KEJADIAN 14:17-24
KEJADIAN 14:17-24 Alkitab Berita Baik (BM)
Setelah mengalahkan Raja Kedorlaomer dan raja-raja sekutunya, Abram kembali. Kemudian raja Sodom pergi menyambut Abram di Lembah Syawe yang disebut juga Lembah Raja. Raja Melkisedek, raja Salem yang juga menjadi imam Allah Yang Maha Tinggi, membawa roti dan wain untuk Abram. Kemudian baginda memberkati Abram dan bertitah, “Semoga Allah Yang Maha Tinggi, yang sudah menciptakan langit dan bumi, memberkati Abram. Terpujilah Allah Yang Maha Tinggi, yang sudah memberi kamu kemenangan melawan musuh-musuhmu.” Selepas itu Abram memberi Raja Melkisedek sepersepuluh daripada segala barang jarahan yang sudah dibawanya balik. Kemudian Raja Sodom bertitah kepada Abram, “Ambillah barang jarahan itu, tetapi sudilah kembalikan semua orang beta.” Tetapi Abram menjawab, “Hamba bersumpah di hadapan TUHAN, Allah Yang Maha Tinggi, Pencipta langit dan bumi, bahawa hamba tidak akan mengambil sesuatu pun milik tuanku, bahkan seutas benang atau tali kasut pun tidak. Dengan demikian, tuanku tidak akan dapat bertitah, ‘Betalah yang membuat Abram kaya.’ Hamba tidak mahu mengambil apa-apa pun untuk diri hamba. Hamba hanya mahu menerima apa yang sudah digunakan oleh anak buah hamba. Tetapi biarlah teman sekutu hamba, iaitu Aner, Eskol, dan Mamre mengambil bahagian mereka.”
KEJADIAN 14:17-24 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Setelah Abram kembali daripada mengalahkan Kedorlaomer serta para raja yang menjadi sekutunya, raja Sodom keluar untuk menemui Abram di Lembah Syawe, yang dikenali sebagai Lembah Raja. Kemudian Melkisedek, raja Salem yang merupakan seorang imam Allah Yang Maha Tinggi, membawa roti dan anggur. Dia memohon agar Abram diberkati, katanya, “Diberkatilah Abram oleh Allah Yang Maha Tinggi, Pemilik langit dan bumi. Segala puji bagi Allah Yang Maha Tinggi, yang telah menyerahkan musuh-musuhmu ke dalam tanganmu.” Lalu Abram memberinya sepersepuluh daripada segala harta benda itu. Berkatalah raja Sodom kepada Abram, “Berilah aku orang itu, dan ambillah harta benda itu untukmu.” Tetapi Abram menjawab raja Sodom, “Aku telah bersumpah kepada TUHAN, iaitu Allah Yang Maha Tinggi, Pemilik langit dan bumi, bahawa aku tidak akan mengambil selembar benang atau tali kasut pun daripada semua yang ada padamu supaya jangan kamu berkata, ‘Aku telah membuat Abram kaya.’ Aku tidak akan mengambil apa-apa pun kecuali pampasan bagi apa yang dimakan atau digunakan oleh orang muda yang menyertai aku, iaitu Aner, Eskol, dan Mamre. Biarlah mereka mengambil bahagian masing-masing.”