KEJADIAN 1:9-13
KEJADIAN 1:9-13 Alkitab Berita Baik (BM)
Kemudian Allah berfirman, “Hendaklah air yang ada di bawah langit mengalir ke satu tempat agar tanah kelihatan.” Lalu hal itu berlaku. Allah menamakan tanah itu “Darat” dan kumpulan air itu “Laut”. Allah berpuas hati melihat hal itu. Allah berfirman lagi, “Hendaklah tanah mengeluarkan segala jenis tumbuh-tumbuhan, iaitu jenis yang menghasilkan biji-bijian dan jenis yang menghasilkan buah.” Lalu hal itu berlaku. Demikianlah tanah mengeluarkan segala jenis tumbuh-tumbuhan. Allah berpuas hati melihat hal itu. Setelah malam dan pagi berlalu, itulah hari yang ketiga.
KEJADIAN 1:9-13 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Berfirmanlah Allah, “Mengalir dan berkumpullah kesemua air yang di bawah langit di satu tempat, sehingga kelihatan tanah yang kering.” Maka terjadilah sedemikian itu. Lalu Allah menamai bahagian yang kering itu darat, dan kumpulan air itu dinamai-Nya laut. Allah melihat semua itu baik. Berfirmanlah Allah, “Hendaklah tanah menumbuhkan pelbagai tunas muda, tumbuh-tumbuhan yang berbiji, segala jenis pokok buah-buahan yang menghasilkan buah yang berbiji, supaya jenisnya membiak dan terus bertumbuh di bumi.” Maka terjadilah sedemikian itu. Maka tanah pun menumbuhkan pelbagai tunas muda, segala jenis tumbuh-tumbuhan yang berbiji dan segala jenis pokok buah-buahan yang menghasilkan buah yang berbiji. Dan Allah melihat semua itu baik. Malam muncul lagi dan disusuli pagi, dan itulah hari yang ketiga.