KEJADIAN 37:19-28 - Compare All Versions

KEJADIAN 37:19-28 BM (Alkitab Berita Baik)

Mereka berkata satu sama lain, “Itu dia si tukang mimpi datang. Marilah kita bunuh dia dan campakkan mayatnya ke dalam perigi yang kering. Nanti kita katakan dia diterkam oleh binatang buas. Kita lihatlah apa akan berlaku dengan mimpi-mimpinya itu.” Ruben mendengar rancangan mereka, lalu dia berusaha untuk menyelamatkan Yusuf. “Jangan bunuh dia,” katanya. “Campakkan dia ke dalam perigi di padang gurun ini, tetapi jangan cederakan dia.” Ruben berkata begitu kerana dia bermaksud menyelamatkan Yusuf dan menyuruh dia pulang kepada bapanya. Apabila Yusuf sampai kepada saudara-saudaranya, dengan kasar mereka menanggalkan jubah Yusuf yang sangat cantik itu. Kemudian mereka menyeret Yusuf dan mencampakkan dia ke dalam perigi yang kering. Ketika mereka sedang makan, tiba-tiba mereka nampak kafilah orang Ismael dari Gilead yang sedang dalam perjalanan ke Mesir. Unta-unta mereka mengangkut rempah-rempah dan damar. Yehuda berkata kepada saudara-saudaranya, “Apakah keuntungannya membunuh adik kita dan merahsiakan pembunuhan itu? Mari kita jual dia kepada orang Ismael itu. Tidak usah kita sakiti dia. Bagaimanapun dia tetap adik kita.” Saudara-saudaranya bersetuju. Apabila beberapa orang pedagang Midian lalu, Yusuf dikeluarkan oleh saudara-saudaranya dari perigi. Kemudian mereka menjual dia kepada orang Ismael itu dengan harga dua puluh keping wang perak. Yusuf dibawa oleh pedagang-pedagang itu ke Mesir.

KEJADIAN 37:19-28 AVB (Alkitab Versi Borneo)

Kata mereka sesama sendiri, “Lihat, si tukang mimpi itu datang! Sekarang, mari kita bunuh dia dan kita humban mayatnya ke dalam salah sebuah perigi di sini. Kita katakan sahaja bahawa dia dimakan oleh binatang buas. Nanti kita lihat, apa yang akan terjadi dengan segala mimpinya itu!” Tetapi ketika Ruben mendengar hal itu, dia berusaha menyelamatkan Yusuf daripada perbuatan tangan mereka itu. Katanya, “Jangan kita bunuh dia.” Kata Ruben lagi kepada mereka, “Jangan tumpahkan darah. Lemparkan dia sahaja ke dalam perigi yang ada di gurun ini, tetapi jangan cederakan dia.” Maksudnya adalah untuk menyelamatkan Yusuf daripada penganiayaan mereka dan membawanya kembali kepada ayahnya. Maka setibanya Yusuf di tempat para saudaranya, mereka menanggalkan jubahnya, iaitu jubah indah berlengan panjang yang dipakainya itu, lalu membawa dia dan melemparkannya ke dalam sebuah perigi yang kosong, tidak berair. Setelah itu, mereka pun duduk untuk makan roti. Ketika mendongak, mereka terlihat ada sebuah kafilah bani Ismael yang datang dari Gilead. Unta mereka sarat dengan muatan rempah-ratus, balsam, dan damar wangi untuk dibawa ke Mesir. Lalu berkatalah Yehuda kepada para saudaranya, “Apa untungnya kita membunuh adik kita dan menyembunyikan darahnya? Mari kita jualkannya kepada bani Ismael ini. Jangan kita cederakan dia, kerana dia memang adik kita, darah daging kita.” Maka para saudaranya pun menyetujui kata-katanya. Ketika para saudagar Midian itu tiba berdekatan mereka, Yusuf ditarik dan diangkat keluar dari dalam perigi, lalu dijual kepada bani Ismael itu dengan harga dua puluh keping perak. Maka kumpulan orang itu pun membawa Yusuf ke Mesir.