KEJADIAN 2:15-25

KEJADIAN 2:15-25 Alkitab Berita Baik (BM)

Kemudian TUHAN Allah menempatkan manusia itu di Taman Eden untuk mengusahakan serta memelihara taman itu. Allah berfirman kepada manusia itu, “Engkau boleh makan buah-buahan daripada semua pokok di taman ini, kecuali buah daripada pokok yang memberi pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat. Engkau tidak boleh makan buah pokok itu; jika engkau memakannya, engkau pasti mati pada hari itu juga.” Kemudian TUHAN Allah berfirman, “Tidak baik manusia hidup seorang diri. Aku akan menjadikan seorang teman yang sesuai untuk menolong dia.” Oleh itu Allah mengambil sedikit tanah dan membentuk semua jenis binatang dan burung. Kemudian Allah membawa semuanya kepada manusia itu untuk mengetahui nama yang akan diberikannya kepada binatang dan burung. Demikianlah caranya tiap-tiap binatang dan burung mendapat nama. Manusia itu memberikan nama kepada semua binatang dan burung, tetapi tiada satu pun antaranya dapat menjadi teman yang sesuai untuk menolong dia. Kemudian TUHAN Allah menyebabkan manusia itu tidur dengan nyenyak. Sementara dia terlena, TUHAN mengeluarkan satu daripada tulang rusuk manusia itu, lalu menutupnya semula dengan daging. Daripada tulang rusuk itu, Allah membentuk seorang perempuan, lalu membawanya kepada lelaki itu. Kemudian lelaki itu berkata, “Inilah dia, orang yang sama dengan aku – tulang daripada tulangku, dan daging daripada dagingku. Aku namakan dia perempuan, kerana dia diambil daripada lelaki.” Itulah sebabnya seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya dan bersatu dengan isterinya, lalu mereka menjadi satu. Lelaki dan perempuan itu bertelanjang, tetapi mereka tidak berasa malu.

KEJADIAN 2:15-25 Alkitab Versi Borneo (AVB)

TUHAN Allah mengambil manusia itu dan menempatkannya di dalam Taman Eden untuk mengerjakan serta memelihara taman itu. Lalu TUHAN Allah memberikan perintah kepada manusia itu, firman-Nya, “Engkau bebas memakan daripada kesemua pokok di dalam taman ini; tetapi jangan engkau makan daripada pokok pengetahuan tentang perkara yang baik dan yang jahat kerana pada hari engkau memakannya, engkau pasti mati.” Maka TUHAN Allah pun berfirman, “Tidak baik manusia itu bersendirian. Aku akan menjadikan seorang penolong yang sepadan baginya.” Lalu daripada tanah TUHAN Allah membentuk segala binatang di padang dan segala burung di udara dan membawa semua mergastua itu kepada manusia untuk melihat bagaimana manusia itu menamai setiapnya. Apa pun nama yang diberikan manusia itu kepada setiap mergastua dan unggas, itulah yang menjadi namanya. Maka manusia itu menamakan segala ternakan, burung-burung di udara, dan segala haiwan di padang, namun begitu, bagi dirinya sendiri manusia itu tiada seorang pun penolong yang sepadan baginya. Maka TUHAN Allah membuat manusia itu tertidur dengan lena dan sewaktu itulah Dia mengambil sebatang tulang rusuknya lalu menutup ruang lama tulang itu dengan daging. Daripada tulang rusuk yang diambil-Nya daripada manusia itu TUHAN Allah membentuk seorang perempuan lalu membawanya kepada manusia itu. Berkatalah manusia itu, “Ini dia! Tulang daripada tulangku, dan daging daripada dagingku. Dia akan dipanggil Perempuan kerana dia diambil daripada Lelaki.” Itulah maka seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya dan bersatu dengan isterinya, lalu mereka berdua menjadi satu. Kedua-dua manusia dan isterinya itu bertelanjang bulat tetapi mereka tidak berasa malu.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami