KEJADIAN 3:17-24

KEJADIAN 3:17-24 Alkitab Berita Baik (BM)

Kemudian TUHAN Allah berfirman kepada lelaki itu, “Engkau mendengarkan kata-kata isterimu, lalu makan buah yang Aku larang engkau makan. Oleh sebab perbuatanmu itu, terkutuklah tanah. Engkau mesti bekerja keras seumur hidupmu agar tanah ini dapat menghasilkan makanan yang cukup. Tanah akan menghasilkan semak dan duri; tumbuh-tumbuhan liar akan menjadi makananmu. Engkau akan bekerja keras dan berpeluh-peluh untuk membuat tanah ini menghasilkan sesuatu, sampai engkau kembali ke tanah kerana engkau dibentuk daripada tanah. Engkau dijadikan daripada tanah, dan engkau akan kembali ke tanah.” Adam menamakan isterinya Hawa, kerana perempuan itu menjadi ibu segenap umat manusia. Kemudian TUHAN Allah membuat pakaian daripada kulit binatang untuk Adam dan isterinya, lalu mengenakan pakaian itu pada mereka. TUHAN Allah berfirman, “Sekarang manusia telah menjadi seperti Kita dan mempunyai pengetahuan tentang apa yang baik dan apa yang jahat. Oleh sebab itu manusia mesti dilarang makan buah daripada pokok yang memberi hidup, supaya manusia tidak hidup selama-lamanya.” Maka TUHAN Allah mengusir manusia itu keluar dari Taman Eden dan menyuruhnya mengusahakan tanah, yang daripadanya manusia dibentuk. Kemudian di sebelah timur taman itu, TUHAN Allah menempatkan kerub, dan sebilah pedang berapi yang berpusing ke segala arah, untuk mengawal jalan ke pokok yang memberi hidup. Dengan demikian seorang pun tidak dapat masuk dan menghampiri pokok itu.

KEJADIAN 3:17-24 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Firman-Nya kepada Adam, “Kerana engkau menurut kata isterimu lalu memakan buah daripada pokok yang telah Kuperintahkan kepadamu, ‘Jangan engkau makan buahnya,’ maka terkutuklah tanah kerana kau. Engkau akan bersusah payah mengerjakan tanah dan memakan hasilnya, seumur hidupmu. Tanah akan menumbuhkan duri dan onak untukmu, dan tumbuh-tumbuhan di padang akan menjadi makananmu. Hasil keringatmu itulah engkau kelak mendapatkan rezekimu sehingga kembalinya engkau menjadi tanah, kerana dari tanahlah engkau diambil. Oleh sebab asalmu debu, maka engkau kelak kembali menjadi debu.” Lalu manusia menamai isterinya Hawa, kerana dia ialah ibu kepada semua yang hidup. TUHAN Allah membuat pakaian daripada kulit binatang untuk Adam serta isterinya itu, lalu memakaikannya kepada mereka. Kemudian TUHAN Allah berfirman, “Lihatlah, betapa manusia itu sudah menjadi seperti satu daripada Kita, yang tahu tentang perkara yang baik dan yang jahat. Haruslah dia dihindarkan daripada mengambil pula dengan tangannya daripada buah pokok hayat itu lalu memakannya, sehingga dia hidup untuk selama-lamanya.” Lalu TUHAN Allah menyuruh manusia itu keluar dari Taman Eden untuk mengerjakan tanah iaitu sumber jasadnya. Lalu Dia mengenyahkan manusia itu keluar, dan di sebelah timur Taman Eden ditempatkan-Nya dua malaikat kerubin serta sebilah pedang yang bernyala-nyala dan berputar ke segala arah untuk mengawal jalan menuju kepada pokok hayat itu.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami