mereka menjadi sangat ketakutan. Lalu Yakub, ayah mereka, berkata kepada mereka, “Kamu membuat aku kehilangan anak-anakku. Yusuf sudah tidak ada, demikian pula Simeon. Sekarang, Benyamin pun hendak kamu ambil. Akulah yang menanggung semua ini!”