KEJADIAN 3:1-11

KEJADIAN 3:1-11 Alkitab Berita Baik (BM)

Ular ialah binatang yang paling licik antara semua binatang yang dijadikan oleh TUHAN Allah. Ular itu bertanya kepada perempuan itu, “Benarkah Allah melarang kamu makan buah daripada sebarang pokok di taman ini?” “Kami boleh makan buah daripada setiap pokok di taman ini,” jawab perempuan itu, “kecuali buah pokok yang ada di tengah-tengah taman. Allah melarang kami makan buah pokok itu ataupun menyentuhnya; jika kami berbuat demikian, kami akan mati.” Ular itu menjawab, “Itu tidak benar; kamu tidak akan mati. Allah berfirman demikian kerana Dia tahu bahawa jika kamu makan buah itu, fikiran kamu akan terbuka; kamu akan menjadi seperti Allah dan mengetahui apa yang baik dan apa yang jahat.” Perempuan itu nampak bahawa pokok itu cantik dan buahnya enak dimakan. Dia berfikir betapa baiknya jika dia menjadi bijaksana. Oleh itu dia memetik buah pokok itu dan memakannya. Dia juga memberikan buah pokok itu kepada suaminya, dan suaminya pun makan buah itu. Sebaik sahaja mereka makan buah itu, fikiran mereka terbuka dan mereka sedar bahawa mereka bertelanjang. Oleh itu mereka merangkaikan daun ara, lalu menutupi tubuh mereka dengan rangkaian daun itu. Pada petang itu, mereka mendengar TUHAN Allah berjalan di taman, lalu mereka bersembunyi di antara pokok-pokok supaya tidak dapat dilihat-Nya. Tetapi TUHAN Allah memanggil lelaki itu, “Di manakah engkau?” Lelaki itu menjawab, “Aku mendengar Engkau di taman; aku takut, lalu aku bersembunyi kerana aku bertelanjang.” “Siapa yang memberitahukan bahawa engkau bertelanjang?” tanya Allah. “Adakah engkau makan buah yang terlarang itu? Aku sudah melarang engkau makan buah itu.”

KEJADIAN 3:1-11 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Ular memang lebih licik daripada mana-mana haiwan liar lain yang dijadikan oleh TUHAN Allah. Ular itu berkata kepada perempuan itu, “Adakah Allah benar-benar berfirman, ‘Jangan kamu makan buah daripada mana-mana pun pokok di dalam taman ini’?” Perempuan itu berkata kepada ular itu, “Kami boleh memakan buah daripada pokok-pokok di dalam taman ini, tetapi dalam hal buah daripada pokok yang berada di tengah-tengah taman ini, Allah berfirman, ‘Janganlah kamu makan buah itu malah jangan kamu menyentuhnya, supaya jangan kamu mati.’ ” Berkatalah ular kepada perempuan itu, “Kamu pasti tidak akan mati. Memang Allah tahu bahawa pada hari kamu memakannya akan terbukalah matamu dan kamu akan seperti Allah yang mengetahui yang baik dan yang jahat.” Apabila perempuan itu melihat bahawa buah pokok itu bagus sebagai makanan dan nampak sedap, apatah lagi buah itu mampu membuat seseorang menjadi bijaksana, dia pun mengambilnya lalu memakannya. Dia juga memberikan buah itu kepada suaminya yang bersama-samanya, dan suaminya juga memakannya. Maka terbukalah mata kedua-duanya dan sedarlah mereka bahawa mereka bertelanjang lantas mereka membuat cawat penutup aurat daripada dedaun pokok ara. Terdengar kepada mereka suara TUHAN Allah yang berjalan di taman pada ketika hari dingin lalu manusia serta isterinya menyembunyikan diri dari hadirat TUHAN Allah di antara pokok di dalam taman. Tetapi TUHAN Allah memanggil manusia itu dan berfirman kepadanya, “Di manakah engkau?” Jawabnya, “Aku mendengar suara-Mu di taman lalu aku menjadi takut kerana aku dalam keadaan telanjang. Jadi aku pun bersembunyi.” Firman-Nya, “Siapakah yang memberitahumu bahawa kamu bertelanjang? Adakah kamu memakan buah daripada pokok yang telah Kularang kamu memakan buahnya?”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami