KEJADIAN 24:12-20
KEJADIAN 24:12-20 Alkitab Berita Baik (BM)
Kemudian hamba itu berdoa, “Ya TUHAN, Allah tuanku Abraham, tolonglah, supaya tugasku berjaya pada hari ini; tepatilah janji-Mu kepada tuanku Abraham. Lihatlah aku berdiri dekat perigi ini. Sebentar lagi gadis-gadis kota ini akan datang menimba air. Aku akan berkata kepada salah seorang daripada mereka, ‘Tolong turunkan buyungmu dan berilah aku minum.’ Jika dia menjawab, ‘Minumlah, dan unta-unta tuan juga akan saya beri minum,’ semoga dialah orang yang sudah Engkau pilih untuk hamba-Mu Ishak. Jika hal ini berlaku, aku akan tahu bahawa Engkau sudah menepati janji-Mu kepada tuanku Abraham.” Sebelum hamba itu selesai berdoa, Ribka tiba dengan membawa buyung air di atas bahunya. Dialah anak perempuan Betuel; ibu bapa Betuel ialah Nahor dan Milka. Nahor ialah abang Abraham. Ribka seorang gadis yang sangat cantik dan masih dara. Dia menuju ke perigi itu dan mengisi buyungnya, lalu balik. Hamba Abraham berlari untuk menemuinya lalu berkata, “Tolong, nak, berilah saya minum dari buyungmu.” Gadis itu berkata, “Minumlah, tuan,” lalu dengan cepat dia menurunkan buyung dari bahu, dan sambil memegang buyung dia memberi minum kepada hamba itu. Selepas hamba itu minum, gadis itu berkata, “Saya akan menimba air untuk unta-unta tuan juga, supaya semua binatang itu dapat minum sepuas-puasnya.” Kemudian dengan cepat dia menuang air dari buyungnya ke dalam tempat minum unta, lalu dia berlari balik ke perigi untuk mengambil lebih banyak air sehingga semua binatang itu puas minum.
KEJADIAN 24:12-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Lalu katanya, “Ya TUHAN, Allah tuanku Abraham, semoga aku berhasil pada hari ini dan tunjukkanlah kasih-Mu kepada tuanku, Abraham. Lihatlah, aku berdiri dekat mata air ini, dan anak-anak perempuan penduduk kota ini datang untuk menimba air. Kalau aku berkata kepada seorang gadis, ‘Tolong turunkan buyungmu dan beri aku minum,’ dan dia menjawab, ‘Minumlah, unta-untamu pun akan kuberi minum,’ maka dialah orang yang Engkau tentukan bagi hamba-Mu Ishak. Dengan cara itulah aku akan tahu bahawa Engkau telah menunjukkan kasih kepada tuanku.” Belum selesai dia berkata-kata, tiba-tiba datanglah Ribka dengan buyung di atas bahunya. Dia anak perempuan Betuel — Betuel ialah anak lelaki Milka, iaitu isteri Nahor, saudara Abraham. Gadis itu sangat cantik parasnya, seorang perawan, belum pernah disentuh lelaki. Dia turun ke mata air itu dan mengisi buyungnya, lalu naik lagi. Maka berlarilah hamba itu mendapatkannya dan berkata, “Tolong beri aku minum dari buyungmu itu, sedikit sahaja.” Jawabnya, “Minumlah, tuanku.” Dia segera menurunkan buyungnya ke tangannya lalu memberinya minum. Setelah selesai memberikan minum kepada hamba itu, berkatalah gadis itu, “Aku akan menimba air juga untuk unta-unta tuan sehingga semuanya puas minum.” Dengan segera dituangnya isi buyungnya ke dalam tempat minum ternak, kemudian berlari lagi ke perigi untuk menimba air bagi semua unta orang itu.