KEJADIAN 36:1-8 - Compare All Versions

KEJADIAN 36:1-8 BM (Alkitab Berita Baik)

Inilah keturunan Esau yang disebut juga Edom. Esau berkahwin dengan tiga orang wanita Kanaan: Ada, anak Elon orang Het; Oholibama anak Ana, cucu Zibeon orang Hewi; Basmat anak Ismael, adik Nebayot. Ada melahirkan Elifas, Basmat melahirkan Rehuel, dan Oholibama melahirkan Yeus, Yaelam, dan Korah. Semua anak lelaki Esau itu dilahirkan di negeri Kanaan. Kemudian Esau meninggalkan Yakub dan pergi ke negeri lain bersama dengan semua isterinya, anak lelakinya, anak perempuannya, serta semua orang dalam rumahnya. Dia juga membawa semua ternakan dan harta benda yang sudah diperolehinya di Kanaan. Esau berpisah daripada Yakub kerana harta mereka terlalu banyak, sehingga mereka tidak dapat tinggal bersama-sama. Lagipun negeri yang didiami mereka itu tidak cukup luas untuk ternakan mereka yang sangat banyak. Oleh itu Esau yang juga dinamakan Edom, menetap di kawasan pergunungan Seir.

KEJADIAN 36:1-8 AVB (Alkitab Versi Borneo)

Inilah keturunan Esau, yang juga dikenali sebagai Edom. Esau memperisteri kaum perempuan Kanaan, iaitu Adah anak Elon, orang Het; Oholibama, anak Ana, anak Zibeon, orang Hewi; dan juga Basmat anak Ismael, adik Nebayot. Untuk Esau, Adah melahirkan Elifas, Basmat melahirkan Rehuel, manakala Oholibama melahirkan Yeus, Yaelam, dan Korah. Itulah anak-anak Esau yang dilahirkan untuknya di Tanah Kanaan. Esau membawa para isterinya, para anaknya baik lelaki mahupun perempuan, semua orang yang ada di rumahnya, ternakannya, segala haiwannya, dan segala harta benda yang diperolehnya di Tanah Kanaan pergi ke sebuah negeri, jauh daripada Yakub, adiknya. Memang harta benda kedua-dua saudara itu terlalu banyak, sehingga tidak mungkin bagi mereka untuk tinggal bersama-sama. Selain itu, negeri tempat mereka tinggal sebagai pendatang itu pun tidak dapat menampung mereka kerana ternakan mereka begitu banyak sekali. Maka tinggallah Esau, iaitu Edom, di Pergunungan Seir.